Pasir Mas, 8 Julai 2025 – Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, telah mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Pasir Mas bagi meninjau tapak bangunan pejabat baharu yang dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2026.
Ruang pejabat baharu ini terletak strategik di tengah-tengah bandar Pasir Mas dan dilengkapi dengan kemudahan yang lebih selesa seperti kawasan bebas banjir, ruang parkir yang luas, serta suasana persekitaran yang lebih mesra pengguna. Kemudahan ini dijangka akan memberikan keselesaan dan kemudahan kepada para belia serta pihak berkepentingan yang berurusan dengan PBSD.
Lawatan ini turut mempamerkan komitmen Jabatan Belia dan Sukan dalam memperkukuh sistem sokongan dan pentadbiran yang lebih efisien untuk pembangunan belia di daerah tersebut.
Pasir Mas, 7 Julai 2025 – Satu perbincangan strategik telah diadakan antara Encik Mohd Sarimat bin Salleh, Pembantu Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas (Sukan), dan Puan Nur Hafiza Shaari, Pegawai Teknikal PPD Catur, bertempat di Sekolah Kebangsaan Bechah Durian, Pasir Mas.
Tujuan utama pertemuan ini adalah untuk menyelaraskan persediaan awal bagi penganjuran Kejohanan Catur 1000 Liga Daerah Pasir Mas yang dijadualkan berlangsung pada 6 September 2025. Inisiatif ini bertujuan menggalakkan penyertaan aktif pelbagai lapisan masyarakat dalam sukan catur serta memperkukuh semangat kesukanan dan intelektual dalam kalangan belia setempat.
Perbincangan turut merangkumi aspek teknikal, pengurusan pertandingan, penilaian peserta, serta strategi promosi bagi memastikan sambutan yang memberangsangkan dari komuniti Pasir Mas. Penganjuran kejohanan ini dijangka menjadi titik tolak kepada pembangunan sukan catur secara lebih menyeluruh di daerah tersebut.
Kota Bharu, 8 Julai 2025 – Pasukan Futsal Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dari Pasir Mas telah mengambil bahagian dalam Liga Sukan OKU Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang telah berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Panji pada Julai 2025.
Kejohanan yang dianjurkan ini melibatkan penyertaan atlet OKU kategori fizikal dan pembelajaran berumur 15 tahun ke atas, sekali gus menjadi platform inklusif yang menggalakkan penyertaan aktif OKU dalam sukan kompetitif. 10 daerah berentap pada hari berkenaan namun Nasib tidak menyebelahi pasukan daerah Pasir Mas.
Pencarian bakat atlet Pasukan Futsal Lelaki ini telah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Mas. Semangat pegawai Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas bersama Pegawai PPD Pasir Mas dan jurulatih futsal daerah Pasir Mas. Penganjuran Liga Sukan OKU ini membuktikan bahawa golongan OKU mampu mencapai kecemerlangan dengan sokongan yang menyeluruh serta peluang yang adil dalam bidang sukan.
Kota Bharu, 8 Julai 2025 – Pasukan bowling wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dari Pasir Mas mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih tempat Naib Johan dalam Liga Sukan OKU Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang telah berlangsung di Lite Superbowl JB7, Mydin Tunjong pada 4 Julai 2025.
Kejohanan yang dianjurkan ini melibatkan penyertaan atlet OKU kategori fizikal dan pembelajaran berumur 15 tahun ke atas, sekali gus menjadi platform inklusif yang menggalakkan penyertaan aktif OKU dalam sukan kompetitif. Sebagai tanda pengiktirafan, pasukan Pasir Mas menerima pingat perak, mock cheque, dan hadiah wang tunai sebanyak RM200.00.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Puan Siti Mariam bt Ahmad Tobias, Pengarah Cawangan Pembangunan Sukan OKU, Jabatan Belia dan Sukan Negara. Turut hadir memberi sokongan ialah Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan Daerah Pasir Mas, malah membuktikan bahawa golongan OKU mampu mencapai kecemerlangan dengan sokongan yang menyeluruh serta peluang yang adil dalam bidang sukan.
