JASIN, 10 Mac 2021 – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020 bagi mengawal penularan wabak Covid 19 telah mengakibatkan sebahagian besar aktiviti sukan terhenti dan ini termasuklah sukan bola sepak yang merupakan sukan kegemaran utama rakyat Malaysia.
Namun kini para peminat sukan bola sepak dapat menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju dengan pembentangan model gelembung sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam menghidupkan industri sukan negara dan peluang ini tidak disia-siakan oleh Merlimau Pasir FC dengan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Liga Jasin 2021 bagi merebut Piala YB Datuk Roslan Ahmad.
Kejohanan yang bermula pada malam ini diadakan tanpa kehadiran penonton serta dianjurkan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat akan terus berlangsung pada setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad di Mini Stadium Jasin dekat sini.
Sebanyak 12 pasukan mengambil bahagian untuk merebut hadiah yang ditawarkan dengan 2 perlawanan diadakan pada setiap sesi kejohanan.
Majlis perasmian dan sepak mula kejohanan telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker DUN Melaka yang juga ADUN Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad.
Hadir sama dalam majlis perasmian pada malam ini, Exco Kerajaan Negeri Melaka yang juga ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin, Datin Sapiah Haron; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali dan Presiden Merlimau Pasir FC, Jezlee Pit.
- JBS Melaka
- Hits: 641
