AYER KEROH, 7 Julai 2020 - Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin (MGBD) hari ini mengadakan kunjung hormat ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Selatan dekat sini dalam usaha mendapatkan maklumat terkini serta pencerahan dalam beberapa perkara berkaitan dengan urus tadbir pertubuhan belia untuk disampaikan kepada semua badan gabungan di bawah pentadbirannya.
Kunjung hormat juga turut membincangkan dengan lebih lanjut mengenai SOP untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan pertubuhan belia sebagaimana surat kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan Belia pada Jun 2020 yang lalu seterusnya membuat semakan penghantaran Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD) bagi tahun 2020 serta perbincangan mengenai isu berkaitan dengan pembangunan belia.
Kehadiran rombongan MGBD Jasin telah disambut oleh Penolong Pendaftar Kanan, Mohd Azli Lee Abdullah manakala penerangan berkaitan urus tadbir pertubuhan serta soal jawab dikendalikan oleh pegawainya, Alsidi Mohamad.
MERLIMAU, 5 Julai 2020 - Gerak kerja dalam pembangunan belia merupakan suatu gerak kerja berterusan yang tiada penghujung seiring dengan perubahan serta kemodenan pembangunan negara dan ia juga tidak mengenal erti penat dan lelah kepada semua pihak yang berkecimpung dalam bidang tersebut.
Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Solok Kilang Berapi malam ini mengadakan pertemuan bersama ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad dalam suatu suasana 'sembang santai' di kediaman Hasnan Kamis yang juga ahli 4B Solok Kilang Berapi dekat sini dengan dihadiri seramai 30 orang ahli.
Antara perkara yang dibincangkan pada malam ini adalah isu-isu semasa mengenai belia, cadangan program untuk belia di peringkat cawangan dan DUN, penubuhan sekretariat belia DUN Merlimau dan skuad bencana belia Merlimau, peluang pekerjaan dan perniagaan pasca Covid 19, cadangan membangunkan pusat usahawan belia Merlimau, cadangan naik taraf Rumah Belia Solok Kilang Berapi dan agro muda untuk golongan belia.
Menurut pengerusinya, Zaini Muhamad, program pada malam ini bukan sahaja sekadar pertemuan untuk berkongsi idea dan pandangan tetapi juga untuk merapatkan dan mendekatkan lagi hubungan para belia dengan Datuk Roslan yang disifatkan sebagai pemimpin yang mesra masyarakat serta bekerja keras untuk membangunkan Merlimau.
MELAKA, 8 Julai 2020 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Majlis Gabungan Daerah Melaka Tengah dan Majlis Gabungan Belia Daerah Alor Gajah diatas jemputan menyertai acara Bowling Santai MGBD Melaka Tengah yang dianjurkan pada 7 Julai 2020 bertempat di pusat bowling MIBC Melaka. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka telah diwakili oleh Mohd Syahmi Md Lassa,Abd Rasyid Rahman, Jalma Annas dan Mohd Nasrullah Manis Hj Muri. Tuan Pengarah JBS Negeri Melaka Encik Noorman Bin Ramlan, Presiden MGBM saudara Mohd Ridwan Bin Mohd Ali dan pengerusi MGBD Alor Gajah saudara Mohd Zaidi Bin Tahir turut hadir memeriahkan perlawanan kali ini. Jabatan juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ahli Jawatankuasa MGBD Melaka Tengah kerana berjaya menganjurkan aktiviti seperti ini dan berharap agar ikatan ukhwah yang terjalin akan kekal erat di masa-masa akan datang.
AYER KEROH, Melaka, 8 Julai 2020 - Seramai enam orang ahli Pertubuhan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) Negeri Melaka yang diketuai oleh pengerusinya saudara Tee Yong Siang hadir memeriahkan bowling santai anjuran Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah bertempat di Melaka Internasional Bowling Centre malam tadi. Tujuan team GBBM turut serta dalam perlawanan bowling santai ini adalah menjalinkan hubungan yang lebih baik dan positif di antara ahlinya dengan semua ahli pertubuhan dibawa badan gabungan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM). Turut menyertai pertandingan bowling persahabatan ini ialah encik Lim Sze Koon dan encik Kim Kheng Boon.