Pasir Mas, 3 Julai 2025 – Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Pasir Mas berjaya dilaksanakan dengan lancar serta menerima sambutan yang amat baik daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini.
Persidangan ini dipengerusikan oleh Ketua Jajahan Pasir Mas, YABRs Tuan Haji Shamsul bin Abu Bakar, yang menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan NGO bagi memacu pembangunan belia setempat. Beliau menyeru agar semua pihak memainkan peranan aktif supaya belia-belia Pasir Mas tidak ketinggalan dari pelbagai aspek pembangunan dan tidak terjerumus dalam gejala sosial yang semakin membimbangkan. Puan Nur Aliaa binti Wan Johan bersama En. Mohd Sarimat bin Salleh dan En. Mohd Faidhi bin Mohd Nor daripada Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Mas telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan persidangan ini.
Lima usul utama telah diketengahkan sepanjang persidangan, meliputi pelbagai keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh belia setempat. Antara isu penting yang dibangkitkan termasuk: - Peningkatan infrastruktur dan kemudahan rekreasi untuk aktiviti belia di kawasan Pasir Mas. - Penyediaan peluang dan ruang keusahawanan bagi golongan muda, termasuk sokongan latihan dan pemasaran. - Penambahbaikan akses kepada perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar yang kurang liputan. - Penekanan terhadap inisiatif pembangunan sahsiah dan kepimpinan belia melalui program komuniti berstruktur. - Cadangan bagi memperkukuh kerjasama antara agensi tempatan dan NGO dalam melaksanakan program pembangunan belia yang lebih inklusif.
Persidangan ini menjadi platform penting bagi menyuarakan pandangan belia dan mencorakkan hala tuju pembangunan belia di peringkat daerah. Komitmen semua pihak jelas memperlihatkan kesungguhan ke arah menjadikan Pasir Mas sebagai daerah mesra belia yang progresif.
Pasir Mas, 8 Julai 2025 – Persiapan bagi Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Pasir Mas berjalan lancar dengan kerjasama erat antara Majlis Belia Jajahan Pasir Mas dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 2 Julai 2025 bertempat di Bilik Gerakan, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Kerja-kerja persiapan telah bermula seawal jam 2.30 petang, melibatkan pemasangan banting serta penyusunan ruang bagi agensi dan persatuan belia yang akan menyertai majlis berkenaan.
Bagi memastikan kelancaran keseluruhan program pada 3 Julai nanti, satu raptai penuh telah dijalankan pada jam 4.00 petang. Keseluruhan proses berjalan dengan teratur, mencerminkan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program belia ini.
Majlis tersebut dijangka menjadi platform penting untuk perbincangan, perkongsian idea, dan pembangunan belia di peringkat daerah.
GUA MUSANG, 7 JULAI 2025 (ISNIN) –Sebagai usaha memperkasakan belia luar bandar dengan kemahiran hidup yang praktikal dan relevan dengan keperluan semasa pasaran kerja, Program Rakan Muda – Rakan Mahir: Skills For Life Peringkat Daerah Gua Musang 2025 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya menerusi modul Dandanan Rambut, bertempat di Bilik Aktiviti KPKT, Lot 10, Bangunan Kedai PPR, Gua Musang semalam.
Program sehari ini telah menghimpunkan seramai 23 orang peserta dari kalangan belia tempatan berumur antara 15 hingga 30 tahun, yang hadir untuk mempelajari asas teknik gunting rambut moden dan dandanan lelaki secara intensif. Program ini telah dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Gua Musang dengan kerjasama Brojaa Barbershop GM, yang bertindak sebagai tenaga pengajar dan fasilitator sepanjang sesi berlangsung.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Syahbuddin bin Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, yang turut menyampaikan ucapan motivasi kepada para peserta. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha seperti ini adalah satu pelaburan penting dalam membina masa depan belia yang lebih cerah dan berdaya saing. Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif-inisiatif seumpama ini yang mampu memberikan nilai tambah kepada kehidupan anak muda, terutamanya dalam komuniti luar bandar.Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Azman bin Mohd Yusoff, wakil daripada Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti Gua Musang.
