- JBS Kelantan
- Hits: 12
PROGRAM RAKAN MUZIK : RENTAK SENI SIRI 1 SEMARAKKAN BAKAT PELAJAR SMK PANGKAL KALONG
- JBS Kelantan
- Hits: 12
KOTA BHARU, 25 Julai 2025 – Program Rakan Muda: Rakan Muzik – Rentak Seni Siri 1 telah membuka tirai penganjurannya dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Kalong, melibatkan penyertaan seramai 26 orang pelajar yang berpotensi dalam bidang seni suara dan persembahan muzik tradisional.
Program ini merupakan inisiatif Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu di bawah segmen Rakan Muda: Rakan Muzik, dengan memberi tumpuan kepada pengembangan bakat seni muzik dan dikir barat dalam kalangan pelajar sekolah menengah. Antara pengisian utama sepanjang program termasuk pendedahan asas persembahan vokal dan instrumen, latihan irama dan tempo, serta elemen persembahan berkumpulan dan pengurusan pentas yang menekankan disiplin serta kerjasama.
Menurut Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, penganjuran siri Rentak Seni ini bertujuan melahirkan pelapis muda dalam dunia seni muzik tradisional, terutamanya dalam genre dikir barat yang merupakan warisan budaya Kelantan. Beliau turut menekankan bahawa program ini bukan sekadar aktiviti hiburan, tetapi sebagai platform membentuk sahsiah, keyakinan diri serta jati diri belia melalui pendekatan kesenian.
“Rentak Seni bukan sekadar program muzik, tetapi wadah untuk kita pupuk kreativiti dan semangat kesenian dalam kalangan belia yang semakin terdedah kepada pelbagai cabaran moden,” ujar beliau semasa sesi bersama peserta.Pihak pengurusan SMK Pangkal Kalong turut menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dalam memperluaskan program kesenian dan pembangunan belia di peringkat sekolah.
Program diakhiri dengan persembahan mini oleh peserta sebagai simbol penghargaan terhadap usaha dan semangat mereka sepanjang sesi berlangsung. Siri ini dijangka akan diteruskan ke beberapa sekolah terpilih di sekitar daerah Kota Bharu sebagai sebahagian usaha menyemarakkan seni budaya tempatan dalam kalangan generasi muda.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu