KUANTAN, 16 Disember 2020 - Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Pahang dengan kerjasama Kelab Keluarga dan Kebajikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang telah membuat satu rombongan lawatan muhibbah ke IKBN Wakaf Tapai pada 13 dan 14 Disember 2020 yang lalu. Dimaklumkan bahawa, seramai 20 orang wakil dari JBSN Pahang telah turut serta semasa lawatan muhibbah tersebut. Antara pengisian semasa lawatan ini adalah dengan mengadakan penganjuran perlawanan persabatan oleh tuan rumah iaitu IKBN Wakaf Tapai, Terengganu. Tujuan program ini diadakah adalah satu usaha ke arah merealisasikan konsep perpaduan dan muafakat di mana setiap pegawai dan kakitangan Jabatan ini diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam kegiatan sukan di samping beramah mesra sesama mereka. Selain itu, ia juga satu usaha untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan jabatan ini terlibat dalam aktiviti sukan sebagai sokongan ke arah melahirkan ‘masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan bersatu’. Lawatan sambil bersukan ini juga dapat mengukuhkan ikatan silaturrahim antara pegawai dan kakitangan JBSN Pahang dan IKBN Wakaf Tapai di samping mengenali budaya di antara dua negeri. Kehadiran rombongan JBSN Pahang telah disambut dengan acara simbolik penyerahan jersi daripada Encik Zaini bin Abd Aziz, Pengarah IKBN Wakaf Tapai kepada Cik Nik Nor Syahirah binti Nik Harun selaku wakil Pengarah JBSN Pahang. Dengan majlis itu, maka bermulalah perlawanan pertama bagi acara Ping Pong dan Dart (Berkumpulan) pada petang tersebut.
Disediakan oleh: Cik Nik Zuriani binti Nik Mohamad Mokhtar
- JBS Pahang
- Hits: 494
