02 Oktober 2024, Rabu - Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur hadir ke Ballroom Banquet Hall, Residensi UTMKL untuk kerja-kerja persiapan akhir program Genta Belia Zon Tengah 2024 yang memfokuskan pengisian kos sara hidup belia.
Encik Zul Fadhli bin Abdul Aziz, Timbalan Pengarah JBSWPKL dan Puan Hartini binti A. Jabbar, Pengarah Cawangan Pembangunan Ekonomi JBSN turut hadir di lokasi dan membincangkan perjalanan program pada hari kejadian. Penutup bagi program ini akan dirasmikan oleh YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS.
Diharapkan segala perancangan dan persiapan yang dilakukan dapat diterjemahkan dengan kejayaan program yang lancar.
01 Oktober 2024, Nilai - Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh, Encik Azmee Amar Azwan bin Mostapa telah membuat tinjauan tapak program di Bukit Melati, Nilai Negeri Sembilan pagi tadi.
Program Rakan Bumi : Plogging Komuniti Peringkat Kawasan Seputeh 2024 dijangka akan dilaksanakan pada 05 Oktober 2024 (Sabtu) dan penyertaan terdiri dikalangan peserta berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun.
Lawatan tapak ini diadakan bagi mengenalpasti lokasi, aspek keselamatan dan kesesuaian program yang bakal dijalankan. Pemantauan serta lawatan tapak ini selesai pada jam 2 petang.
DATARAN DBKL, 29 September 2024: Program KBS X KL Car Free Morning pada bulan September ini telah menganjurkan Larian Malaysia X Rakan Muda 2024 yang berlangsung seawal 6.30 pagi di lokasi yang sama iaitu Dataran DBKL, Jalan Raja Laut.
Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur dengan kerjasama DBKL dan Persatuan Olahraga Kuala Lumpur tersebut telah mendapat sambutan yang baik serta dimeriahkan lagi dengan beberapa Program Larian yang lain membanjiri kawasan sekitar Dataran DBKL dan Dataran Merdeka.
Tetamu Kehormat yang turut hadir dan juga bersama-sama mengikuti larian adalah YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Puan Nor Safinah binti Haya Timbalan Pengarah Rakan Muda, JBSWPKL serta para Pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur juga hadir mengiringi serta selaku Urus Setia program.
Aktiviti cabutan bertuah, pameran Rakan Muda dan agensi-agensi yang berkaitan serta jualan minuman dan makanan sukan juga turut memenuhi lokasi program pada pagi itu.
Program KBS X KL Car Free Morning diharapkan akan dapat terus dilaksanakan pada setiap bulan bagi memberi kesedaran, memupuk serta menggalakkan warga kota khususnya di Lembah Klang tentang kepentingan bersukan dan beriadah terutamanya pada hujung minggu.
KUCHING, 28 September 2024: Sekitar persiapan bagi perarakan masuk kontinjen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Majlis Perasmian Penutup Para Sukma XXI, Sarawak 2024.
Turut hadir dalam sesi persiapan perarakan masuk kontinjen, CDM Kontinjen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Sabran bin Abd Bahar dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Encik Nik Ahmad Zahiruddin bin Nik Saleh.
KUCHING, 28 September 2024: Sedang berlansung Acara Para Lawn Bowls kategori Perseorangan Lelaki B1 Kumpulan A di Rink 11, Muhammad Hanif bin Jaafar (Kuala Lumpur) menentang atlet dari Negeri Pahang. Kuala Lumpur sedang mendahului perlawanan dengan mata sehingga End 8 dengan jumlah skor 12 - 5. End 9 akan menentukan nasib pasukan Kuala Lumpur utk penentuan pingat pada hari ini.
Semoga ada sinar pingat buat pasukan Lawn Bowls Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada hari terakhir, penutup kejohanan Temasya Para Sukma XXI, Sarawak.
KUCHING, 27 September - Biarpun tewas, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan pemain para Tenpin Boling Kuala Lumpur dalam aksi Trio B8, B9B10 sebentar tadi tetap membanggakan hati kami.
Kesungguhan dan tekad telah ditunjukkan atlet tersebut ketika menentang 15 pasukan dalam pusingan akhir.
"Terima kasih pasukan Para Tenpin Boling Kuala Lumpur di atas perjuangan. Perlawanan sangat sengit dan semangat yang ditunjukkan oleh atlet tidak boleh dipertikaikan". Pemain telah buat yang terbaik dalam Temasya kali ini, " kata Encik Zulfadhli bin Abd Aziz, ACDM Kontinjen Kuala Lumpur yang turut hadir menyaksikan perlawanan tersebut di Megalane Emart Batu Kawa.
Kuching, 27 September 2024 – Hasrat pasukan memanah untuk mendapatkan pingat pada hari terakhir kejohanan akhirnya tercapai apabila Nurfaizal bin Hamzah dan Muhammad Fakhrul Hakimi bin Mohd Fauzi memenangi acara 'Recurve Men Double Team Elimination Round' dalam penentuan gangsa yang berlangsung hari ini menewaskan pasukan dari Terengganu.
