- JBS Kelantan
- Hits: 15
RAKAN MAHIR:SKILL FOR LIFE@PENGHASILAN KEK KUKUS TARIK MINAT BELIA
- JBS Kelantan
- Hits: 15
KOTA BHARU, 27 JULAI 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu dengan kerjasama Kolej Komuniti Kok Lanas telah berjaya menganjurkan Program Rakan Mahir: Penghasilan Kek Kukus pada 18 Julai 2025 bertempat di Bilik Bakery, Kolej Komuniti Kok Lanas. Program ini melibatkan penyertaan seramai 26 orang peserta daripada kalangan belia dan komuniti setempat.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif latihan kemahiran jangka pendek yang memberi tumpuan kepada aspek Do-it-Yourself (DIY), sebagai salah satu kaedah alternatif dalam menangani kos sara hidup yang semakin mencabar. Melalui pengisian praktikal ini, peserta didedahkan kepada kemahiran asas dalam bidang bakeri yang berpotensi menjana pendapatan sampingan atau keusahawanan kecil-kecilan.
Objektif utama program ini adalah untuk membuka akses latihan kemahiran asas kepada belia, memberi pendedahan kepada bidang baharu yang relevan dengan keperluan harian serta membantu mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan luaran melalui kebolehan kendiri.
Dalam sesi pengajaran yang dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman, Puan Ainih binti Abdul Hamid, peserta diajar teknik asas penyediaan kek kukus seperti sukatan bahan, pengadunan dan proses pengukusan. Antara resipi yang dipelajari termasuk kek kukus coklat dan kek kukus pandan.
Turut hadir memantau pelaksanaan program ialah Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu, Puan Nor Farhana binti Che Ismail, yang menyatakan keyakinan bahawa program berasaskan kemahiran praktikal ini mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup belia tempatan.
Pihak penganjur berharap agar program sebegini dapat diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa kemahiran komuniti, selaras dengan aspirasi pembangunan belia yang lebih berdikari dan berdaya saing.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu