AYER KEROH, 4 April 2021 - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan sebelum ini bagi mengekang penularan semula Covid-19 telah menghentikan hampir semua aktiviti sukan sekali gus turut menyebabkan program memperkasa perpaduan masyarakat melalui kegiatan sukan turut terhenti seketika.
Namun kini apabila aktiviti sukan kembali dibenarkan, Gerakan Belia 4B (GB4B) Kawasan Jasin terus mengambil peluang mengadakan Pertandingan 'Strike Or Longkang' Bowling Piala Orang Muda Jasin 2021 bagi memupuk semangat kesukanan dan menggalakkan para belia menyertai aktiviti sihat setelah sekian lama terkekang.
Pertandingan yang diadakan di Melaka International Bowling Centre (MIBC) di sini dianjurkan dengan kerjasama Majlis Gabungan Belia Daerah (MGBD) Jasin dan Biro Penerangan UMNO Bahagian Jasin dan disertai seramai 120 orang peserta.
Pertandingan pada petang ini juga telah diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) gelembung sukan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Datuk Shahrul Azuwar Abd Aziz yang menyaksikan Team PKDHJ menjadi johan pertandingan manakala Team Pinbuster dan Team Revolution masing-masing merebut hadiah naib johan dan tempat ketiga.
Turut meluangkan masa memeriahkan acara, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Hasnul Hanif Harun; Pengerusi MGBD Jasin, Zaini Muhamad dan Pengerusi GB4B Kawasan Jasin, Mohd Nizam Omar.
- JBS Melaka
- Hits: 494
