AYER KEROH, 28 Oktober 2020 - Isu pelencongan sosial dan penyalahgunaan dadah membabitkan golongan remaja antara perkara yang menjadi perhatian Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin apabila statistik golongan yang menagih dadah lebih merujuk kepada golongan belia dan lebih membimbangkan ia turut melibatkan para pelajar sekolah.
Dalam usaha menangani masalah tersebut, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Jasin baru-baru ini telah mengadakan Seminar Inisiatif Bersepadu AADK Bersama Jabatan MTMD Daerah Jasin dengan mencadangkan tindakan mendidik dan membanteras diadakan secara bersama di mana setiap jabatan, pegawai dan kakitangan mengambil bahagian menjadi mata, telinga dan komuniti yang memain peranan aktif dalam menegur, menasihat dan membuat laporan kepada pihak berkuasa dalam membendung penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat.
Seminar sehari yang diadakan di Dewan MITC Melaka tersebut turut menjemput Penganalisis Jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia selain penceramah jemputan dari AADK sendiri. Hadir sama mewakili Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin adalah Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Ahmad Iswadi Ishak.
- JBS Melaka
- Hits: 1316