MELAKA, 7 Julai 2020 – Pengarah JBS Negeri Melaka; encik Noorman Bin Ramlan hadir meluangkan masa duduk semeja bersama presiden Majlis Gabungan Belia Belia Melaka encik Mohd Ridwan Bin Mohd Ali,Pengerusi MGBD Melaka Tengah;Encik Mohd Ismanizam Ismail, pengerusi MGBD Alor Gajah; saudara Mohd Zaidi Tahir dan Encik Fasarul Md Isa, Pengurus Besar MIBC Melaka. Sesi ramah mesra dan sembang santai selama 2 jam ini memberikan input-input dan perkongsian idea berkaitan pembangunan belia khususnya di dalam negeri Melaka. Turut hadir dalam sesi sembang santai yang diadakan di pusat Bowling MIBC Melaka ini adalah Pegawai Pembangunan Sosial JBS Negeri Melaka Encik Mohd Syahmi Md Lassa,Encik Abd Rasyid Rahman dan Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Melaka, saudara Asrul Khan Sher Jang Khan.
MELAKA, 7 Julai 2020 – AJK tertinggi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin yang diketuai pengerusinya saudara Zaini Bin Mohamad telah membuat kunjung hormat kepada tuan Noorman Bin Ramlan, Pengarah JBS Negeri Melaka. Perjumpaan ini diadakan bertujuan mengeratkan jalinan hubungan kerjasama diantara JBS Negeri dan MGBD Jasin. Pelbagai topik diutarakan dan dibincangkan aktiviti di dalam perjumpaan ini. Pertubuhan Belia khususnya di dalam negeri Melaka perlu mengambil peluang mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan perlembagaan pertubuhan dan AKTA 668 untuk memastikan setiap ahli pertubuhan memahami dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.Turut hadir dalam perjumpaan ini ialah Puan Nurul Haida Binti Ghazali, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin.
MELAKA, 7 Julai 2020 – Pengarah dan warga JBS Negeri Melaka merakamkan sekalung tahniah kepada Pengerusi Perubuhan MIYC Negeri Melaka merangkap Ketua Penerangan MGBM; saudara Dhanesh A/L Basil diatas pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri (JKTPN) Sesi Julai 2020-Jun 2022. Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri (JKTPN) merupakan sebuah badan bebas di peringkat negeri bagi membicangkan isu-isu dan permasalahan perpaduan serta perancangan dan pelaksanaan program atau aktiviti perpaduan mengikut terma yang ditetapkan. Jawatankuasa ini merupakan satu cabang daripada Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang ditubuhan oleh kerajaan untuk membincangkan isu-isu perpaduan, usaha-usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut dan mencadangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan untuk menangani isu dan cabaran perpaduan. Jabatan juga mengucapkan selamat maju jaya dan selamat menjalankan tugas yang diamanahkan.
MELAKA,6 Julai 2020 - Semua pegawai dan kakitangan JBSNM digalakkan mengikuti peraturan dalam budaya kerja baharu di pejabat bagi memastikan JBSNM bebas korona virus dengan mematuhi beberapa langkah-langkah umum garis panduan keselamatan iaitu mengelakkan sebarang sentuhan (body contact), mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter (social distancing). Selain itu, semua warga JBSNM perlu mengamalkan penggunaan hand sanitizer secara kerap yang mana pengurusan JBSNM telah sediakan di kaunter utama. Para pegawai atau kakitangan juga perlu memastikan pegawai atau kakitangan bebas dari sebarang gejala demam, batuk dan selsema dan pemakaian face mask amat digalakkan. Langkah ini juga adalah selaras dengan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam langkah pencegahan penularan wabak koronavirus (COVID)19.
AYER KEROH,Melaka 6 Julai 2020 – Dalam usaha memastikan Warga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka bebas gejala COVID19, pihak pengurusan JBSNM menyediakan pendaftaran hadir secara manual dan melaksanakan pemeriksaan suhu badan sebelum mengetip kad perakam waktu bagi memastikan tiada pekerja yang mengalami siptom awal gelaja ini hadir bekerja. Selain kakitangan JBSNM, orang awam yang mengunjungi Jabatan ini juga perlu mendaftar melalui aplikasi MY Sejahtera dan QR CODE JBSNM yang dibangunkan oleh Unit Media dan Komunikasi JBSNM yang diselaras oleh Encik Armyrul Fairuz Bin Md Azali. Aplikasi MY Sejahtera dan QR CODE JBSNM disediakan di pintu utama JBS Negeri Melaka bagi memudahkan aplikasi ini diakses. Pengawal Keselamatan JBSNM turut membantu memastikan sesi ini berjalan dengan lancar. Tujuan utama pelaksanaan aplikasi ini adalah bagi menentukan pelaksanaan kawalan keselamatan perlindungan yang optimum dan berkesan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).