Program ini dilaksanakan di bawah Elemen Rakan Mahir dalam inisiatif Rakan Muda, yang memberi penekanan terhadap latihan kemahiran teknikal dan vokasional. Ia bertujuan bukan sahaja untuk menambah baik keupayaan individu, malah menyemai minat dalam bidang keusahawanan serta menyumbang kepada penjanaan pendapatan secara berdikari. Pelaksanaan program ini juga mencerminkan komitmen bersama antara agensi kerajaan, komuniti tempatan dan sektor belia dalam menjayakan agenda pembangunan insan dan kerjaya di peringkat akar umbi.
Kuala Krai, 7 Julai 2025 – Mesyuarat Penyelarasaan Program Sukan Komuniti Luar Bandar Peringkat Negeri Kelantan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Majlis Daerah Kuala Krai bagi membincangkan persiapan dan pelaksanaan program Sukan Luar Bandar (SLB) bagi tahun 2025.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) dan turut dihadiri oleh wakil-wakil dari agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, penggerak sukan komuniti serta wakil-wakil pertubuhan belia dan NGO tempatan.
Antara agenda utama mesyuarat ialah: -Penetapan tarikh dan lokasi pertandingan -Pemilihan jenis sukan yang akan dipertandingkan -Pengagihan tugas jawatankuasa kerja -Penyelarasan logistik dan keperluan teknikal -Langkah keselamatan dan kesihatan peserta
Mesyuarat ini juga bertujuan untuk memastikan pelaksanaan SLB 2025 berjalan lancar dan mencapai objektif memperkasakan sukan di peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar. Program Sukan Komuniti Luar Bandar ini dijangka akan berlangsung pada bulan September 2025 di Padang Bola Kampung Baru Kuala Nal dan melibatkan penyertaan dari seluruh daerah di Kuala Krai. Sebelum mesyuarat ini berlangsung turut diadakan lawatan tapak untuk melihat fasiliti dan berjumpa dengan jawatankuasa komuniti.
Turut hadir, Puan Rosnani binti Haji Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, Puan Siti Hassiah binti Hussin, Pegawai Penggalakan dan Pembangunan JBSNK, Puan Asnita binti Azmi, Encik Nur Syazwan bin Sak Ali, Encik Mohd Azam Wahidi bin Suhaini, kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai.
Di sediakan oleh : Urus Setia Portal Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
JOHOR BHARU, 2 JULAI 2025 – Baru-baru ini telah berlangsung Kejohanan MAKSAK Indoor Games anjuran MAKSAK Malaysia bertempat di Dewan Kenanga Majlis Bandaraya Johor Bharu, Johor pada 19 hingga 22 Julai 2025. Antara acara sukan yang dipertandingkan bersempena MAKSAK Indoor Games ini ialah Dart, Catur, Karom dan E-Sport.
Seramai sebelas (11) orang atlet Dart dari pelbagai agensi Kerajaan telah terpilih bagi mewakili negeri Kelantan. Dua (2) daripada atlet tersebut merupakan pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan iaitu Puan Nur Amysiah binti Yusof, Pegawai Kepimpinan dan Pembangunan Sahsiah dan Puan Noorulainiaziela binti Mohamad, Pembantu Tadbir (Kewangan).
Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan yang telah dilantik sebagai Pengurus Pasukan Dart MAKSAK Indoor Games bagi kali kedua berturut-turut merumuskan bahawa pencapaian atlet bagi tahun ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dimana dua (2) kategori layak ke peringkat Suku Akhir berbanding tahun lepas hanya satu (1) kategori yang layak ke peringkat Suku akhir.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Belia, JBSNK