MELAKA, 5 November 2020 – Bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah diadakan Mesyuarat Post EXCO NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka Bil 4 Tahun 2020. Pelbagai isu diutarakan dan dibincangkan di dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Datuk Rafiq Bin Naizamohideen selaku EXCO NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka. Antara yang turut hadir ialah tuan Noorman Ramlan; Pengarah JBS Negeri Melaka dan Timbalan Pengarah, En Muhammad Abdul Hafidz Mohd Amin.
AYER KEROH, 6 November – Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka, Encik Noorman Bin Ramlan telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pemindahan Sementara Pejabat Belia Daerah Alor Gajah di Bilik Mesyuarat, Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka petang tadi. Mesyuarat ini membincangkan tindakan-tindakan yang perlu diambil berkaitan proses pemindahan pejabat. Untuk rekod Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah akan berpindah secara sementara di Kompleks Sukan Masjid Tanah pada 20 November 2020 untuk memberi laluan kerja-kerja menaik taraf Kompleks Rakan Muda Alor Gajah. Turut hadir di mesyuarat ini ialah Encik Muhammad Abdul Hafidz Bin Mohd Amin, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia dan Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan iaitu Encik Mohd Syaiful Fahmi Bin Mohd Salleh.
ALOR GAJAH, 4 November – Mesyuarat Pra Pembinaan Naik Taraf Kompleks Rakan Muda Alor Gajah telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat, Jabatan Kerja Raya Daerah Alor Gajah. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh wakil Jurutera Daerah Alor Gajah ini dihadiri seramai 20 orang ahli termasuk wakil kontraktor dari Syarikat Fokus Strategi Sdn. Bhd. Antara agenda mesyuarat ialah skop kontrak, taklimat projek dan teknikal, pembentangan dari kontraktor berkaitan program kerja atau pelan kualiti binaan dan hal-hal lain. Turut hadir ialah Encik Noorman Bin Ramlan, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka.
LENDU, 4 November – Satu pemeriksaan aset alih kerajaan telah dilaksanakan di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah dan Kompleks Sukan Masjid Tanah pagi tadi. Pemeriksaan dilakukan oleh Encik Sidek Bin Md Said dan Encik Muhammad Saiful Bin Mohd Zuki dari Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Johor. Pemeriksaan aset seperti yang termaktub dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 - Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan merupakan rutin tahunan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan aset kerajaan diurus tadbir dengan baik dan teratur. Antara dokumen-dokumen berkaitan yang diperiksa ialah KEW.PA-2, KEW.PA-3, KEW.PA-4, KEW.PA-5 dan KEW.PA-7.
AYER KEROH, 8 Oktober 2020 – Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Melaka telah mengadakan Mesyuarat Bahagian Pembangunan Rakan Muda yang dipengerusikan oleh Puan Norazlin Binti Sarun, Penolong Pengarah Rakan Muda. Sebanyak 3 program Rakan Muda bakal dilaksanakan pada bulan November dan Disember 2020 ini di sekitar Melaka yang melibatkan penglibatan semua Daerah di Melaka. Beliau mengharapkan kerjasama dan kesungguhan dari semua pegawai dan kakitangan bahagian ini dalam melaksanakan program tersebut bagi menaikkan lagi nama jabatan ini. Selain itu, beliau juga mengingatkan agar semua pegawai dan kakitangan Bahagian ini sentiasa menjaga imej, displin dan berintegriti dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam. Semoga hasil mesyuarat ini sedikit sebanyak dapat melancarkan dan memberi impak positif dalam pembangunan rakan muda di Negeri Melaka.
Disediakan oleh: Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Melaka
AYER KEROH, 22 Oktober - Sesi Kunjung Hormat YBrs PKP Hairol Hisham Bin Mohd Harith, Pengarah Sekolah Henry Gurney Telok Mas Melaka kepada YBrs Encik Noorman Bin Ramlan, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka. Hadir sama, Puan Norazlin Binti Sarun, Penolong Pengarah Rakan Muda JBS Negeri Melaka. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah pemantapan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) di Sekolah Henry Gurney Telok Mas. Untuk pengetahuan semua, sekolah ini telah berjaya melahirkan seorang peserta tahap emas ARPRM pada tahun 2019 dan pada tahun ini seramai 6 orang peserta tahap emas sedang dalam proses melengkapkan semua komponen dan bakal ditauliahkan tidak lama lagi. Selain itu, pelbagai perkara lain yang dibincangkan bagi mengeratkan lagi kerjasama antara dua agensi ini.
Disediakan oleh: Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Melaka
ASAHAN, 31 Oktober 2020 - Pepatah melayu 'Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat' menjadi pegangan dan amalan Persatuan Belia (MAYC) Simpang Bekoh serta sentiasa diterap dari masa ke semasa dan dari generasi ke generasi agar amalan ringan tulang dan saling bekerjasama bukan sahaja di kalangan warga ahlinya tetapi juga dengan komuniti setempat tidak hilang ditelan arus pembangunan dan kemodenan zaman.
Sejak petang khamis lalu, warga ahlinya sekali lagi turun padang dalam gerak kerja gotong royong membaik pulih longkang serta menyiapkan kawasan parkir di Madrasah Assyakirin dekat sini yang kini menjadi suatu keperluan serta kemudahan kepada para jemaah yang hadir untuk bersolat atau mengikuti program agama agar lebih selesa dan selamat.
Gerak kerja selama 3 hari yang berakhir hari ini telah disertai oleh 30 orang ahli dan penduduk setempat. Menurut pengerusinya, Asrul Khan Sher Jang Khan, kos bagi menyiapkan tempat parkir tersebut menelan belanja sebanyak RM 3,000.00 hasil daripada sumbangan masyarakat setempat.
Antara lain yang hadir menyumbang tenaga adalah Pengerusi JPKK Simpang Bekoh, Roslan Mahpol; Pengerusi Madrasah Assyakirin, Mejar (B) Md Yusof Ismail; Sidang, Abd Latif Arshad dan Imam 2 Masjid Al-Hidayah Kg Chabau, Raja Shahrezal Raja Azhar.
MASJID TANAH, 3 November – Encik Sodikin Bin Ali, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah bersama 3 orang pegawai PBSDAG telah melakukan pemantauan pemeriksaan pemasangan sistem GITN di Kompleks Sukan Masjid Tanah (KSMT) tengah hari tadi. Pemantauan ini bertujuan untuk memastikan pemasangan sistem GITN dapat dilaksanakan dengan baik sebelum pentadbiran Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah beroperasi secara sementara di KSMT sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf bangunan di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah dilakukan. Turut serta sepanjang pemantauan ini ialah wakil dari Syarikat Telekom Malaysia Berhad.
LENDU, 2 November – Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah (MGBDAG) telah melaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah yang bertempat di Bilik Mesyuarat Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, malam tadi. Mesyuarat yang dihadiri seramai 15 orang ahli jawatankuasa ini telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Zaidi Bin Tahir, Pengerusi MGBDAG. Antara agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah perancangan pelaksanaan Program Hari Bertemu Pelanggan Bersama Pemimpin dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Melaka. Turut hadir ialah Encik Sodikin Bin Ali, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah.