GADEK, 26 Jun 2022 - Bendang sawah Kampung Gadek, Alor Gajah kali ini menjadi tumpuan ribuan pengunjung dari segenap pelusuk Negeri Melaka bagi menyaksikan kemeriahan Program Aktif @ Sukan Tradisional Peringkat Negeri Melaka 2022 "Fiesta Bendang Gadek" yang telah dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka (JBS Melaka) melalui Bahagian Pembangunan Sukan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, Japerun Gadek, JPKK Kampung Gadek, dan Gabungan Belia 4B (GB4B) Gadek serta agensi Kerajaan negeri dan daerah setempat.*Pelbagai acara sukan tradisional menarik dilaksanakan untuk disertai oleh masyarakat setempat tidak mengira kaum, bangsa dan latar belakang seperti Sepak Raga Bulatan, Congkak, Kabbadi dan Tarik Tali. Bagi menambahkan lagi kemeriahan, tidak dilupakan acara permainan sampingan yang menarik dan meriah seperti Ragbi Sawah, Mengoca Ikan, Pukul Bantal, Bola Beracun, Mancing Bonda, Memasak Lauk Kampung dan Panjat Tiang Licin.*Program kali ini telah dirasmikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Melaka merangkap ADUN Gadek; YB Tuan P. Shanmugam a/l V. Pitchay yang mewakili YAB Ketua Menteri Melaka; Datuk Seri Utama Hj Sulaiman Bin Md Ali. Turut hadir Pegawai Daerah Alor Gajah; Tuan Saiful Hazwa Kipli dan Pengarah JBS Melaka; Khairul Adri Dato' Rosli. Turut sama hadir, Ketua-Ketua dan wakil - wakil agensi yang turut bekerjasama bagi menjayakan program ini.*Tujuan utama pelaksanaan program ini adalah sebagai salah satu inisiatif pihak Kementerian Belia dan Sukan melalui JBS Melaka bagi memastikan sukan warisan zaman berzaman dapat dihidupkan kembali agar dapat diperkenalkan kepada generasi pada masa kini serta menggalakkan program yang mampu meningkatkan perpaduan, kekeluargaan dan keharmonian kepada masyarakat berbilang bangsa didalam komuniti.#BAHAGIANSUKAN
MERLIMAU 23-26 Jun 2022 - Peserta kursus berasa sangat bertuah dengan kesudian hadir Tuan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Encik Khairul Adri bin Dato’ Rosli bagi merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Rekreasi Luar (OUTREC) Tahap 1 Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 bertempat di Pusat Ko-Kurikulum Lanchang, Merlimau, Melaka.*Seramai 27 orang iaitu 25 lelaki dan 2 orang wanita hadir mengikuti kursus pada kali dan mempunyai latar belakang yang berbeza namun mempunyai semangat dalam melengkapkan modul-modul yang wajib yang ada di dalam kursus.*Turut sama hadir Encik Mohd Syaiful Fahmi bin Mohd Salleh ; Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Encik Hasan bin Maslan ; Pengerusi Kelab Sukan Rekreasi REDTMA, Encik Mohd Soufi bin Bachok, Penolong Pengarah Kejurulatihan Pusat Kokurikulum Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.#BAHAGIANSUKAN
Muar, 22 Jun 2022- Seramai 35 Belia terdiri daripada pelbagai latarbelakang pendidikan mewakili Melaka,Johor dan Negeri Sembilan telah terpilih mengikuti Program Advokasi Kesihatan Mental Belia " Tak Apa Geng" (TAG) Zon Selatan 2022 , bertempat di Desa Keroma Eco Resort, Muar, Johor. Kursus ini diadakan selama 3 hari bermula pada 20-22 Jun 2022..Program ini dilaksanakan dengan pengisian dalam bentuk Ceramah, latihan dalam kumpulan (LDK) dan aktiviti fizikal. Melalui pengisian ceramah, 3 sesi berkenaan dikendalikan oleh 6 orang Doktor Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental daripada Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Melaka. Antara tajuk atau ceramah dan sesi LDK berkenaan ialah Pemikiran Positif dan Negatif, Mengatasi Pemikiran Negatif dan Membina Daya Ketahanan. Setiap pagi para peserta akan terlibat dengan aktiviti "Physical Training" yang dikendalikan oleh Fasilitator daripada Kelab Sukan Rekreasi (REDTMA)..Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Khairul Adri Bin Dato' Rosli, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka. Melalui ucapan beliau, beliau berharap agar para peserta yang menghadiri program ini akan menjadi perintis yang berperanan sebagai pembimbing rakan sebaya yang akan memberi respon atau bantuan awal kepada rakan ketika mereka menghadapi kesihatan mental, terutamanya pada situasi kini yang sangat mencabar..#BAHAGIANRAKANMUDA
SERI NEGERI, 25 Jun 2022 – Pengurus Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka, Runiza Mahmud dan Pegawai Belia Daerah Alor Gajah, Zainorizan Ehwan hari ini antara 2 pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka yang dianugerahkan Pingat Bakti Belia (P.B.B.) daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Kebesaran Majlis Gabungan Belia Melaka Kali Ke-42 di Dewan Seri Utama, Pejabat TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka.Majlis yang penuh bersejarah tersebut juga turut menyaksikan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mendahului senarai penerima dengan dianugerahkan Bintang Khidmat Cemerlang (B.K.C.) diikuti dengan 73 penerima Pingat P.B.B.Pengarah JBS Negeri Melaka, Khairul Adri Dato' Rosli turut hadir meraikan pegawainya dan para belia yang menerima pingat di majlis tersebut.Bintang Khidmat Cemerlang dan Pingat Bakti Belia mula dianugerahkan pada tahun 1978 kepada orang perseorangan yang telah memberi atau yang terus menyumbang jasa dan memberi khidmat bakti kepada Majlis Gabungan Belia Melaka.#BAHAGIANBELIA
