MOBILISASI SATRIA KOTA BHARU SEMARAK SEMANGAT SUKARELAWAN DI PANTAI TAPANG

BACHOK, 31 Julai 2025 – Keindahan Pantai Tapang, Bachok menjadi latar penuh simbolik bagi penganjuran Program Rakan Muda: Mobilisasi Skuad Anak Muda (SATRIA) yang menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai institusi pendidikan dan organisasi belia. Program ini dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu sebagai platform memperkasa jati diri belia melalui aktiviti berimpak tinggi yang berteraskan nilai sukarelawan, kepimpinan dan cintakan alam sekitar.

Penyertaan terdiri daripada wakil SMK Kubang Kerian, SMK Pangkal Kalong, Maahad Muhammadi Lelaki (MML), Maahad Muhammadi Perempuan (MMP), ABIM, dan Kelab Belia Tunjung. Program bermula dengan sesi senamrobik ceria sebelum peserta menyertai aktiviti berjalan menyusuri pesisir pantai sambil mengutip sampah sebagai inisiatif memupuk kesedaran alam sekitar di kalangan generasi muda.
Pengisian turut diserikan dengan aktiviti sukaneka yang mencetuskan semangat kekitaan dan kebersamaan antara peserta dari pelbagai latar belakang. Cabutan bertuah dan sesi santai interaktif menjadikan suasana lebih mesra dan inklusif, mencerminkan roh perpaduan dan kerjasama yang menjadi teras program.

Menurut Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, program SATRIA bukan sekadar aktiviti lapangan, tetapi medan pembangunan sahsiah belia yang berorientasikan nilai kemasyarakatan, kepimpinan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Beliau menegaskan bahawa inisiatif seperti ini penting untuk membentuk sukarelawan muda yang berdaya tahan dan bersedia menyumbang secara aktif kepada negara.

Program berakhir dengan sesi refleksi dan penyampaian cenderahati, membawa pulang bukan sahaja kenangan manis tetapi semangat baharu yang menyala dalam diri peserta untuk terus menjadi agen perubahan positif dalam komuniti masing-masing.

Disediakan oleh : Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 11:13:28

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search