AYER KEROH, Melaka 14 Januari 2022 – Kerajaan Negeri Melaka bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Jasin dan Melaka Tengah dengan kerjasama Majlis Gabungan Belia Melaka mengadakan ‘Buskers Corner’ dengan berteraskan dua tema iaitu Stabil Melaka, Makmur Bersama dan Kestabilan Demi Kemakmuran. Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan ‘Buskers Corner’ ini berjalan dengan baik, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan di Bilik Mesyuarat JBSNM pada 14 Januari 2022 yang dipengerusikan oleh YB Tuan P. Shanmugam A/L V. Pitchay, EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Inisiatif pelaksanaan ‘Buskers Corner’ ini adalah bagi mewujudkan Pusat Kegiatan Aktiviti Belia bagi membolehkan mereka berkarya dan melakukan aktiviti kesenian di setiap kawasan meliputi pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka yang menempatkan di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.Disediakan Oleh: Jalma Annas, Bahagian Pembangunan Belia JBSNM.
17 Januari 2022, Krubong-Program Sumbangan Prihatin COVID-19 Majlis Sukan Negeri Melaka anjuran Majlis Sukan Negeri Melaka bertempat di Kompleks Sukan Komuniti Krubong. Perasmian oleh YB Tuan VP. Shanmugam a/l V. Pitchay (EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Program bantuan kepada Atlet Sukan Negeri Melaka dan Atlet Para dan Jurulatih Negeri Melaka dengan Kehadiran penerima bantuan seramai 170 orang dengan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan Wang tunai.
SUNGAI RAMBAI, 15 Januari 2022 - Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Rakan Muda Daerah Jasin hari ini sekali lagi turun padang membantu mangsa banjir di Kampung Janda Berhias dan Kampung Tersusun Rambai Jaya dalam gerak kerja bersepadu di bawah kelolaan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Sungai Rambai.Seramai 25 orang Sukarelawan Pasca Banjir Rakan Muda Daerah Jasin yang terdiri daripada ahli Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin dan Gerakan Belia 4B Malaysia DUN Sungai Rambai telah mengambil bahagian mencurah khidmat bakti dengan membersihkan kediaman mangsa banjir.Program pada hari ini turut disertai oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Melaka, Noorman Ramlan bersama para pegawai dari JBSN Melaka dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Yang Berhormat Puan Siti Faizah Abdul Aziz ketika ditemui sejurus selesai program berkata, beliau amat berterima kasih kepada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin serta para sukarelawan belia yang sentiasa hadir menghulurkan bantuan kepada pihaknya dari awal kawasannya dilanda banjir hingga sekarang.
JASIN, 7 Januari 2022 - Kehadiran tahun 2022 yang memasuki hari ke-7 disambut oleh warga kerja Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Jasin pagi ini dengan mengadakan majlis bacaan yasin dan memanjatkan doa memohon kesejahteraan serta perlindungan kepada semua warga kerja PBSD Jasin dan keluarga.Pandemik Covid-19 yang masih belum menampakkan penghujungnya turut menjadi perhatian justeru majlis pada pagi ini turut memohon perlindungan dan bantuan daripada Allah agar kita semua terhindar daripada ancaman pandemik tersebut serta dipermudahkan urusan semua pihak dalam menangani situasi tersebut.Majlis yang dipimpin oleh Pembantu Tadbir dan Operasi, Mohd Aidil Mohamad Darus turut disertai oleh para petugas pembersihan dari Muna Niaga Enterprise.Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali, pejabatnya dari masa ke semasa sentiasa mengadakan majlis bacaan yasin dan doa selamat terutamanya pada hari Jumaat sebagai salah satu aktiviti untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama dan kekeluargaan di kalangan pegawai serta kakitangannya.
6 Januari 2022, Krubong – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah Bersama Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Sukarelawan Pasca Banjir Daerah Melaka Tengah yang telah bersama-sama pada hari ini bagi membantu mengadakan gotong royong pembersihan di Pusat Penempatan Sementara Sekolah Kebangsaan Krubong. Seramai 35 orang sukarelawan dan 25 orang guru serta kakitangan SK Krubong telah bersama mengadakan misi pembersihan yang melibatkan 6 blok yang mempunyai 36 buah kelas yang telah digunakan bagi menempatkan mangsa banjir di sekitar Kampung Krubong dan Kampung Lanjut Manis. Terima Kasih juga diucapkan kepada Kelab Rakan Muda Tangga Batu, Kolej Cosmopoint, Eja Enterprise, MAYC Negeri Melaka dan Japerun Paya Rumput yang sudi bekerjasama dalam menjayakan Program Sukarelawan Pasca Banjir Rakan Muda Daerah Melaka Tengah.
