MELAKA, Jumaat 22 Mei 2020 – Program santai kali pertama YB Datuk Mohd Rafiq bin Naizamohidden (Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan) dengan kerjasama JBS Negeri Melaka
Program ini merupakan inisiatif YB Exco kepada belia khususnya di Melaka khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2020 yang disambut dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan.
Walaupun negara sedang diuji, YB Exco mahu para belia tetap kekal bersemangat, ceria dan sentiasa tampil dengan idea yang membina bagi mendepani cabaran New Normal yang perlu kita tempuhi bersama.
Masak Apa, Bro? Raya Edition membawakan para Chef Belia yang akan memasak bersama YB menu istimewa untuk dikongsi khas buat belia di luar sana.
Selamat Mencuba!
Selamat Hari Raya Aidilfitri & Maaf Zahir Batin.
Boleh tonton video di - https://www.facebook.com/mohdrafiqofficial/videos/246402139760472/
#DekadIniDekadAnda
#StayAtHome
#KitaJagaKita
#KitaMestiMenang
MERLIMAU, 17 Mei 2020 - Ramadan yang berbaki seminggu lagi dan semakin beransur pergi terus dimanfaatkan oleh Persatuan Belia (MAYC) Wawasan Serkam Pantai dengan menganjurkan program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di kawasan Masjid Jamek Serkam dekat sini petang tadi.
Seramai 20 orang ahli mengambil bahagian menjayakan program tersebut yang dilakukan atas inisiatif untuk menerapkan nilai murni, rasa insaf dan takwa di kalangan ahli kerana tanah perkuburan adalah destinasi terakhir semua insan di samping menghidupkan lagi semarak Ramadan melalui kerja amal tersebut.
Program di bawah kelolaan Ketua Biro Masyarakat, Muhammad Asraf Ahmad Fuad ini membuktikan bahawa anak muda khususnya belia di kampung ini sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian kepada persekitaran kampung dan kawasan setempat serta sentiasa bersedia untuk mencurah bakti demi kesejahteraan masyarakat.
MERLIMAU, 16 Mei 2020 - Persatuan Belia (MAYC) Mutiara Sejati Pulai Barat bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Jasin dan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Jasin hari ini telah menganjurkan program memasak dan mengagihkan bubur lambuk di hadapan Madrasah Hj Abdul Ghani, Kg Pulai Barat yang telah disertai lebih 10 orang belia dan Orang Kena Pengawasan (OKP).
Menurut Pengerusi Persatuan Belia (MAYC) Mutiara Sejati Pulai Barat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah Jasin, Azni Ahmad, program memasak bubur lambuk secara gotong royong tersebut telah bermula seawal jam 8.00 pagi dan berjaya menghasilkan hampir 100 pek bubur seterusnya diedarkan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
Acara mengagih bubur lambuk telah diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah AADK Melaka, A. Reuben. Hadir sama adalah Ketua Pegawai AADK Daerah Jasin, Siti Aminah Talib; Ketua Pemuda Jasin, Dr. Akmal Saleh dan Naib Ketua Pemuda Jasin, Muhammad Farouq Mustafa.
ASAHAN, 13 Mei 2020 - Belum pun sampai seminggu para ahli Persatuan Belia (MAYC) Simpang Bekoh meletakkan cangkul selepas bergotong royong menguruskan pengebumian penduduk kampung, petang ini mereka sekali lagi memegang cangkul bergotong royong menyediakan liang lahad selepas dimaklumkan mengenai kematian seorang lagi penduduk.
Petang tadi seramai 15 orang ahli Persatuan Belia (MAYC) Simpang Bekoh membantu menguruskan majlis pengebumian Allahyarhamah Nazimah Tarmedi, 38 dengan gerak kerja menyediakan liang lahad, papan lahad dan kayu daka nisan dimulakan pada jam 6.00 petang di Tanah Perkuburan Islam Tambak Mangga dekat sini dan berakhir sekitar jam 11.00 malam apabila jenazah selamat disemadikan.
Pengerusinya, Asrul Khan Sher Jang Khan ketika dihubungi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli yang terlibat dalam membantu urusan pengebumian tersebut dan berbangga kerana anak-anak muda di kampung ini sentiasa ke hadapan menghulur bantuan kepada masyarakat setempat tanpa mengira masa dan tenaga.
JASIN, 13 Mei 2020 - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin hari ini kembali membuka operasi pejabat setelah hampir 2 bulan bergerak secara bertugas dari rumah dengan mengadakan Mesyuarat Pengurusan Pegawai dan Kakitangan Bilangan 3/2020 dengan tumpuan untuk menyelaras gerak kerja norma baru akibat Covid 19.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Nurul Haida Mohd Ghazali antaranya menyentuh amanat Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka, Noorman Ramlan berhubung garis panduan operasi pejabat dan pergerakan pegawai serta kakitangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Mesyuarat hari ini juga melihat kembali perkara-perkara berbangkit serta tindakan yang telah dan perlu diambil antaranya status keputusan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Melaka yang belum diputuskan pemenangnya, Program Rakan Muda Tadarus Virtual serta laporan gerak kerja aktiviti pertubuhan belia sepanjang 2 bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
JASIN, 10 Mei 2020 - Untuk dikenali sebagai organisasi kemanusiaan yang unggul di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta berkhidmat kepada yang memerlukan dengan berkesan, visi dan misi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia ini diterjemah melalui tindakan dan gerak kerja lapangan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Jasin yang setiasa dilihat penampilannya tidak kira ketika waktu susah atau senang.