MASJID TANAH, 25 Jun 2022 - Program Walk For Life Negeri Melaka Siri 2 telah berlangsung dengan jayanya di Taman Rekreasi Durian Daun. Aktiviti berjalan santai ini dilaksanakan bersempena Program Jerayawara @ KBT Masjid Tanah AADK Bersama Komuniti, satu program kerjasama di antara Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Melaka dan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Melaka.*Walk For Life merupakan satu program yang diwujudkan oleh Kementerian Belia Dan Sukan bagi mempertingkatkan kesihatan orang ramai melalui aktiviti yang paling ringkas iaitu berjalan. Para peserta yang mengambil bahagian telah memulakan langkah seawal jam 8.00 pagi dengan berjalan secara santai sambil menghirup udara segar dan melalui gabungan pemandangan yang menarik yang menghiasi sekitar taman rekreasi tersebut. Sedar tidak sedar para peserta telah berjaya menamatkan aktiviti berjalan kaki secara santai dengan mengelilingi tasik sejauh lebih 1 kilometer.#BAHAGIANSUKAN
AYER KEROH, 17 Jun 2022 - Satu pertemuan ringkas bersama Penolong Pengarah (Sukan), JBS Melaka; Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh bersama wakil MEM Esport Club dan wakil Persatuan Sukan Elektronik Negeri Melaka (MEA) bagi membincangkan hala tuju dan perancangan penganjuran salah satu cabang sukan elektronik iaitu MotoGP telah diadakan bertempat di Ibu Pejabat JBS Melaka, Ayer Keroh.*Pengisian pertemuan berkisar kepada perancangan bagi kerjasama diantara kedua-dua entiti berkaitan sukan elektronik didalam membentuk persefahaman didalam penganjuran sukan tersebut bagi pencarian bakat dan perkembangan sukan terutamanya MotoGP atas talian kepada peminat dan pemain sukan ini di Negeri Melaka. JBS Melaka berperanan sebagai rujukan kepada kelab dan persatuan supaya setiap perancangan yang dirancang mengikut saluran dan landasan yang tepat.*MEM Esports Club telah diwakilkan Presiden; Syahrul Nizam dan Jawatankuasa kelab; Haris Ridzuan manakala MEA diwakili Timbalan Presiden; Prabu Raj dan Bendahari; Kashminder Singh.#BAHAGIANSUKAN
JOHOR BAHRU, 19-21 Jun 2021 - Telah berlangsung satu siri kursus Ujian Kecergasan Jasmani Kebangsaan (UKJK) Tahap 2 oleh Bahagian Pembangunan Sukan JBSN, melalui Cawangan Kecergasan Nasional dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor bertempat di Hotel New York, Johor Bahru.*Kursus selama 3 hari ini telah diadakan bagi melatih, menambahkan ilmu pengetahuan dan mengtauliahkan bakal ketua penguji UKJK dengan kaedah terkini agar pelaksanaan UKJK pada masa akan datang lebih berkualiti dan efisien. Pengisian program seperti bantuan asas CPR, pemakanan, kesihatan mental, deskripsi latihan dan lain-lain lagi telah disampaikan oleh pakar-pakar bertauliah jemputan khas dari HSA, Johor Bahru dan UTM, Skudai. Turut diadakan ujian penilaian akhir bagi melihat tahap pemahaman para peserta diakhir kursus tersebut.*Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Belia), JBS Johor; Mohamad Mazlan Anis. Untuk makluman, para peserta yang hadir terdiri daripada para pegawai dari JBS Negeri seluruh negara. JBS Melaka telah diwakili Penolong Pengarah (Sukan), JBS Melaka; Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh.#BAHAGIANSUKAN
ASAHAN, 24 Jun 2022 - Satu sesi taklimat dan perbincangan awal bagi perancangan pelaksanaan Program Aktif @ Sukan Luar Bandar Peringkat Negeri Melaka 2022 telah diadakan bertempat di Kompleks Japerun Asahan, Jasin Melaka. DUN Asahan dicadangkan akan menjadi lokasi pilihan penganjuran program pada kali ini.*Satu taklimat ringkas berkenaan perancangan awal program telah disampaikan oleh Tuan Pengarah JBS Melaka; Khairul Adri Dato' Rosli kepada ADUN Asahan, YB Tuan Fairul Nizam Roslan. Turut sama hadir dalam sesi perbincangan tersebut, Penolong Pengarah (Sukan), JBS Melaka; Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin; Nurul Haida Mohd Ghazali.*Untuk makluman, program Aktif @ Sukan Luar Bandar adalah salah satu program profil JBSN dibawah Bahagian Pembangunan Sukan bagi melestarikan program sukan ke peringkat akar umbi terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.#BAHAGIANSUKAN
MASJID TANAH, 21 Jun 2022 - Seramai 61 orang hadir menyertai Let's Get Fit Negeri Melaka Siri 9 yang berlangsung di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Masjid Tanah. Aktiviti senamrobik yang bermula seawal jam 5.30 petang itu telah dibimbing oleh Cik Su dari Kelab My Fit Joy. Berlatarkan muzik yang rancak disambut pula dengan pergerakan yang cukup bertenaga daripada para peserta sehingga melahirkan sorakan yang menggamatkan lagi suasana di dalam dewan. Jelas terpancar wajah yang bersemangat di kalangan peserta yang hadir dari pelbagai peringkat umur.