MACHANG, 20 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2025 pada 20 April 2025 bermula pada pukul 11.00 pagi sehingga pukul 3.00 petang.
Pelbagai jenis juadah makanan dan minuman telah disediakan secara potluck antaranya adalah nasi dagang Kelantan, soto, roti jala, laksa dan laksam, spaghetti, ketupat, kek lapis Sarawak, brownies, koktel buah, dan lain lain lagi.
Antara tetamu yang hadir ke majlis ini ialah Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, dan Encik Mohd Izwandy bin Ismail, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
MACHANG, 20 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah menyertai dangan jayanya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 bertempat di Perkarangan Tempat Letak Kereta Kompleks Belia dan Sukan (Kombes) Panji pada 17 April 2024 yang berlangsung dari pukul 8.00 malam sehingga pukul 11.00 malam.
Pada sebelah siang, semua staf yang hadir di Kombes telah sama-sama bergotong royong memasak nasi beriani dan sup kambing. Selain itu, wakil-wakil dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) juga telah bertungkus lumus menghias dan menyiapkan booth masing-masing. PBSD Machang telah dipilih untuk menyediakan menu bihun soto.
YABrs En.Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan telah memberikan ucapan ringkas dan merasmikan majlis tersebut.
Disediakan oleh: Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
MACHANG, 17 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Machang telah mengadakan lawatan tapak ke Machang Riverside Campsite & Chalet (MRCC) dan telah memilih lokasi ini bagi pelaksanaan Program Kem Belia Peringkat Daerah Machang 2025.
Antara faktor pemilihan MRCC sebagai lokasi pelaksanaan Program Kem Belia Peringkat Daerah Machang 2025 adalah kerana segala kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh pihak kem memenuhi keperluan modul kem belia serta harga pakej yang ditawarkan adalah sangat berpatutan.
Encik Mohd Zul Izudin bin Samat, Penolong Pegawai Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang telah hadir melawat dan disambut mesra oleh Encik Muhammad Amin Nasrin bin Mohd Lofti, Pengurus Kem bersama Encik Raja Harris Aiman bin Kamarulzaman, Penolong Pengurus Kem.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Machang
KUALA KRAI, 30 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai telah mengadakan sesi jalinan kerjasama bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai hari ini bagi membincangkan persiapan Semarak Hari Belia Negara (HBN) peringkat daerah Kuala Krai yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mei 2025 dengan tema "Yakin Boleh".
Pelaksanaan Semarak HBN ini bertujuan untuk menyemarakkan bahang sambutan di peringkat akar umbi selain menyediakan platform strategik kepada pemegang taruh untuk menyumbang dalam pembangunan belia, memperluaskan penglibatan belia di semua lapisan masyarakat, serta menyemai semangat kecintaan dan patriotisme dalam kalangan belia untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara. Antara aktiviti menarik yang dirancang termasuk persembahan Dikir Barat, Perkongsian Terapi Jiwa, Pameran Rakan Muda dan Majlis Belia Jajahan Kuala Krai, Pertandingan Bola Sepak, serta Jualan Usahawan Belia. Pelaksanaan aktiviti ini berteraskan 13 segmen dari gaya hidup Rakan Muda.
Pertemuan strategik ini dihadiri oleh Puan Rosnani binti Haji Abdullah Zawawi (Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai), En Amran bin Ali (Timbalan PPD Sektor Pembangunan Murid), En. Amir bin Arifin (PK HEM, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai) serta Saudara Muhammmad Afiq Aiman bin Mohd Haslam (Pengerusi Majlis Belia Jajahan Kuala Krai). Kesemua pihak menunjukkan rasa teruja dan komitmen tinggi untuk memastikan sambutan Hari Belia Negara 2025 peringkat daerah Kuala Krai berlangsung dengan penuh semangat dan kejayaan.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
KUALA KRAI, 30 APRIL 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 23 April 2025 bertempat di ruang pejabat, dengan kehadiran pelbagai agensi serta rakan strategik termasuk NGO belia, sukan dan Rakan Muda dari seluruh daerah.
Majlis ini diadakan sebagai usaha untuk mengukuhkan hubungan strategik antara jabatan dan penggerak pembangunan belia serta sukan di peringkat akar umbi. Selain menyemarakkan semangat Syawal, ia turut menjadi platform penyebaran maklumat mengenai peranan dan kefungsian Pejabat Belia dan Sukan Daerah kepada para tetamu yang hadir.
