- JBS Johor
- Hits: 191
PERTEMUAN TERAKHIR PEGAWAI BELIA DAN SUKAN DAERAH MERSING BERSAMA-SAMA PENGARAH INSTITUT LATIHAN PERINDUSTRIAN MERSING
MERSING, 15 September 2024 – Pegawai Belia dan Sukan Daerah Mersing telah mengadakan pertemuan rasmi terakhir bersama-sama Tuan Ts. Syahrull Nizam bin Haji Perdan, Pengarah Institut Latihan Perindustrian Mersing, yang bakal bertukar ke ADTEC Bintulu, Sarawak. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai program pembangunan belia yang melibatkan latihan kemahiran teknikal bagi belia-belia di daerah ini.
Perbincangan kerjasama strategik ini turut melibatkan Dr. Ir. Ts. Hairol bin Jaffar, Penolong Pengarah Bahagian CESS (Community Employment Support Service) di ILP Mersing. Fokus utama adalah merangka program-program latihan yang menggabungkan kemahiran teknikal dan sokongan pekerjaan untuk belia, dengan tujuan membantu mereka lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan melalui inisiatif yang menyokong pembangunan kerjaya mereka.
Pertemuan ini diakhiri dengan penyerahan cenderahati, sijil tauliah Pemimpin ARPRM (Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda) kepada Tuan Pengarah dan sesi bergambar sebagai tanda kenangan atas kerjasama yang telah terjalin. Tuan Pengarah yang akan memulakan tugas di ADTEC Bintulu, Sarawak pada 17 September 2024 turut berharap agar hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi akan terus diperkukuh demi pembangunan belia di daerah Mersing.
Pejabat Belia berharap agar Tuan Pengarah dapat meneruskan khidmat cemerlangnya di tempat baharu dengan membawa semangat Pemimpin ARPRM dengan menubuhkan Badan Operasi ARPRM di ADTEC Bintulu kelak. Di samping itu, pengalaman serta inisiatif yang telah dilaksanakan di ILP Mersing diharapkan dapat dikembangkan, sambil terus membuka peluang kerjasama rentas daerah demi manfaat belia di seluruh negara.
Disediakan oleh PBSD Mersing
- JBS Johor
- Hits: 191
