10 JULAI 2024, Kota Tinggi - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kota Tinggi (MBDKT) telah menganjurkan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Kota Tinggi. Majlis tersebut telah di pengerusikan oleh YBhg. Tuan Hj Ahmad Nazir bin Hj Mohd Nasir, Pegawai Daerah Kota Tinggi. Turut hadir Puan Hajah Zihan binti Ismail, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang, En. Mohammad Nazrul bin Abd Rahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, En Ruhisyam bin Ibrahim, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, En. Mohamad Khairul Nizam bin Abd Raman, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Tinggi serta ketua-ketua jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Pelbagai usul telah dibahaskan dan mendapat maklum balas secara langsung yang diperolehi daripada agensi-agensi yang bertanggungjawab. Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi berharap agar Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Kota Tinggi ini menjadi platform kepada generasi belia bagi menyampaikan hasrat dan harapan untuk tujuan pembangunan belia di Daerah Kota Tinggi.
SEGAMAT, 10 Julai 2024 - Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Daerah Segamat Tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya. Seramai 60 orang ahli persidangan yang mewakili 10 agensi kerajaan, 10 Ahli Lantikan Pengerusi Persidangan serta Ahli Badan Gabungan Majlis Belia Daerah Segamat persidangan telah hadir pada sesi tersebut.
Pengerusi persidangan YBhg Tuan Mohd Masni bin Wakiman dalam ucaptama beliau menekankan Peranan belia dalam pembangunan negara yang tidak dapat disangkal lagi. Belia adalah pewaris kepimpinan masa depan yang akan membawa obor kemajuan dan kemakmuran negara. Majlis Perundingan Belia Negara ini merupakan platform yang amat penting untuk kita mendengar suara dan pandangan golongan belia.
Sebanyak 8 usul telah dibentang oleh Ahli Badan Gabungan Majlis Belia Daerah Segamat. Turut diadakan juga taklimat oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Taa'zim (YPKDT) Daerah Segamat dan Pejabat Pertanian Daerah Segamat. Turut hadir pada majlis tersebut Encik Maizatul Asrul bin Mohd Yunus, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat. Persidangan tamat kira-kira jam 1.00 tengahari.
Johor Bahru, 9 Julai 2024 - Telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Projek Reben Kuning Peringkat Negeri Johor 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan dengan penyelarasan gerak kerja bersama dengan rakan strategik terlibat dan keperluan bagi modul Latihan Kemahiran (Kimpalan) serta pengisian-pengisian lain dalam pelaksanaan Projek Reben Kuning tersebut.
Projek Reben Kuning ini akan dilaksanakan pada 28 hingga 31 Julai 2024 bertempat di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh yang melibatkan seramai 20 orang peserta lelaki yang terdiri daripada prospek belia dari Pusat Reintegrasi Penjara (PRP) Kluang.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor. Turut hadir adalah Encik Mohamad Mazlan bin Haji Anis, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Encik Mohamad Hisam bin Mohd Adam, Timbalan Pengarah Pengurusan Latihan IKTBN Pagoh dan Tuan Sylvester anak Jegod, Ketua Inspektor Penjara.
Pengerusi berharap Projek Reben Kuning ini dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur mengikut perancangan. Mesyuarat berakhir pada pukul 11.30 pagi.
PONTIAN, 8 Julai 2024 - Sebanyak 10 Agensi Kerajaan dan 10 Ahli Lantikan Pengerusi Persidangan telah terlibat dalam Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Pontian Tahun 2024.
Pengerusi Persidangan YBhg. Tuan Haji Zainal bin Eran dalam ucaptama beliau telah mengingatkan berkaitan peranan dan fungsi MPBN serta mengharapkan usul-usul yang dibawa dapat dibahaskan secara intensif, terbuka dan penuh kematangan. Selain itu, beliau berharap MPBN ini dapat berjalan dalam suasana yang mesra, harmoni dan dapat mencari jalan penyelesaian berkaitan isu yang ditimbulkan serta dapat meningkatkan kualiti perbahasan.
Turut hadir pada persidangan tersebut ialah mantan Menteri Besar Johor, YB. Datuk Seri Utama Ir. Hj. Hasni bin Mohammad, ADUN Kawasan Benut dan ADUN-ADUN di Daerah Pontian.
MPBN Pontian yang berlangsung kira-kira 3 jam itu telah mengumpulkan sebanyak 10 usul yang telah dibentangkan oleh Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Pontian.
Sedang berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Aset Alih kerajaan bilangan 2/2024 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Pengarah JBS Johor, Tuan Shamsuhaime bin Basir turut dihadiri oleh Pegawai belia dan Sukan di daerah-daerah.
Mesyuarat berkala ini dilaksanakan bagi memastikan kakitangan JBS Johor menguruskan aset alih kerajaan mengikut tata kelola yang telah ditetapkan.
6 Julai 2024, Johor Bahru - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Daerah Johor Bahru telah menganjurkan Program Liga Sukan Komuniti (LSK) Sepaktakraw (Lelaki) Peringkat Daerah Johor Bahru. Pertandingan ini telah dilaksanakan di Dewan Taman Cendana, Pasir Gudang. Sebanyak 16 pasukan telah menyertai pertandingan ini dari seluruh daerah Johor Bahru.
Turut hadir, En Abd Isa bin Abd Rasah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru bagi menyaksikan pertandingan dan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pasukan yang telah memenangi pertandingan ini.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Encik Mohammad Fauzi bin Salamon selaku penyelaras dan wakil pihak Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor, barisan pengadil, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan semua yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini.
5 Julai 2024, Johor Bahru - Pejabat Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru dengan kerjasama Kelab Senamrobik ABF, Majlis Belia Daerah Johor Bahru & Kipmall Masai telah menganjurkan Program Fit Komuniti @ Johor Bahru Peringkat Daerah Johor Bahru. Fit Komuniti @ Johor Bahru ini telah dilaksanakan di Kipmall Masai, Pasir Gudang. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti senamrobik & booth jualan. Dianggarkan lebih dari 100 orang telah menyertai program ini.
Turut hadir, En Abd Isa bin Abd Rasah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru, Mohammad Aliff A. Rahman, Pemangku Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Mohd Shah bin Md Ali Hanafiah, Naib Pengerusi 2, Majlis Belia Daerah Johor Bahru bagi menyaksikan program ini.
Segamat, 4 Julai 2024 - Pemeriksaan Mengejut AP 308 telah dilaksanakan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah Segamat oleh Encik Mohamad Mazlan Haji Anis, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Pemeriksaan tersebut merangkumi aspek kawalan pengurusan, pengurusan bajet, kawalan perbelanjaan dan kawalan pengurusan aset dan stor kerajaan. Selain itu, pemeriksaan turut meninjau keadaan pejabat serta pegawai dan kakitangan di bawah seliaan.
PBSD diingatkan untuk terus mengekalkan pengurusan pejabat yang baik dan teratur. Hadir pada pemeriksaan tersebut adalah Encik Maizatul Asrul bin Mohd Yunus, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Segamat serta kakitangan PBSD Segamat.