KRMSA ROMPIN, 3 Jun – Kerja-kerja naiktaraf dan penyelenggaraan Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) tidak menghalang program-program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dijalankan di sini. Pada 29 Mei 2022 yang lalu, PBSD Rompin dengan kerjasama Kelab Rakan Muda Elit telah menganjurkan Program Kelab Rakan Muda (KRM) @ Kompleks Rakan Muda (KRM) Siri 1/2022 Bengkel Kraftangan. Program diadakan di Rumah Tamu E1 memandangkan Bilik Kuliah 1 & 2 telah terlibat dalam projek naiktaraf. Program tersebut telah disertai oleh 25 orang peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin Permai (SMKRP) dan telah dikendalikan oleh Encik Mohd Hafizz Mokhtar, pemilik Dunia Kraf Rompin selaku tenaga pengajar. Suasana program di Rumah Tamu E berjalan lancar dan selesa kerana mempunyai ruang yang besar bagi menampung sesi pembelajaran teori dan praktikal Bengkel Kraftangan tersebut. Objektif program adalah untuk menggalakkan peserta meningkatkan kemahiran dan menyerlah bakat berkarya dalam industri kraftangan. Di penghujung program, setiap peserta dapat menghasilkan jambangan coklat mini (chocolate mini bouquet) dengan kreativiti masing-masing untuk dibawa pulang. Majlis penyampaian sijil, hadiah dan cenderahati telah disempurnakan oleh Puan Farah Esmeralda Kazarudin, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda bersama Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin. Turut hadir bersama ialah Puan Azroyana Ullmahayu Mohd Rozin, Pegawai Pembangunan Rakan Muda, JBS Negeri Pahang.
#towardshsn2022pahang
Disediakan oleh:- Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
- JBS Pahang
- Hits: 153
