RAUB, 15 Jun – Pasukan RSC B telah berjaya menundukkan pasukan Mayteam B di dalam saingan akhir Kejohanan Sepak Takraw MSL 2022 Peringkat Daerah Raub yang berlangsung sengit. Rejaman demi rejaman daripada kedua belah pihak yang bersaing menyebabkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Mohd Zohri Salleh, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Raub. Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada para pemenang dan juga kepada semua yang menyertai kejohanan kali ini. Selamat berjaya kepada Johan dan Naib Johan yang akan mewakili daerah Raub. Jumpa lagi di MSL2022 Peringkat Negeri Pahang pada bulan Julai nanti!
RAUB, 15 Jun – Encik Shahari Suhor memuji semangat beberapa pemain berstatus 'veteran' yang masih menunjukkan 'taring' melawan pemain-pemain muda di Kejohanan Sepak Takraw Malaysia Sport League (MSL) 2022 Peringkat Daerah Raub di sini. Beliau dalam ucapan perasmiannya mewakili YB Dato' Sri Hj Shahiruddin Abd Moin, ADUN Kawasan Dong turut menyarankan agar pemain-pemain lebih muda untuk menyaingi semangat 'orang lama' supaya sukan takraw ini akan terus berkembang di Raub seterusnya ke peringkat antarabangsa. Pertandingan yang berakhir pada lewat petang tersebut, menampilkan sebanyak 26 pasukan bertanding termasuk enam pasukan dari kalangan kaum asal. Turut hadir bersama dalam majlis perasmian Encik Mohd Zohri Salleh, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Raub.
RAUB, 15 Jun – Cabaran Kejohanan MSL2022 Daerah Raub semakin hangat dengan acara sepak takraw yang telah diadakan di Dewan Kompleks Rakan Muda Raub. Kejohanan yang bermula seawal 8.00 pagi ini telah disertai sebanyak 26 pasukan termasuk enam pasukan dari kalangan orang asal yang mengambil bahagian bagi merebut Kejuaraan MSL2022 Sepak Takraw Peringkat Daerah Raub dan seterusnya mewakili daerah ke peringkat Negeri Pahang pada Julai nanti. Harapan agar semua pasukan yang bertanding dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi bagi meletakkan daerah Raub setanding dengan daerah-daerah yang lain.
PEKAN, 12 Jun – Pasukan PDRM berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Bola Jaring Malaysia Sports League MSL 2022 Peringkat Daerah Pekan dengan cabaran sebanyak sembilan pasukan yang telah bersaing sengit bermula seawal jam 8.25 pagi di Arena Mahkota pada 4 Jun 2022 yang lalu. Lebih manis lagi perlawanan separuh akhir dan akhir yang cukup sengit ini disaksikan oleh tetamu jemputan, Ketua Polis Daerah Pekan, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pekan, Pengerusi Persatuan Bola Jaring Daerah Pekan dan Pengerusi PERKEP Pekan yang turut sama sehingga ke Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah. Naib Johan dirangkul oleh Pasukan Alpha Ladies, Tempat Ketiga Bersama masing-masing dimenangi oleh Pasukan MDK dan Kuala Pahang FC. Semua pemenang menerima hadiah, medal dan sijil. Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding dan selamat maju jaya mewakili daerah Pekan ke MSL 2022 Negeri Pahang khususnya kepada PDRM dan Alpha Ladies.
#towardshsnpahang2022
Disediakan oleh:- Faizal Bakar, PBSD Pekan
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
ROMPIN, 15 Jun – Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin telah mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Ahli Parlimen Rompin hari ini bagi membincangkan jalinan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Rompin bersama Pejabat Ahli Parlimen Rompin bagi kepentingan masyarakat setempat. Tujuan perbincangan tersebut diadakan bagi merangka beberapa program Belia, Sukan dan Rakan Muda di daerah ini untuk pembangunan belia daerah Rompin. Encik Maznan Mohamed Said, Setiausaha Kerja, Pejabat Ahli Parlimen Rompin menyambut baik kehadiran Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin bagi bersama-sama berganding bahu memperkasakan belia daerah Rompin.
