RENTAK SENI SIRI 2 PERKASA WARISAN DIKIR BARAT DALAM KALANGAN PELAJAR

KOTA BHARU, 27 Julai 2025 – Program Rakan Muda: Rakan Muzik – Rentak Seni Siri 2 terus memperkukuh usaha memartabatkan seni warisan apabila siri terbaharu memberi fokus kepada penghayatan dan pembelajaran seni Dikir Barat dalam kalangan pelajar sekolah menengah di daerah ini.

Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu ini merupakan kesinambungan kepada komitmen untuk menyemai kecintaan terhadap seni budaya tempatan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada arus budaya moden. Kali ini, sesi tumpuan diberikan kepada teknik persembahan lengkap Dikir Barat, merangkumi vokal awok-awok, paluan rebana, gerakan tangan, ekspresi wajah serta pengurusan persembahan pentas.

Sesi latihan dikendalikan oleh jurulatih dikir barat bertauliah yang berpengalaman luas dalam bidang kesenian tradisional. Sepanjang program berlangsung, pelajar menunjukkan komitmen tinggi dengan mendalami irama, tempo, dan lirik pantun yang menjadi identiti utama seni dikir barat.

Menurut Puan Nurul Asmad binti Che Harun, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, sambutan dan minat mendalam daripada para pelajar amat membanggakan.
“Apa yang membanggakan, pelajar bukan sahaja hadir untuk mencuba, malah benar-benar berlatih bersungguh-sungguh dan menunjukkan minat yang mendalam terhadap seni Dikir Barat. Ini satu petanda positif dalam usaha kita memulihara seni warisan Melayu secara berterusan,” jelas beliau.

Selain mengasah bakat dan kreativiti peserta, program ini juga dilihat sebagai medium mendidik golongan muda tentang nilai warisan budaya, kerjasama berpasukan, serta penghargaan terhadap seni tempatan.

Pihak sekolah yang terlibat menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan komitmen untuk memperluaskan latihan secara berkala sebagai persediaan kepada pelajar menyertai pertandingan mahupun persembahan kesenian peringkat daerah atau negeri. Program ini dijangka menjadi antara platform utama dalam strategi pembangunan belia berteraskan seni budaya di peringkat akar umbi.

Disediakan oleh: Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 03-10-2025, 11:13:28

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search