KUCHING, 7 Ogos 2024 - Delegasi Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor selaku Jawatankuasa Penyediaan Kontinjen Para SUKMA Negeri Johor telah mengadakan kunjungan hormat ke Sekretariat dan Agensi Angkat Temasya Sukan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam Temasya Sukan Para Sukma XXI Sarawak 2024 yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 September 2024 bertempat di Kuching, Sarawak.
Seramai 30 atlet para akan mewakili negara ke sukan berprestij tersebut dan tiga daripadanya merupakan atlet kelahiran Johor iaitu Muhammad Nazmi bin Nasri - Para Olahraga acara Lompat Jauh (T37), Muhammad Ammar Aiman bin Nor Azmi - Para Olahraga acara 400 meter (T20) dan Muhammad Fareez bin Anuar - Para Badminton acara Perseorangan (SU5).
Ketiga-tiga atlet ini juga mengungguli acara masing-masing dalam Sukan Para SUKMA XX 2022 mewakili Negeri Johor dengan pencapaian cemerlang serta layak secara merit bagi menggalas cabaran Malaysia dalam edisi Paralimpik Paris 2024 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September 2024.
JOHOR BAHRU, 4 OGOS 2024 - Telah berlangsung Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan kali ke 53 @ Mr. Malaysia di Hotel Thistle Johor Bahru.
Turut hadir memberikan sokongan, Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dan beliau juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Larkin, 4 Ogos 2024 - Telah berlangsung Program Inspire OKU Aktif @ Hujung Minggu Peringkat Negeri Johor (Siri 5) bertempat di Dataran Taman Bunga Raya MBJB dengan sambutan penyertaan yang menggalakkan daripada golongan OKU.
Program ini merupakan kerjasama strategik bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Persatuan Senamrobik Negeri Johor yang telah disertai oleh seramai 50 orang peserta.
Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan budaya aktif bersukan dalam kalangan OKU dengan pelbagai aktiviti sukan dan kecergasan seperti senamrobik, chairobic, berlari, berjalan kaki, sukaneka dan lain-lain pengisian yang bersesuaian dengan peserta OKU.
Program Inspire OKU Aktif ini akan dilaksanakan secara berkala sebanyak 10 siri pada setiap hujung minggu hari Ahad.
Gelang Patah,3 Ogos 2024- Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor telah melaksanakan program Rakan Bumi : Lestari Hijau Johor Bersih Peringkat Negeri Johor bertempat di Ecotourism Kg Sungai Melayu dengan penyertaan seramai 40 peserta belia muda.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan kepentingan kita untuk menjaga kelestarian alam sekitar.
Program Rakan Bumi : Lestari Hijau ini dimulakan dengan gotong royong mengelilingi kampung sungai Melayu. Seterusnya diikuti dengan menelusuri sg. Melayu dan kawasan paya bakau dengan menaiki bot dan mengunjungi kolam ternakan kupang yang diusahakan penduduk tempatan.
Turut hadir menyertai dan turut merasmikan program ini adalah Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.
Terima kasih juga kepada Puan Sharifah binti Mohd Shah selaku wakil rasmi YB Datuk Pandak bin Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar dan Encik Suzaidi bin Ibrahim selaku Ketua Kampung Sungai Melayu atas sokongan dan kerjasama startegik dalam menjayakn program ini.
Gelang Patah,3 Ogos 2024- Sedang berlangsung ptogram Rakan Bumi : Lestari Hijau Johor Bersih siri pertama bertempat di Eco Tourism, Kg Sungai Melayu, Gelang Patah.
Program dimulakan dengan pendaftaran para peserta dan diikuti dengan taklimat berkenaan keselamatan dan berkenaan perjalanan program sepanjang hari ini nanti.
Pagoh, 31 Julai 2024 - Projek Reben Kuning Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 telah melabuhkan tirai selepas 4 hari dilaksanakan. Pada hari terakhir, prospek telah didedahkan dengan perkongsian dari PERKESO Negeri Johor berkaitan dengan Kebolehpasaran serta Persediaan Temuduga kepada prospek dan juga perkongsian berkaitan dengan Industri Keusahawanan.
Majlis penutupan Projek Reben Kuning Peringkat Negeri Johor telah disempurnakan oleh YBrs Encik Shamsuhaime bin Basir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor di Dewan Kuliah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh. Dalam ucapan pada majlis tersebut Encik Shamsuhaime telah mengingatkan semua prospek untuk meneruskan kehidupan baru yang lebih baik selepas ini serta menginsafi kesilapan yang lepas. Beliau juga mengharapkan agar semua prospek untuk mempraktikkan kemahiran kimpalan yang telah diperolehi dari program ini apabila keluar kelak.
Hadir pada majlis tersebut adalah Tuan TKP Mohamad bin Ismail, Pengarah Penjara Negeri Johor, Puan Suzana binti Mohammed Zohdi Pengarah IKTBN Pagoh, wakil dari PERKESO Negeri Johor serta barisan pengajar dari IKTBN Pagoh.
Johor Bahru,30 Julai 2024- Mesyuarat pengisian program sukan bagi Program Madani Rakyat Zon Selatan bermula 15 Ogos sehingga 17 Ogos bertempat di Dataran Kawad, UTM, Skudai Johor yang dipengerusikan oleh YBrs. Dr Nor Azlina binti Arifin, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Ekonomi. Turut hadir dalam mesyuarat Encik Aszhary Mohamad, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Sokongan JBSN dan Encik Mohammad Khairul bin Mohd Dam, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sukan, JBS Johor.
Program Madani Rakyat ini akan melibatkan beberapa agensi,jabatan dan kementerian bertujuan untuk menyediakan perkidmatan dan menyampaikan maklumat terkini, program-program dan dasar-dasar kepada masyarakat.
Bagi edisi PMR Zon Selatan kali ini JBS Johor telah dilantik sebagai penyelaras program sukan sepanjang Program Madani Rakyat ini berlangsung nanti seperti Fun Run , E-Sports dan sebagainya.
Pagoh, 28 Julai 2024 - Seramai 20 orang peserta lelaki telah mendaftar bagi Projek Reben Kuning Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 yang diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh. Peserta terdiri daripada prospek belia yang berumur 15 - 40 tahun daripada Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kluang.
Antara pengisian hari pertama ialah Slot Jati Diri Belia Malaysia yang telah disampaikan oleh Encik Nik Mohd Azuan bin Ahmad Rostam, Ketua Cawangan Pengurusan Pelajar IKTBN Pagoh. Slot seterusnya ialah Taklimat Keselamatan dan Latihan Kemahiran Asas (Kimpalan) yang telah disampaikan oleh tenaga pengajar bertauliah dari IKTBN Pagoh. Peserta telah diajar cara-cara untuk mengendalikan mesin untuk memotong besi-besi sebelum dikimpal. Slot hari pertama berakhir pada pukul 5 petang.