KOTA BHARU, 13 April 2025, Ahad (14 Syawal 1446H) - Bertempat di bilik Mesyuarat Aras 2, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah diadakan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Kerajaan (JKPAK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan & Akaun (JPKA) Bil.1/2025. Mesyuarat ini adalah bagi membentangkan Laporan Pengurusan Aset Alih, Pengurusan Bajet, Pengurusan Perakaunan, Pengurusan Perolehan, Pengurusan Aset dan Stor serta Pengurusan Pungutan dan Tunggakan Hasil Kombes.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Turut hadir mesyuarat ini adalah Puan Naziah binti Dollah, Timbalan Pengarah Belia, Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) dan Pegawai di Ibu Pejabat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan Daerah.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Pentadbiran JBSNK
Kota Bharu, 13 April 2025 – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan bertempat di Bilik Tamu, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu pada 9 April 2025 (Rabu).
Kunjungan hormat ini diadakan untuk perbincangan pelaksanaan Program Liga Sukan Orang Kurang Upaya (LiSOKU) Peringkat Negeri Kelantan. Program ini merupakan program sukan berbentuk pertandingan dan akan dilaksanakan di peringkat negeri bertujuan memberi peluang kepada Orang Kurang Upaya di peringkat akar umbi. Program ini juga merupakan program baharu yang diperkenalkan dan terbuka kepada semua golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di peringkat komuniti setempat bagi menjadikan aktiviti sukan sebagai satu gaya hidup yang sihat. Selain bertujuan untuk membudayakan sukan, mencungkil bakat di peringkat akar umbi, merealisasikan masyarakat yang cergas, sihat dan bersatu serta meningkatkan tahap keyakinan diri peserta. Sebanyak 3 jenis sukan wajib yang akan dipertandingkan iaitu Tenpin Boling (Individu dan Berpasukan Lelaki dan Wanita), Bola Tampar Duduk (Berpasukan Lelaki dan Wanita) dan Futsal (Berpasukan Lelaki dan Wanita). Pelaksanaan Liga Sukan Orang Kurang Upaya (LiSOKU) di peringkat Negeri Kelantan dijangka akan dilaksanakan pada 20 – 21 Jun 2025 bertempat di Superbowl Lite 7 Mydin, Tunjong (Tenpin Boling) dan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan (Bola Tampar Duduk dan Futsal).
Hadir pada perbincangan tersebut Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah (Sukan) JBSNK, Puan Nur Fadhlira binti Dungun, Pegawai Pembangunan Sukan OKU, JBSNK. Manakala Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di hadiri oleh Pn. Hajah Intan ‘Izzati binti Md. Hashim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, dan En. Muhammad Nazmi bin Abdul Mutalib, Pegawai Pendidikan Khas, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu. Diharapkan dengan jalinan kerjasama ini, Program Liga Sukan Orang Kurang Upaya (LiSOKU) Peringkat Negeri Kelantan ini akan dapat berlangsung dengan jayanya
Disediakan oleh : Urus setia Portal Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
KUALA KRAI, 9 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Kuala Krai telah mengadakan tinjauan awal ke Krai Park & Training Centre, lokasi yang dicadangkan bagi pelaksanaan Program Kem Belia Peringkat Daerah Kuala Krai Tahun 2025.
Program ini mensasarkan belia berumur antara 13 hingga 16 tahun yang berisiko, dan merupakan sebahagian daripada inisiatif intervensi sosial Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha membendung keterlibatan golongan belia dengan isu dan permasalahan sosial di peringkat akar umbi.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut ialah Puan Rosnani binti Haji Abdulah Zawawi, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai, serta Saudara Afiq Aiman, Pengerusi Majlis Belia Jajahan (MBJ) Kuala Krai. Kehadiran MBJ Kuala Krai mencerminkan komitmen kolaboratif antara agensi kerajaan dan pertubuhan belia dalam menjayakan usaha pembangunan sahsiah dan kepimpinan golongan muda.