Bertempat di Kompleks Japerun Rim hari ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Jasin bersama Puteri dan Wanita UMNO serta kakitangan Japerun Rim telah menganjurkan Program Memasak Bubur Lambuk dan Bubur Pulut Hitam Durian Musang King untuk diedarkan kepada cawangan-cawangan UMNO di dalam DUN Rim. Dalam masa yang sama, persatuan ini turut mengadakan promosi pengambilan ahli bagi memperkasa tenaga sukarelawannya.
Program yang dirasmikan oleh ADUN Rim, Datuk Wira Haji Ghazale Muhamad ini telah berjaya menyediakan sebanyak 400 pek bubur dalam gerak kerja gotong royong yang sentiasa menjadi amalan persatuan ini terutama ketika menjalankan gerak kerja kebajikan di waktu bencana. Turut hadir memeriahkan program, ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman; Ketua Puteri Bahagian Jasin, Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Shahrul Azuwar Ab Aziz dan Pengerusi BSMM Cawangan Jasin, Jezlee Pit.
JASIN, 7 Mei 2020 - Ramadan merupakan bulan mulia yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Selain berpuasa, banyak amalan sunnah Ramadan yang dapat menghidupkan lagi keimanan seorang hamba khususnya umat Islam dan bertitik tolak daripada ini maka Gerakan Belia 4B Kg Abbey melalui biro keseniannya atau lebih dikenali sebagai Pancha Warisan telah mengadakan program Tazkirah Indahnya Ramadan.
Siri Tazkirah Indahnya Ramadan merupakan program siaran atas talian di platform Page FB Jasin Daily yang dibawa terus dari studio FB Live milik Majlis Perbandaran Jasin dianjurkan secara bersama dengan Pejabat Agama Islam Daerah Jasin, Masjid Al-Ghaffar Jasin, Pejabat Parlimen Jasin dan Jasin Daily selaku pengendali utama siaran.
Program yang bermula sejak awal Ramadan bersiaran dari hari Isnin hingga Sabtu selama sejam mulai jam 2.00 petang bertujuan sebagai medan pengisian ilmu secara atas talian bagi memenuhi ruang sepanjang Ramadan dengan membicarakan intipati yang menjurus kepada hal-hal berkaitan puasa, adab dan ibadah serta diolah secara santai oleh barisan pendakwah tempatan antaranya Ustaz Norazam Ismail, Ustaz Huzailan Hamzah, Ustaz Abd Manap Mohamad, Ustaz Hashimi Rafzanjani dan Ustaz Mohd Nizam Ahmad.
Petang ini, sesi tazkirah yang bersiaran telah dikendalikan oleh Deejay, Nasaruddin Rahmat bersama pembantunya Ketua Belia 4B Nyalas, Shahril Samzainal manakala pendakwah bertugas adalah Ustaz Abd Manap Mohamad.
MERLIMAU, 3 Mei 2020 - Bubur lambuk sememangnya sinonim dengan bulan Ramadan Al-Mubarak. Menyedari hakikat tersebut, Gerakan Belia 4B (M) Cawangan Solok Kilang Berapi mengambil kesempatan mengadakan Projek Ekonomi Bubur Lambuk dengan matlamat untuk menjana pendapatan bagi mengisi tabung persatuan di samping mengeratkan lagi hubungan serta kerjasama di kalangan ahli.
Bertempat di Rumah Belia Solok Kilang Berapi dekat sini, program yang bermula semalam telah berjaya menyediakan lebih 500 bungkus bubur lambuk manakala pada hari ini sebanyak 900 bungkus telah disediakan secara gotong royong oleh ahli persatuan yang bermula dari jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang.
Pengerusinya, Zaini Muhamad berkata permintaan terhadap bubur lambuk yang merupakan juadah istimewa di bulan Ramadan sangat tinggi apatah lagi dengan kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan menjadikan aktiviti memasak bubur ini tidak dapat dilaksanakan seperti kebiasaan justeru pihaknya melalui Biro Korporat mengambil tempahan daripada pihak-pihak yang berminat dengan harga yang berpatutan dan projek ini akan diteruskan pada setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadan.
SERKAM, 3 Mei 2020 - Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan mulai 18 Mac 2020 merupakan langkah terbaik yang diambil oleh kerajaan dalam mendepani bencana wabak Covid-19 yang bukan hanya menular di negara kita tetapi juga merebak ke seluruh dunia dan memberi kesan kepada hampir semua sistem kehidupan manusia.
Dalam tempoh pelaksanaan PKP yang kini memasuki fasa ke-4, kerajaan juga telah mengumumkan pelbagai pelan bantuan bagi meringankan beban semua pihak namun kerjasama pelbagai pihak di peringkat komuniti juga amat diharapkan dalam usaha memastikan tiada seorang pun yang terpinggir daripada menerima bantuan.
Persatuan Belia (MAYC) Wawasan Serkam Pantai hari ini telah menggerakkan ahlinya seramai 15 orang dalam Program Bantuan Covid 19 Bulan Ramadan dengan menyampaikan bantuan serta sumbangan keperluan harian kepada 50 keluarga daripada kalangan penduduk Kampung Serkam Pantai yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.
Antara penggerak utama program tersebut adalah Pengerusi Persatuan Belia (MAYC) Wawasan Serkam Pantai, Mohd Shahrizan Mohd Saat bersama penaja serta penyumbang barang-barang bantuan iaitu MH Enterprise dan NSL Delima Niaga. Usaha murni ini juga turut mendapat perhatian individu-individu tempatan yang turut memberikan sumbangan.
Melalui program-program seperti ini, kewujudan persatuan belia akan sentiasa dirasai malah boleh dijadikan sandaran oleh masyarakat setempat dalam apa jua keadaan demi kebaikan dan kesejahteraan komuniti.