#towardshsn2022pahang
Disediakan oleh:- Noorul Ain Kamar Zaman, PBSD Rompin
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
ROMPIN, 15 Jun – Program Eksplorasi Alam 2022 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung selama dua hari satu malam di Tapak Perkhemahan Rumah Rakit Amaraisya, Kampung Bangkong telah menutup tirainya. Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YB Ir Razali Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah. Turut hadir Encik Mohamad Suhaizan Selamat, Timbalan Pengarah, Bahgaian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Tuan Haji Che Parizan Ayob, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rompin Permai, Encik Kamil Hakimi Hak, Pengerusi Majlis Belia Daerah Rompin, Encik Ramli bin Sulaiman, Pengerusi JPKK Kampung Bangkong, Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin, Encik Mohd Sanusi Shukri, Pegawai Unit Pembangunan Rekreasi JBSN Pahang dan Cik Nur Najwa, Pengerusi Kelab Rakan Muda Elit Rompin. Melalui program ini, seramai 31 orang peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) telah selesai melengkapkan salah satu komponen wajib iaitu Rekreasi Fizikal dan Penjelajahan Lasak bagi melayakkan peserta untuk penilaian Pentauliahan Tahap Gangsa ARPRM. Program yang diketuai oleh Mejar (B) Dr. Mohd Fadzil Kamarudin selaku Ketua Jurulatih banyak membantu dalam memastikan program ini berjalan lancar dengan komitmen dan disiplin yang tinggi daripada semua peserta. Para peserta telah mempelajari pelbagai ilmu ikhtiar hidup, ketahanan diri, ikatan tali, asas kecemasan, dan sebagainya. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat di dalam menjayakan program ini.
#towardshsn2022pahang
Disediakan oleh:-Noorul Ain Kamar Zaman, PBSD Rompin
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
PEKAN, 15 Jun – Sesi Taklimat Pengurus Pasukan dan Cabutan Undian telah dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal Kejohanan Bola Jaring, Persatuan Bola Jaring Daerah Pekan yang diketuai oleh Norhasimah Jamaludin, Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Jaring bertempat di Pusat Sukan Komuniti Pekan, Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pekan. Sebanyak sembilan pasukan telah mendaftar untuk menyertai kejohanan Bola Jaring Malaysia Sports League 2022 (MSL) Peringkat Daerah Pekan yang akan diadakan di Arena Mahkota Pekan. Selamat maju jaya diucapkan kepada semua yang bertanding.
#towardshsnpahang2022
Disediakan oleh:- Faizal Bakar, PBSD Pekan
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
PEKAN, 15 Jun – Pembangunan aktiviti sukan pantai di daerah Pekan kini menarik perhatian masyarakat. Pantai Lagenda antara tempat berpotensi untuk dibangunkan untuk memenuhi keperluan setempat. Dalam usaha ini, satu sesi perbincangan telah dijalankan bagi menaiktaraf pembangunan aktiviti sukan di sekitar Pantai Lagenda. Puan Rozita Barudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pekan bersama Dato’ Shahruddin Ahmad telah hadir ke sesi perbincangan berkaitan pembangunan aktiviti sukan pantai di pantai tersebut. Beberapa perancangan pembangunan sukan dilaksanakan di masa akan datang bagi kemudahan pengunjung dan masyarakat setempat. Turut diadakan adalah tinjauan tapak Futsal Pantai yang akan dibina bagi kemudahan pengunjung dan merancakkan aktiviti sukan pantai.
#towardshsnpahang2022
Disediakan oleh:- Faizal Bakar, PBSD Pekan
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang
ROMPIN, 15 Jun – Majlis Jamuan Makan 'Team Rompin' secara tertutup telah diadakan di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin bagi meraikan Syawal 1443H yang lepas.Majlis diadakan secara tertutup dengan penyediaan makanan secara 'potluck' oleh ahli keluarga kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Rompin dan Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin. Pelbagai juadah istimewa disediakan oleh ahli keluarga 'Team' Rompin antaranya lemang periuk kera, kek coklat, puding comel, biskut, kuih muih, nasi minyak, laksa, mee sup, nasi impit, rendang dan pelbagai lagi. Turut hadir bersama kakitangan JBSN Pahang yang sedang berada di Daerah Rompin, Pengerusi Majlis Belia Daerah Rompin dan Pengerusi Kelab Rakan Muda Elit Kuala Rompin bagi merapatkan lagi ukhwah dan beramah mesra bersama 'Team' Rompin. Majlis juga diserikan dengan tradisi pemberian duit raya kepada anak-anak kakitangan sumbangan peribadi Puan Norsuzila Ernie Zinudin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Rompin.
#towardshsn2022pahang
Disediakan oleh:- Noorul Ain Kamar Zaman, PBSD Rompin
Disunting oleh:- Nor Dalilah Haji Mohamad Tajuddin & Pentadbir Portal JBS Pahang