Lawatan ini juga memberi ruang kepada pasukan pelaksana untuk membuat penilaian terhadap kemudahan dan persekitaran yang sesuai bagi melaksanakan aktiviti pembinaan karakter dan motivasi diri secara berkesan. PBSD Kuala Krai menerusi program ini akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan, NGO dan komuniti setempat, demi memastikan inisiatif pembangunan belia dapat memberi kesan jangka panjang yang positif kepada masyarakat.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
JELI, 24 Mac 2025- Majlis Khatam Al- Quran dan berbuka puasa mengakhiri Program Rakan Ekspresi: Rakan Muda Ramadhan Peringkat Daerah Jeli pada 23 Mac 2025 bersamaan 22 Ramadhan 1446H di Empat (4) buah Masjid dan Surau yang terpilih iaitu Masjid Mukim Kg. Kalai, Surau Al Falah, Kg Kuala Balah, Masjid Mukim Sg. Satan dan Surau At Taqwa, Bandar Jeli, yang melibatkan seramai 82 orang peserta keseluruhannya.
Antara aktiviti lain yang diadakan dalam majlis tersebut adalah Tazkirah Ramadhan, Penyampian Sijil kepada peserta yang terlibat dan Majlis Berbuka Puasa. Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menarik minat belia menghidupkan bulan Ramadhan al-Mubarak dengan pengisian aktiviti dan program-program berbentuk kerohanian.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli merakamkan penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Masjid dan Surau yang terlibat, tidak lupa juga ucapan tahniah kepada semua peserta yang telah menyertai program dari awal hingga akhir, serta berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan untuk masa-masa yang akan datang.
Disediakan Oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli.
JELI, 24 Mac 2025- Sesi Perbincangan Meja Bulat bagi mengenalpasti punca dan permasalahan mengenai gejala sosial belia dan beliawanis di Daerah Jeli serta kesan kepada pembangunan belia setempat telah diadakan pada 23 Mac 2025, bertempat di Lalang’s Resort & Spa, Ayer Lanas, Jeli.
Sesi tersebut telah dianjurkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan, dengan menjemput beberapa agensi kerajaan di Daerah Jeli iaitu Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli, Puspen Jeli, AADK Jeli, Pejabat Pendidikan Jeli, Pejabat Kesihatan Jeli dan pemimpin setempat.
Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh Pegawai MKN yang bertujuan mencari idea-idea baharu untuk penambahbaikan dalam kerjasama antara agensi yang melibatkan pembangunan belia lebih diberi perhatian. Dalam majlis tersebut telah diadakan juga sesi bergambar dan jamuan berbuka puasa. YBrs Puan Hazmanita binti Che Hamid selaku Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jeli hadir pada sesi perbincangan tersebut.
Disediakan oleh Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jeli.
KOTA BHARU, 27 Mac 2025 – Majlis Berbuka Puasa bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah diadakan semalam bertempat di Padang Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan. Program ini bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara semua pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan sambil menikmati keberkatan bulan Ramadan.
Majlis ini turut diserikan dengan pelbagai juadah berbuka puasa iaitu menu utama adalah Gulai Rusa, Ayam Percik, Lemak Daging Bakar, Ayam Panggang, Aneka Air Balang dan pelbagai kuih-muih. Kehadiran pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan mencerminkan semangat kebersamaan dan ukhwah yang kukuh dalam keluarga Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan di bawah pimpinan YBrs En. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Disediakan oleh : Urus setia Portal Bahagian Pentadbiran, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
KOTA BHARU, 26 Mac 2025, Rabu – Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSNK) telah mengadakan Perhimpunan Bulanan Pegawai dan Kakitangan bertempat di Dewan Malaysia, (JBSNK). Perhimpunan bulanan ini diadakan bertujuan untuk menyemai nilai-nilai murni dan memupuk semangat bergerak ke arah satu haluan bagi mencapai matlamat pembangunan dan kesejahteraan negara di kalangan warga (JBSNK). Nilai-nilai murni seperti benar, amanah, adil, bijaksana, telus, bersyukur, bertanggungjawab dan berdisiplin perlu disemai dan dijadikan teladan dalam perkhidmatan ini.
Atur cara perhimpunan bulanan ini dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, nyanyian lagu Selamat Sultan, Bacaan Ikrar Penjawat Awam serta amanat yang telah disampaikan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria , Pengarah (JBSNK). Turut diadakan Penyampaian Anugerah bagi Program The Biggest Loser Challenge @ JBSNK 2025 yang telah di sertai oleh Pegawai dan kakitangan di Jabatan. Seramai 5 (lima) orang pemenang telah menerima hadiah wang tunai yang disampaikan oleh Tuan Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah (JBSNK) dan diiringi oleh Encik Hazri Nizam bin Zakaria, Timbalan Pengarah Sukan (JBSNK). Objektif program ini adalah untuk memastikan kakitangan JBSNK mempunyai berat badan yang ideal dan mengamalkan kehidupan gaya hidup sihat dan membudayakan pengamalan gaya hidup sihat.