Kejayaan tersebut seterusnya menjadikan pasukan Para Memanah Kuala Lumpur membawa pulang 2 Emas 1 Perak dan 2 Gangsa dalam temasya Para Sukma XXI Sarawak pada kali ini. Kuala Lumpur hari ini mempertaruhkan 5 orang atlet bagi 3 acara penentuan pingat gangsa bagi kategori Recurve melibatkan acara individu lelaki iaitu Nurfaizal bin Hamzah, berpasangan lelaki (Nurfaizal dan Fakhrul Hakimi) dan juga berpasangan campuran (Clarissa Fenia dan Nurfaizal Hamzah) .
Dengan pencapaian ini, pasukan memanah Kuala Lumpur menduduki tangga ke-3 bagi acara memanah keseluruhan dalam temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024 ini.
Kuching, 27 September - Pasukan catur Para Sukma Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menutup tirai temasya kali ini dengan cemerlang apabila menambah tiga lagi pingat menerusi acara individu dan berkumpulan wanita kategori B2/B3 ‘Rapid Chess’ pada hari terakhir pertandingan yang diadakan bermula dari 24 September di Hotel Raia Convention Centre Hall, Kuching, Sarawak menerusi atlet Wanita, Nur Izzati binti Zakaria dan Nur Mardhiah binti Zakaria.
Acara Rapid Chess telah memulakan saingan bagi pusingan pertama hingga pusingan ketiga semalam dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun, dalam pusingan keempat dan kelima hari ini, Nur Izzati yang telah menang dalam ketiga-tiga pusingan semalam telah tewas kepada Nur Fieqa dari Johor dalam pusingan keempat manakala Nur Mardhiah pula tewas kepada Seri Izdihar dari Johor dalam pusingan kelima hari ini seterusnya meletakkan Kuala Lumpur dalam kedudukan tempat kedua dan ketiga bagi acara individu Wanita kategori B2/B3.
Atlet para catur Wanita menunjukkan kecemerlangan pada temasya Para Sukma XXI Sarawak kali ini dengan membawa pulang 1 Emas, 3 Perak dan 1 Gangsa. Walaupun atlet para catur lelaki gagal untuk membawa pulang sebarang pingat, namun usaha dan semangat berjuang yang ditunjukkan sehingga ke hari terakhir pertandingan haruslah dipuji dan dihargai kerana terus konsisten bertarung hingga pusingan kelima.
Jurulatih pasukan catur, Encik Rizal bin Ahmad Kamal, meluahkan rasa bangga atas pencapaian atlet Para Catur yang konsisten sepanjang temasya. “Mereka telah bekerja keras sepanjang persiapan, dan pencapaian hari ini adalah bukti dedikasi serta komitmen mereka dalam sukan ini. Saya yakin ini hanya permulaan kepada lebih banyak kejayaan di masa depan,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri oleh CDM Kuala Lumpur, Encik Sabran bin Abd Bahar pada jam 2.30 petang tadi bertempat di Hotel Raia Convention Centre Hall, Kuching, Sarawak. Dengan tambahan tiga pingat ini, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menamatkan saingan catur Para Sukma dengan catatan menduduki tempat ke-5 bagi acara catur secara keseluruhan dengan 5 pingat keseluruhan iaitu 1 Emas 3 Perak dan 1 Gangsa.
Petra Jaya, 27 September 2024 – Impian Mohd Najib bin Nordin untuk mencipta kejayaan gemilang dengan meraih Emas dalam acara rejam lembing lelaki kategori F13 pada kejohanan yang berlangsung pada pagi ini musnah apabila atlet dari Pulau Pinang memintas pada balingan ke 6 dengan catatan 35.15 meter. Keputusan ini telah menempatkan Mohd Najib ke kedudukan kedua dengan jarak balingan sejauh 33.63 meter diikuti oleh Negeri Melaka 33.28 meter.
Mohd Najib yang menyertai 3 acara dalam para sukma XXI Sarawak 2024 kali ini menyatakan sedikit kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan untuk mendapatkan pingat bagi acara 100 meter dan 200 meter kategori T13 pada hari kedua dan ketiga kejohanan berlansung. Walau bagaimanapun, beliau yakin mampu memberikan persembahan terbaik pada hari terakhir kejohanan.
Menduduki carta kedudukan tempat pertama sehingga balingan yang ke lima, akhirnya beliau terpaksa akur dengan keputusan pertandingan apabila balingan terakhir dari atlet negeri pulau pinang memusnahkan impian pingat emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seterusnya menempatkan Mohd Najib terus di kedudukan ke 2.
"Saya bersyukur dapat membawa pingat Perak walaupun tewas dalam 2 acara sebelum ini. Berbeza dengan pencapaian sebelum ini di Para Sukma Kuala Lumpur pada tahun 2022, saya berjaya mendapat 2 pingat Perak bagi acara balapan."
Keputusan ini tidak mematahkan semangat dan potensi Mohd Najib dalam sukan para, dan beliau dijangka terus berusaha untuk meningkatkan prestasi di kejohanan Para Sukma di Selangor tahun 2026 nanti.
Turut hadir menyokong dan bersama-sama dalam Majlis Penyampaian Pingat CDM KL, Encik Sabran bin Abd Bahar.