DUNGUN, 30 JANUARI 2022 – Perasmian Kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Dungun 2022 Piala YB Parlimen Dungun Tuan Haji Wan Hassan bin Wan Ramli telah berlangsung pada 22 Januari 2022 yang telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli bertempat di Padang Bola Sepak Arena, Dungun, Terengganu. Kejohanan edisi kali ini telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pelbagai pasukan bola sepak di daerah Dungun. Namun, hanya 32 pasukan yang terawal sahaja telah diterima bagi berentap merebut piala YB Parlimen Dungun ini. Kejohanan ini akan berlangsung bermula 22 Januari sehingga 3 April 2022 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM 25,000.00. Menurut Tuan Haji Anuar bin Awang, Pegawai Daerah Dungun merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Dungun berkata kos penganjuran kejohanan liga di peringkat daerah ini memakan kos yang tinggi namun dengan bantuan kerajaan negeri, YB Ahli Parlimen Dungun, dan para penaja, kejohanan liga bola sepak ini dapat diadakan dengan jayanya dan ianya diharap dapat menghindarkan belia daripada terjebak daripada aktiviti yang tidak berfaedah. Manakala menurut YB Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli dalam ucapan perasmian, beliau berharap Kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Dungun 2022 Piala YB Parlimen Dungun ini dapat berjalan dengan lancar dan menjadi platform terbaik untuk warga Dungun menyerlahkan bakat dan potensi diri. Beliau turut berharap agak kegemilangan dan kerancakkan bola sepak di daerah Dungun akan kembali seperti era 70-an dahulu dimana pada waktu itu setiap kampung di daerah Dungun mempunyai pasukan bola sepak yang aktif.YB Tuan Haji Wan Hassan turut berharap agar lebih ramai lagi anak jati Dungun akan mengembangkan karier bola sepak di peringkat negeri, kebangsaan dan seterusnya di peringkat antarabangsa.Turut hadir pada majlis perasmian Kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Dungun 2022 Piala YB Parlimen Dungun adalah YB Cikgu Wan Hapandi bin Wan Cik (ADUN Sura), YB Cikgu Alias Harun (ADUN Rantau Abang), YB Tuan Haji Roslee bin Daud (ADUN Bukit Besi) dan YB Senator Datuk Razali Idris (Pengerusi KETENGAH).Disediakan Oleh : Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun, Terengganu
- JBS Terengganu
- Hits: 357
