Kuala Lumpur, 12 Oktober 2024 – Pertandingan Skateboard Grassroots Rakan Muda Rakan Litar Track Day Siri 2 sempena HSN berlangsung meriah di Kompleks Sukan Ekstrem Bukit Kiara. Acara ini disertai oleh peserta muda dari pelbagai lapisan umur dan dianjurkan oleh Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSWPKL dengan kerjasama Persekutuan Luncur Roda Malaysia (MYSKATE).
Program dimulakan dengan klinik skateboard dan diikuti pertandingan mini pada sebelah petang. Majlis penutup serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh En. Zul Fadhli Bin Abd Aziz, Timbalan Pengarah Belia, dengan diiring Pn. Nor Safinah Bt Haya Timbalan Pengarah Rakan Muda JBSWPKL.
Acara ini memberi peluang kepada belia untuk mengembangkan bakat dalam sukan ekstrem sambil memupuk nilai positif dan semangat kesukanan.
20 Oktober 2024, Jalan Pudu - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh dengan kerjasama WSSA Malaysia serta Majlis Belia Kawasan Seputeh telah melaksanakan Program Pengenalan Sukan Dan Mari Mencuba Parlimen Seputeh 2024 sempena Program Jalan Untuk Sihat Lawan Kanser bertempat di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu.
Aktiviti sukan mari mencuba yang telah dipilih bagi sesi ini adalah sport stacking kerana sukan ini dapat menarik minat setiap golongan masyarakat tidak mengira bangsa dan tiada had umur tetapi hanya memerlukan ketangkasan, kebijaksanaan dalam menyusun strategi.
PBSK Seputeh mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia serta Encik Sabran bin Abd Bahar, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP Kuala Lumpur kerana sudi melapangkan masa untuk melawat booth Program Pengenalan Sukan Dan Mari Mencuba Parlimen Seputeh.
20 Oktober 2024, Taman Seputeh - Telah berlangsung pagi tadi Mobilisasi Satria Kawasan Seputeh : Program Menyantuni Kanak-Kanak bertempat di Rumah Anak Yatim Stepping Stone Living Center, Taman Seputeh Kuala Lumpur dengan penyertaan peserta melibatkan 50 orang.
Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh dengan kerjasama Majlis Belia Kawasan Seputeh dan Hindu Youth Organisasion (HYO) Seputeh telah melaksanakan program bermula pada jam 8 pagi iaitu pendaftaran peserta diikuti aktiviti senam cergas bersama anak-anak yatim dan juga Sukarelawan Mobilisasi SATRIA, seterusnya program diteruskan dengan aktiviti sukaneka kanak kanak , tiup belon, berjalan bawa sudu ping pong, mewarna, sesi luahan hati dan motivasi dan menyampaikan hasil sumbangan ikhlas dan cenderahati sukarelawan kepada rumah perlindungan tersebut.
Encik Mohd Ibrahim bin Mohammad Yussop, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh dan Encik Loh Tze Jye Presiden Majlis Belia Kawasan Seputeh telah hadir dalam program ini dan seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada rumah perlindungan tersebut.
20 Oktober 2024, Taman Seputeh - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh bersama Kelab Belia Residensi Awani 3 telah melaksanakan Fit Komuniti @ Seputeh 2024 Siri 10 pada hari ini di Rumah Anak Yatim Stepping Stone Living Center, Taman Seputeh Kuala Lumpur.
Aktivti senam sihat bersama instruktur dari Kelab Senamrobik Retro telah diadakan sekitar jam 8.30 pagi dengan penyertaan seramai 50 org peserta merangkumi anak-anak yatim serta sukarelawan dari Hindu Youth Organisasion (HYO) Kawasan Seputeh.
Fit Komuniti @ Seputeh siri 11 akan diteruskan pada 26 Oktober 2024 bertempat di Tabika Perpaduan, Kg.Petaling Bahagia bermula jam 8.00 pagi.
Program Rakan Muda Ekspresi: Battle of Acoustic Band telah berlangsung dengan jayanya pada 13 Oktober 2024 bertempat di Lalaport BB, Wow Plaza, Pertandingan ini menyaksikan penyertaan band akustik yang berbakat, bersaing untuk merebut hadiah utama.
Sebanyak tiga hadiah disediakan untuk para pemenang:
Juara: RM2,500.00
Naib Juara: RM1,500.00
Tempat Ketiga: RM500.00
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pn. Nor Safinah Bt Haya, Timbalan Pengarah Rakan Muda yang mewakili Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WPKL, dan turut diiringi oleh Encik Wady Hamdan, Presiden Buskers Malaysia. Program ini berjaya menarik minat pelbagai lapisan masyarakat dan diserikan dengan persembahan luar biasa dari para peserta.
Acara ini bukan sahaja mencungkil bakat muda dalam bidang muzik akustik, tetapi juga menjadi platform bagi golongan muda untuk mengekspresikan kreativiti mereka melalui muzik dalam suasana yang kompetitif tetapi mesra.
12 Oktober 2024, Taman Desa - Program Fit Komuniti @ Seputeh 2024 Siri 9 tetap diteruskan walaupun setiap warga kerja Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh sedang sibuk melaksanakan HSN Seputeh 2024.
