LABUAN, 9 Julai 2023 - Seramai 20 pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai oleh Encik Mohammad Syahffie bin Hj. Japril, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan telah menyertai Larian Keamanan 2023 yang dianjurkan oleh Soka Gakkai Malaysia Cawangan Labuan, bertempat di Labuan International School.
Run for Peace menggalakkan ideal bahawa keamanan bermula dari satu orang; diri kita sendiri. Ideal ini telah mendapat sokongan meluas dalam masyarakat, termasuk daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Seramai 600 orang telah menyertai larian tersebut yang melibatkan pelbagai suku kaum, budaya, agama dan masyarakat.
LABUAN, 6 Julai 2023 - Bertempat di konti Labuan FM, Sesi Bicara Eksklusif bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Mohammad Syahffie bin Haji Japril dengan Topik JOM, SERTAI RAKAN MUDA! telahpun berlangsung semalam. Temu bual ini dihoskan oleh DJ Hebrry dan DJ Baby.
LABUAN, 5 Julai 2023 – Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan (JBS) mengisytiharkan bulan Julai 2023 sebagai Bulan Sukan JBS Labuan. Walaupun sibuk dengan pelbagai program yang bakal dilaksanakan, JBS kekal aktif mengadakan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi untuk semua pegawai dan kakitangan JBS Labuan.
Pada minggu pertama bulan Julai ini , Bahagian Pembangunan Sukan telah melaksanakan aktiviti senamrobik di perkarangan pejabat JBS. Selain senamrobik, terdapat pelbagai lagi aktiviti sukan yang akan dilaksanakan termasuk pertandingan rumah sukan yang telah dirangka sepanjang bulan ini.
LABUAN, 4 Julai 2023 – Dr. Ahmad Fadly Abd Rahman, Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi serta beberapa orang pegawai dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Labuan telah membuat kunjung hormat ke Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan pada 4 Julai 2023.
Kunjung hormat tersebut adalah bagi membincangkan kerjasama kolabrasi antara UMSKAL dan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan dilaksanakan kelak.
LABUAN, 27 Jun 2023 - Seramai 32 orang peserta telah mengikuti pencarian bakat baharu Sukan OKU dalam Program Inspire iTalent yang diadakan di Dewan Arena Bukit Kuda W.P. Labuan. Para peserta terdiri daripada pelajar sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan orang awam.
Program ini dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan dengan kerjasama Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya W.P. Labuan (PESRON).
Program ini adalah platform terbaik bagi mengenalpasti bakat baharu golongan OKU melalui medium sukan untuk diketengahkan sebagai pelapis atlet paralimpik yang akan mewakili Labuan kelak.
LABUAN, 25 Jun 2023 - Penyeliaan dan tadbir urus badan sukan di W.P. Labuan akan diselia oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah bermula Jun 2023 ini. Sebelum ini, badan sukan di Labuan diselia oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.
Simbolik penyerahan tersebut disampaikan oleh Encik Abu Zarin bin Abu Hasan, Penolong Pesuruhjaya Sukan (Kanan) Pentadbiran, Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia kepada Puan Sempini binti Langiton, Pesuruhjaya Sukan Sabah, Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sabah. Sebanyak 50 buah badan sukan telah hadir bagi menyaksikan penyerahan penyeliaan tersebut.
Dengan pertukaran penyeliaan tadbir urus badan sukan ini, diharapkan agar pengurusan pentadbiran dan pembangunan sukan di Labuan akan lebih mudah, teratur dan mantap.
LABUAN, 23 Jun 2023 - Mesyuarat Jawatankuasa Induk Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat W.P. Labuan Tahun 2023 Bil. 2/2023 telah dilaksanakan pada 23 Jun 2023, bertempat di Bilik Gemilang, Wisma Perbadanan Labuan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Rithuan bin Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, merangkap Pengerusi Jawatankuasa APBN Peringkat W.P. Labuan bagi Tahun 2023.
Turut hadir ialah panel bagi sesi penilaian pada tahun ini iaitu Encik Mohd Mahyuddin bin Mohd Noordin, Dr. Sharinah Puasa, Puan Jah Murniwaty binti Markum dan Cik Zyee Faiezah Dullie.
Keputusan APBN Peringkat W.P. Labuan Tahun 2023 akan diumumkan pada 29 Julai 2023 dan Majlis Penyampaian APBN juga akan dilaksanakan pada hari tersebut, bersempena dengan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat W.P. Labuan Tahun 2023.
Johan bagi setiap kategori akan mewakili W.P. Labuan ke peringkat kebangsaan yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos 2023.
LABUAN, 23 Jun 2023 - Kelab Belia Kampung Tanjung Aru (KATARU) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-6 pada 23 Jun 2023, bertempat di Balairaya Kampung Tanjung Aru.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Penolong Pengarah (Belia) Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan, Puan Tracy Tumay Rigar.
Turut hadir Encik Anas Syazwan bin Suwito, Pengerusi KATARU, Encik Waan bin Mat Salleh, Bendahari Majlis Belia Labuan (MBL), Encik Rody Erik Anajery, Pegawai Pembangunan Ekonomi JBSWPL, Encik Hj. Harun bin Awang Damit, mantan Ketua Kampung Tanjung Aru, barisan EXCO MBL, barisan AJK serta ahli KATARU.
Semoga KATARU terus progresif dan dinamik dalam membangunkan serta memberikan sumbangan kepada belia dan masyarakat.
LABUAN, 20 Jun 2023 - Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan (JBS) dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Persatuan Bola Sepak W.P. Labuan (LAFA) dan Majlis Belia Labuan (MBL) telah mengadakan Tayangan Siaran Langsung Layar Besar Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Malaysia menentang Papua New Guinea di Medan Selera Labuan.
Kira-kira 500 orang telah hadir dalam program tersebut yang mana pada malam itu para penonton telah menyaksikan Malaysia menang 10 - 0 kepada pihak lawan Papua New Guinea.
Pelbagai aktiviti sampingan diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut. Antaranya ialah pertandingan tendangan penalti, timang bola dan cabutan bertuah.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Encik Mohammad Syahffie bin Hj. Japril, Pengarah JBS Labuan, Encik Sophian Said, Presiden LAFA dan Cik Nazera Roslan, Presiden MBL.