KRMSA ROMPIN, 2 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengisytiharkan setiap hari Selasa sebagai Hari Sukan untuk semua warga KBS di semua peringkat bermula dari peringkat kementerian hingga ke peringkat daerah. Sehubungan dengan itu, semua warga KBS digalakkan untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan massa demi mencapai objektif gaya hidup aktif dan sihat. Pelbagai jenis sukan dapat dijalankan secara santai seperti jogging, berbasikal, bermain bola sepak, futsal, badminton, ping-pong dan lain-lain jenis sukan yang tidak melibatkan kos yang tinggi. Setiap individu warga KBS bebas memilih sukan yang digemari untuk dijalankan pada setiap hari Selasa. Bagi menyahut saranan gaya hidup sihat oleh KBS, warga Kompleks RMSAR memilih sukan badminton sebagai aktiviti Hari Sukan pada setiap hari Selasa. Aktiviti sukan diadakan di dewan serbaguna KRMSAR yang memuatkan sehingga enam buah gelanggang badminton. Selain dapat bergiat aktif dan memupuk semangat kesukanan, para pemain dapat berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam sukan badminton. Pada 22 Februari 2022 yang lalu, aktiviti sukan badminton warga KRMSAR dimeriahkan lagi dengan kehadiran Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin bersama Puan Noorul Ain Kamarzaman, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Rompin dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin bermain badminton kategori beregu campuran bersama Encik Zubi Awang dan Tuan Syed Zulkifli Syed Mohamad. Semua pemain mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum dan selepas bermain bagi mengekang penularan wabak Covid19.
Disediakan oleh:- Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting oleh:- Nor Dalilah Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
- JBS Pahang
- Hits: 315