Dua aktiviti di bawah Program Fit Komuniti @ Seputeh 2024 telah diselit bersempena Majlis Perasmian Sambutan HSN Seputeh 2024 iaitu senaman QiGong dari 74 W Taman Desa Infinite Qigong dan Lian Dance dari Taman Desa Line Dancing.
Senaman yang berkonsepkan chicken dance telah menarik minat pelbagai masyarakat untuk melakukannya tidak kira bangsa, umur dan jantina. Puan Wan Noorzuliana bt Wan Hussin, Pengurus DBKL Cawangan Seputeh bersama tetamu jemputan turut sama melakukan aktiviti senaman ini yang telah bermula sekitar jam 7 pagi di Taman Desa Recreational Park, Taman Desa.
Semoga komuniti Seputeh akan terus sihat dan cergas dalam melaksanakan aktiviti harian mereka. Jumpa nanti di Fit Komuniti @ Seputeh 2024 Siri 10 di Kg.Petaling Bahagia, Kuala Lumpur jam 8.30 pagi.
12 Oktober 2024, Taman Desa - Pagi tadi sekitar jam 9.30 pagi telah diadakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kawasan Seputeh 2024 di Taman Desa Recreational Park, Taman Desa yang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh.
Sebelum majlis perasmian diadakan, pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya aktiviti senamrobik dari Kelab Senamrobik Retro (KSR) sebagai acara pemanasan badan diikuti dengan aktiviti Fun Run serta Brisk Walk sekitar taman rekreasi TDRA. Puan Wan Noorzuliana bt Wan Hussin, Pengurus DBKL Cawangan Seputeh berbesar hati turut serta dalam aktiviti tersebut bersama dengan tetamu jemputan yang lain.
Selain dari itu, Program Rakan Bumi : Plogging @ Komuniti Seputeh turut diadakan sempena HSN Seputeh 2024. Peserta terdiri daripasa pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Yarl, Kuala Lumpur. Turut hadir bagi aktiviti tersebut Dr.Ahmad Kamal Ariffin, Pengetua SMK Taman Yarl.
YB Teresa Kok bersama Puan Wan Noorzuliana telah menyahut cabaran untuk melakukan aktiviti Sukan Mari Mencuba iaitu Stacking Sports sebagai Gimik Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Kawasan Seputeh 2024. YB Teresa Kok bersama tetamu jemputan yang lain turut ke khemah Pengenalan Sukan Baharu Sukan Mari Mencuba yang lain iaitu permainan batu seremban, penutup botol dan juga kabaddi/galah panjang. Beliau juga sempat melihat pameran kesihatan dari Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan turut membuat pemeriksaan kesihatan.
Akhir sekali, Encik Azmee Amar Azwan, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh mewakili Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh merakamkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kawasan Seputeh 2024.
11 Oktober 2024, Kuala Lumpur - Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Seputeh dengan kerjasama Kelab Senamrobik Retro (KSR) telah memulakan langkah pada hari ini dalam melaksanakan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kawasan Seputeh 2024 bersama rakan strategik yang telah dipilih.
Tiga lokasi yang berada di dalam Kawasan Seputeh iaitu Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL) Jalan Kuchai Lama, SMK Taman Yarl dan SMK Seri Sentosa telah melaksanakan HSN Seputeh pada hari ini dengan jayanya. Antara aktiviti yang dilaksanakan senamrobik, funwalk, pertandingan sukan dan beberapa aktiviti yang dianggap sesuai serta dapat melibatkan penglibatan yang ramai tidak mengira had umur.
Encik Azmee Amar Azwan Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Seputeh bersama kakitangan PBSK Seputeh merakamkan jutaan terima kasih kepada rakan strategik yang telah melaksanakan HSN Seputeh 2024 pada hari ini.
Ayuh esok warga Seputeh, kita ramai-ramai hadir di Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kawasan Seputeh 2024 yang akan dilaksanakan bertempat di Taman Desa Recreational Park, Taman Desa bermula jam 7.30 pagi sehingga 1.00 tengahari.
KL Gateway Mall, 6 Oktober 2024 – Program Pengenalan Sukan dan Mari Mencuba Peringkat Kawasan Lembah Pantai telah berlangsung dengan meriah di KL Gateway Mall hari ini. Program ini dianjurkan dengan kerjasama erat antara Persatuan Belia Seri Cempaka, KL Gateway Mall, dan Kelab CMC Chess, yang bertujuan memperkenalkan pelbagai jenis sukan kepada komuniti setempat serta memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba sukan-sukan tersebut.
Program ini telah dirasmikan oleh Encik Akhramsyah Sanusi, Presiden Persekutuan Catur Malaysia. Acara yang bermula pada jam 8 pagi ini menyaksikan kehadiran lebih daripada 200 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak, belia, dan warga emas.
Program ini bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dalam kalangan komuniti serta memberi peluang kepada golongan belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan sihat. Selain itu, Kelab CMC Chess turut menarik perhatian ramai dengan sesi permainan catur interaktif yang dibuka kepada pengunjung. “Catur bukan hanya permainan mental, tetapi juga membantu mengasah kemahiran membuat keputusan dan strategi,” kata wakil Kelab CMC Chess, Encik Zamri bin Abdullah.
Program Pengenalan Sukan dan Mari Mencuba ini diakhiri dengan upacara penutupan pada jam 6 petang, di mana para peserta dan penganjur sepakat untuk meneruskan usaha mempromosikan aktiviti kesukanan dalam kalangan komuniti setempat.