Berikut adalah senarai Pemenang Program The Biggest Loser Challenge @ JBSNK 2025 :- 1.PUAN ROZILAWATI BINTI ABDUL RAHMAN (PENURUNAN SEBANYAK 3.9 KG) 2.ENCIK SYED ABDUL AZIZ BIN ENGKU CHIK ABDULLAH (PENURUNAN SEBANYAK 3.8 KG) 3.ENCIK MOHD SAIPUDDIN BIN ZAKARIA (PENURUNAN SEBANYAK 3.6 KG) 4.HAZRI NIZAM BIN ZAKARIA (PENURUNAN SEBANYAK 3.5 KG) 5.SITI SURIATI BINTI ZAKARIA (PENURUNAN SEBANYAK 3.4 KG)
Pada Majlis Perhimpunan Bulanan ini, diserikan dengan Tazkirah Ramadan yang bertajuk Ramadan yang Terakhir telah disampaikan oleh Ustaz Saibon bin Ismail, Pegawai Agama Jajahan Kuala Krai. Malam sepuluh terakhir Ramadan dikenali dengan kehadiran Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam ini, ganjaran ibadah dilipat gandakan dengan luar biasa. Antara amalan yang dianjurkan ialah Memperbanyakkan Ibadah Malam (Qiamullail), Memberi sedekah dan membantu sesama, I’tikaf di Masjid dan Mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan komuniti. Pada penghujung Program turut diadakan Majlis Berbuka Puasa beramai-ramai bertempat di Padang Kompleks Belia dan Sukan Panji.
Disediakan oleh: Urusetia Portal Bahagian Pentadbiran, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan
TUMPAT, 27 Mac 2025 – Masjid Warisan Kampung Laut, Tumpat bergema dengan alunan ayat suci Al-Quran dalam Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Program Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Tumpat yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan keberkatan semalam. Majlis ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi wadah menyuburkan kecintaan terhadap Al-Quran serta memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kalangan belia Tumpat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara beramai-ramai oleh 80 peserta yang terdiri daripada 4 masjid sekitar Daerah Tumpat. Saat yang dinantikan tiba apabila bacaan doa khatam dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Muhammad Habibullah Bin Hussian, mencipta suasana penuh syahdu dan keinsafan. Tazkirah ringkas yang disampaikan turut mengingatkan hadirin tentang keutamaan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Seterusnya majlis diteruskan lagi dengan ucapan aluan oleh YABrs Tuan Mohamad Nazwan Bin Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat serta ucapan perasmian penutup bagi Program Perkampungan Ramadan dan Program Ekspresi Rakan Muda Ramadan Peringkat Daerah Tumpat daripada YB Dato’ Bentara Kanan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob, ADUN Pasir Pekan. Beliau yang dalam ucapan perasmiannya telah mengucapkan syabas dan tahniah serta harapan kepada peserta-peserta yang diraikan dalam majlis ini agar menghargai kesungguhan mereka dalam menamatkan hafazan dengan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan hafazan 30 juzuk.
Majlis ini juga turut diserikan dengan penyampaian sijil penyertaan dan sumbangan kepada pembimbing tadarus dan peserta-peserta yang terlibat. Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat kekal komited dalam usaha menyemarakkan nilai-nilai Islam dan akan terus menganjurkan program-program berbentuk keagamaan bagi memantapkan keimanan serta memperkukuhkan jati diri belia daerah Tumpat.
TUMPAT, 27 MAC 2025 - Mesyuarat Penyelarasan Liga Sukan Komuniti Peringkat Daerah Tumpat bersama penyelaras teknikal sukan telah diadakan pada 25 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat. Taklimat telah disampaikan oleh Encik Mohamad Saupi bin Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tumpat.
Program LSK merupakan program sukan yang berbentuk pertandingan dan dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Program ini dilaksanakan untuk memupuk minat dan menarik penyertaan lebih ramai dari pelbagai peringkat umur di peringkat akar umbi ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Sukan (Sporting Nation).
Setiap daerah wajib melaksanakan 3 jenis sukan iaitu bola jaring, ping pong dan sepak takraw. LSK peringkat Daerah Tumpat dijangka akan berlangsung pada bulan April nanti. Johan dan Naib Johan pertandingan LSK Peringkat Daerah akan mewakili daerah ke Peringkat Negeri.