'Genta Belia Kelantan’ Lonjak Semangat Usahawan Belia Kelantan

KOTA BHARU, 6 November 2025 – Gelombang semangat keusahawanan memenuhi ruang legar Mydin Mall Tunjong, apabila program Genta Pemerkasaan Ekonomi Belia X Karnival Usahawan KADA Tahun 2025 melabuhkan tirai setelah berlangsung selama tiga hari pada 23-25 Oktober 2025.

Sempena Program Karnival Usahawan KADA anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan turut membuka ruang kepada usahawan belia di mana ianya bukan sekadar pameran produk, tetapi menjadi platform komprehensif untuk mengangkat potensi ekonomi belia terutamanya dalam sektor agro-makanan dan industri asas tani.

Karnival kali ini berjaya menarik ribuan pengunjung dari seluruh Kelantan dan negeri berdekatan yang tidak melepaskan peluang untuk menyokong produk tempatan dan menyertai pelbagai aktiviti menarik. Pengerusi KADA, YBrs. Tuan Haji Khalid bin Abd Samad, dalam ucapan perasmiannya yang penuh inspirasi menekankan bahawa gabungan dua program utama ini adalah inisiatif strategik KADA untuk memperkasa golongan belia agar berani menceburi bidang keusahawanan. Hadir sama, YBrs. Tn. Mohd Saipuddin bin Zakaria, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan.

Sepanjang tiga hari program, para peserta dan usahawan didedahkan dengan pelbagai segmen berimpak tinggi, termasuk:
• Sesi Mentoring Perniagaan: Bimbingan terus dari usahawan yang berjaya dan pakar industri.
• Pameran Teknologi Agro: Demonstrasi penggunaan teknologi moden dalam pertanian dan pemprosesan makanan.
• Wacana Digital: Bengkel pemasaran digital dan e-dagang untuk meluaskan pasaran produk ke peringkat global oleh Tik Toker terkenal iaitu W M Azizul Solehin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Joe dan Abe Monster.
• Jualan Runcit Usahawan: Kira-kira 30 gerai usahawan KADA dan usahawan JBSNK mempamerkan produk agro-makanan, hasil tani, dan kraftangan.

Atiq Khair atau lebih dikenali sebagai Abe Peraih, 25, salah seorang usahawan Agro yang menjual produk sambal nyengat, menyifatkan karnival ini sebagai pemangkin semangat. "Sambutan yang memberangsangkan sepanjang karnival ini telah memberi keyakinan kepada saya untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih besar," ujarnya.
Program ini terbukti berjaya mencapai matlamatnya dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan serta membuka mata belia Kelantan bahawa sektor pertanian dan agro-makanan menjanjikan masa depan yang cerah melalui inovasi dan pemodenan.

#TeamKBS #TeamJBSN #JBSNKomited #JBSNKelantan #MalaysiaMADANI #RakanMuda #RakanAktif #MalaysiaAktif

Hannah Yeoh
Adam Adli
Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara
KBSMalaysia
JBSNegara
belia.my

Disediakan oleh : Urus Setia Portal Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan

Image

Kompleks Belia dan Sukan Panji
15200 Kota Bharu
Kelantan
Tel : 09-7661200 (Jabatan) / 09-7661300 (KOMBES)
Faks : 09-7642919

Emel: jbsnkelantan@kbs.gov.my
http://www.jbsn.gov.my/jbs-kelantan

Pautan Dalaman

Pautan Luar

Kemaskini Terakhir: 02-12-2025, 13:13:59

Copyright © 2025 JBSN | UPKP, BPM/KBS.

Design & Development By JoomShaper

Search