MERLIMAU, 29 Disember 2021 - Monsun Timur Laut yang melanda negara tidak hanya memberi kesan di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan negeri-negeri di pantai timur malah turut memberi kesan kepada beberapa kawasan di negeri Melaka antaranya daerah Jasin dan Alor Gajah.Di Jasin, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai sejak 19 Disember 2021 dengan menempatkan sebanyak 14 keluarga dari 3 buah kampung iaitu Kampung Parit Penghulu Benteng dan Kampung Tersusun, Sungai Rambai serta Kampung Lanchang, Merlimau.Rentetan daripada itu, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Jasin, SWCorp Cawangan Jasin, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Jasin, Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin dan Persatuan Belia (MAYC) Lanchang hari ini telah bergerak bersama-sama Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Rakan Muda Daerah Jasin dengan menjalankan gerak kerja gotong-royong membersihkan kediaman para mangsa yang terjejas.Turut menyertai aktiviti tersebut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Melaka, Balai Polis Merlimau, Majlis Gabungan Belia Melaka, Mercy Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lanchang.Dalam aktiviti tersebut, Pengarah APM Negeri Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra dan Pengarah JBPM Negeri Melaka, Abu Bakar Katain turut sama 'menyental' kediaman mangsa banjir bersama para sukarelawan sekali gus mempamerkan jiwa murni mereka sebagai pemimpin organisasi penyelamat ulung negara yang tidak meletakkan pangkat sebagai halangan untuk turun padang.Sementara itu, seorang penduduk Amran Ab Gani, 44, berkata keadaan banjir yang melanda kawasan rumah mereka pada kali ini agak lama disebabkan banjir termenung itu dan sehingga kini beliau sekeluarga masih lagi berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu sejak 19 Disember 2021."Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada para sukarelawan dan agensi yang hadir membantu membersihkan rumah kami. Tanpa bantuan para sukarelawan ini, mungkin kerja-kerja mencuci dan membersih akan mengambil masa yang lama memandangkan keadaan isteri yang tidak sihat selepas terjatuh baru-baru ini," katanya.Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali, beliau amat berterima kasih kepada semua sukarelawan yang mengambil bahagian pada hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan agensi kerajaan peringkat negeri dan daerah serta NGO yang turut sama mengambil bahagian dalam program anjuran pejabatnya dan berharap agar kerjasama yang erat ini akan kekal berterusan di masa yang akan datang.
LUBOK CINA, Masjid Tanah, 24 Disember – Melaka antara negeri yang turut terkesan dengan bencana banjir besar baru-baru ini. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Alor Gajah telah mengumpulkan seramai 65 orang sukarelawan dari kalangan Majlis Gabungan Belia Melaka, Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah, Sekretariat Rakan Muda KUIM, GPMS Alor Gajah, Pertubuhan Belia Alumni Graduan Alor Gajah dan sebagainya. Program ini juga turut dibantu oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah dan SWCorp iaitu bagi kerja-kerja mengangkut sampah yang telah dibersihkan. Sebanyak 4 buah rumah mangsa banjir terlibat dalam program pasca ini yang mana kerja-kerja pembersihan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 3.00 petang. Pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka juga telah turun padang bagi membantu membersihkan rumah penduduk setempat yang terkesan dengan banjir tersebut. Semoga usaha para sukarelawan ini dapat membantu sedikit sebanyak penduduk yang terkesan dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.
SUNGAI RAMBAI, Jasin, 29 Disember – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin telah mengumpulkan seramai 25 orang sukarelawan dari kalangan Majlis Gabungan Belia Melaka, Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah, Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Jasin, MAYC Kawasan Jasin bagi Program Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Peringkat Daerah Jasin bertempat di Kampung Lanchang, Jasin. Program ini juga turut dibantu oleh beberapa agensi kerajaan iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Jabatan Pengairan Sungai, Majlis Perbandaran Jasin, dan SWCorp. Sebanyak 4 buah rumah mangsa banjir terlibat dalam program pasca ini yang mana kerja-kerja pembersihan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 1.00 petang. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka yang diketuai oleh Encik Azmee Amar Azwan Bin Mostapa, Penolong Pengarah Bahagaian Pembangunan Rakan Muda juga telah turun padang bagi memberi sokongan kepada semua sukarelawan yang terlibat untuk membersihkan rumah penduduk setempat yang terkesan dengan banjir tersebut. Turut hadir YBhg. Datuk Mohd Ridhwan Bin Mohd Ali, Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka.
Ayer Keroh, Melaka 20 Disember 2021 – Dalam usaha menyusun semula kerjasama strategic dengan pelbagai agensi dan institusi di sekitar daerah Melaka Tengah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah, Puan Norazlin Binti Sarun telah membuat satu kunjungan perbincangan ringkas bersama En. Rahmat bin Ismail, Ketua Unit Pendidikan, Pemasaran & Jualan, Jabatan Zoo & Taman Burung Melaka bagi mendapatkan idea berkenaan program-program yang boleh dirancang untuk golongan belia dan remaja bagi tahun 2022. Perbincangan memfokuskan kepada program berbentuk khidmat masyarakat yang sesuai dilaksanakan oleh golongan muda di samping dapat membantu mempromosikan aktiviti di Zoo Melaka. Antara cadangan program yang disenaraikan adalah program mengecat dinding kawasan, melukis mural, membersih kawasan landskap dan membersih persekitaran kandang haiwan.Selain itu, Zoo Melaka yang berkeluasan 54 ekar turut sesuai dijadikan lokasi bagi mengadakan program program berbentuk hari keluarga, sukaneka, mencari harta karun, dan lain – lain. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah merancang untuk bekerjasama dengan mana-mana Pemimpin Anugerah Remaja Perdana daerah Melaka Tengah untuk mengadakan Program Khidmat Masyarakat kepada para peserta untuk dijadikan aktiviti bagi memenuhi catatan buku log mereka bagi tahun 2022. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah sangat mengalu-alukan penyertaan dari semua peserta dan para pemimpin ARP dan akan mengaturkan beberapa lagi siri perbincangan bersama rakan strategik yang lain bagi merealisasikan penganjuran program tersebut.