JASIN, 11 Ogos 2020 - Persidangan Majlis Perundingan Belia Daerah Jasin yang diadakan pada petang ini di Jasin Heritage Golf Club dekat sini telah mengetengahkan 3 usul yang berkait rapat dengan cadangan pembangunan belia dan sukan daerah Jasin dan telah dijawab oleh wakil agensi yang berkenaan selain mendapat perhatian langsung daripada Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan selaku pengerusi persidangan.
Majlis Perundingan Belia Daerah Jasin pada tahun ini dilaksanakan dalam suasana kehadiran ahli persidangan yang minima seramai 20 orang sahaja sebagaimana garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara bagi mengawal penularan Covid 19 dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
Datuk Anis dalam ucapan perasmiannya turut mengumumkan pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka yang memperlihatkan belia daerah Jasin menyapu bersih johan dan naib johan bagi kategori pertubuhan belia manakala johan individu lelaki turut dimenangi oleh pemimpin belia dari daerah Jasin.
Selain daripada ahli-ahli majlis, turut hadir sama wakil Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Mohd Syahmi Md Lasa; Penolong Pendaftar Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Mohd Uzaini Mohamad Sani; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali dan Pengerusi MGBD Jasin, Zaini Muhamad.
- JBS Melaka
- Hits: 708