Kehadiran YB Tuan Haji Abdul Latif bin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuala Krai, menyerlahkan sokongan serta kebersamaan pemimpin masyarakat dalam usaha pembangunan belia di daerah ini. Sokongan beliau memberi dorongan kepada warga kerja jabatan dan semua pihak terlibat untuk terus berganding bahu membina komuniti belia dan sukan yang lebih aktif, progresif dan berdaya saing.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Krai
Kota Bharu, 25 Mac 2025 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu telah menerima kunjungan daripada Kelab Sukan Bermotor Eksplorasi Kota Bharu pada 24 Mac 2025 bertempat di Bilik Mesyuarat JBSNK. Kelab Sukan Bermotor Eksplorasi Kota Bharu telah lulus pendaftaan dengan Pejabat Pesurujaya Sukan Malaysia pada 12 Februari 2025.
Tujuan utama kunjung hormat ini diadakan adalah untuk mengadakan perbincangan dan bertukar pendapat berkaitan pembangunan Sukan Bermotor Eksplorasi di Daerah Kota Bharu disamping mendapatkan padangan dan cadangan bagi permohonan Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Geran Padanan Sukan. Disamping itu juga turut dibincangkan ruang dan peluang jalinan kerjasama antara kedua-dua belah pihak serta hala tuju pembangunan sukan bermotor di Daerah Kota Bharu
YBrs Ir. Mohd Haizul bin Omar, Presiden Kelab Sukan Bermotor, hadir bersama Encik Wan Sayuti Azma bin Wan Ahmad, Setiausaha Kelab Bermotor, serta Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan Bermotor. Sesi perjumpaan ini telah dipengerusikan oleh Encik Syed Abdul Aziz bin Engku Chik Abdullah, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu.Turut hadir Puan Nor Farhana bt Che Ismail, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Bharu
KOTA BHARU, 25 Mac 2025 - Ramadan merupakan bulan diwajibkan ibadah puasa ke atas seluruh umat islam. Disamping itu, ia juga menjadi bulan yang paling dinantikan oleh orang beriman, lantaran pelbagai keistimewaan dan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT sepanjang bulan yang mulia penuh keberkatan ini.
Seramai 40 peserta dan 4 orang pembimbimg telah menghadiri Program Rakan Ekspresi : Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang telah di adakan pada 15 Mac 2025 bertempat di Masjid Jamek Ibrahimi Pasir Puteh, Kelantan. Program ini merupakan program ikonik Bahagian Pembangunan Rakan Muda yang dilaksanakan pada setiap tahun. Program Rakan Muda Ramadan terbuka kepada golongan belia yang beragama islam bermula usia 13 hingga 30 tahun. Ia merupakan satu inisiatif Kementerian Belia dan Sukan dalam meraikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta membudayakan amalan sunnah dalam kalangan belia.
Pelbagai pengisian kerohanian telah dilaksanakan dalam program tersebut antaranya Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran, Pertandingan Azan, Pertandingan Cerita Pendek bertemakan kisah-kisah dalam Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa. Saudara Ahmad Zikri bin Mohd Afendi telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Azan Subuh dan Iqamah. Mereka sangat teruja dengan program yang telah dianjurkan dan berharap program ini akan diteruskan untuk masa yang akan datang.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YABrs. Encik Mohd Roshdi bin Ismail, Ketua Jajahan Pasir Puteh dan majlis penyampaian hadiah pertandingan disampaikan oleh YB Zamakhshari bin Muhamad, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Ngo dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan. Turut hadir sama, Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Kelantan dan Al-Fadhil Ustaz Mohd Rosman bin Che Harun, Imam Tua Masjid Jamek Ibrahimi Pasir Puteh.
Disediakan oleh : Urus Setia Portal PBSD Kota Bharu
PASIR PUTEH, 24 APRIL 2025 : Telah menerima kunjungan hormat dari YBhg. Dato' Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ke Lawatan Kerja Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh pada hari ini.
Kumpulan pelawat telah diberi penerangan Taklimat Kemajuan Kerja Tapak Projek Kompleks Sukan Bukit Merbau oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan. Turut hadir Encik Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan dan turut sama Encik Sazli bin Mahmood, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh. Lawatan ini diadakan bagi memantau perkembangan semasa kemajuan kerja di tapak Kompleks Sukan Bukit Merbau .
PASIR PUTEH, 22 April 2025 – Selamat datang dan selamat bertugas di ucapkan kepada Puan Masyitah Fahillah binti Rosdi @ Mohd Rosdi ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh (PBSDPP) yang telah melapor diri di PBSD Pasir Puteh pada 21 April 2025.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di Institut Kemahiran Belia Negara Peretak dari tahun 2006 hingga 2008. Kemudian bertugas ke Pejabat Belia dan Sukan Daerah Raub selama 17 tahun.
Encik Sazli bin Mahmood, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh mengalukan dan memberi penerangan program-program yang perlu dilaksanakan sepanjang tahun ini. Semoga kehadiran beliau dapat mengembangkan hubungan di kalangan penggerak belia,sukan dan rakan muda di daerah Pasir Puteh khususnya .