KEMAMAN ,15 MAC 2022 - Hari kelima masih tidak menghampakan. Team PBSD Kemaman bersama skuad sukarelawan terus menyumbangkan tenaga untuk membersihkan kawasan yang terkesan akibat banjir pada 5 Mac 2022 yang lalu.
Misi pasca banjir team PBSD Kemaman kini berada di Balairaya Kampung Bukit Mentok, Kemaman.Semoga segala usaha yang dilakukan ini dapat membantu meringankan kerja-kerja membersih kepada mangsa yang terlibat.
HULU TERENGGANU, 15 Mac 2022 - Satu program pasca banjir bertempat di Kg Menerong pada 5 Mac 2022, yang diketuai oleh Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu bersama Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Agensi Anti Dadah Kuala Terengganu , Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu serta sukarelawan telah bersama-sama dalam misi Sukarelawan Pasca Banjir bertempat di Kg Menerong Hulu Terengganu, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya aktiviti gotong royong membersihkan rumah-rumah yang terjejas teruk akibat banjir dan penyerahan bantuan keperluan asas di 7 buah rumah yang terjejas.
HULU TERENGGANU, 15 MAC 2022 - Pasukan JBSN dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBS Negeri Terengganu) turun padang menjalankan misi pasca banjir di sekitar daerah Hulu Terengganu pada 5 Mac 2022.
Turut disertai anak muda tempatan, misi memberi tumpuan bagi membersihkan prasarana di Sekolah Kebangsaan Tapah, Hulu Terengganu.
Misi ini diketuai sendiri Ketua Pengarah, YBrs. Tuan Mohd Azhari Mohammad. Turut serta, Pengarah JBS Negeri Terengganu, Encik Izwandy Ismail.
HULU TERENGGANU, 15 Mac 2022 - Bertempat di SMK Tengku Ampuan Intan, Team Rakan Muda KBS bersama-sama Team Sukarelawan JBSNT, Marang dan Hulu Terengganu meneruskan Program Pasca Banjir bagi hari Ke-4 pada 4 Mac 2022 yang lalu bagi membersih kelas-kelas yang terjejas akibat banjir
Pada sebelah petang pula misi diteruskan di SK Bukit Tadok bagi mencuci fasiliti-fasiliti yang terjejas akibat banjir.Kerjasama yang di berikan oleh setiap sukarelawan yang amatlah bagus, semoga nilai-nilai murni ini dapat diserapkan kedalam diri setiap individu yang hadir.
KEMAMAN, 15 MAC 2022 - Misi pasca banjir diteruskan lagi pada hari ketiga pada 3 Mac 2022,Kali ini misi pasca banjir dilakukan di lokasi SK RTP Seberang Tayor,Kemaman.
Team PBSD Kemaman hari ketiga ini melibatkan perlbagai agensi termasuklah PDRM, Jabatan AMAL, Bomba, sukarelawan belia, PIBG SK RTP Seberang Tayor dan Guru-guru sekolah tersebut.
Turut hadir bersama-sama iaitu Ketua Polis Negeri Terengganu, DCP Dato’ Rohaimi Md Isa, Guru Besar SK RTP Seberang Tayor, Puan Rohafaridah Binti Ibrahim dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kemaman, En. Esa Bin Ibrahim menjayakan misi kali ini.
HULU TERENGANU, 15 Mac 2022 - Bertempat di Dataran Kuala Berang telah berlangsungnya Taklimat dan Majlis Pelancaran Operasi Banjir T-Volt Ke Hulu Terengganu pada 3 Mac 2022 yang disempurnakan Oleh YB Wan Sukairi Bin Wan Abdullah, Exco Belia Sukan & Ngo. Turut bersama YB Maliaman Bin Kassim, Adun Ajil, En. Ahmad Azizi Bin Zulkifli DO Hulu Terengganu dan Mohd Izwandy Bin Ismail, Pengarah JBSNT.
Sebaik sahaja selesai majlis pelancaran YB Exco dan hadirin yg hadir berkesempatan menziarahi beberapa PPS sekitar Hulu Terengganu.
Seterusnya Team JBSNT dan PBSDHT bersama-sama Sukarelawan-Sukarelawan Rakan Muda dan Belia-Belia Hulu Terengganu telah dipecahkan kepada 2 kumpulan bagi meneruskan Misi Pasca Banjir bertempat di Sekolah Kebangsaan Matang dan SMA Mahmudiah
Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama agensi-agensi seperti Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu, APM Hulu Terengganu, Majlis Belia Hulu Terengganu dan Sukarelawan-Sukarelawan Belia.
Hulu Besut , 15 Mac 2022 - Misi Program Sukarelawan Belia Pasca Banjir pada 3 Mac 2022 diteruskan lagi bersama kekuatan Majlis Belia Daerah Besut, MAYC Daerah Besut dan NGO's yang terlibat.dalam misi Sukarelawan Belia Pasca Banjir kali ini, dengan melakukan pengagihan bantuan sumbangan dari beberapa Ngo's kepada mangsa-mangsa yang telibat dalam bencana banjir.
Terima kasih kepada Majlis Belia Daerah Besut pimpinan Ustaz Ahmad Syakir, MAYC Besut pimpinan Tuan Adli serta Sukarelawan Rakan Muda yang terlibat dan menjadi rakan strategik dalam misi Sukarelawan Belia Pasca Banjir.
Sekalung penghargaan buat NGO's yang telah memberi sumbangan kepada mangsa banjir. Kecil bagi kita, besar buat mereka.
Kuala Terengganu,15 Mac 2022- Dua hari berkampung di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa,nyata memberi kepuasan kepada rata-rata sukarelawan kerana mampu melihat kawasan sekolah yang ditenggelami air kembali bersih. Bagi misi kali ini yang berlangsung pada 1-2 Mac 2022, seramai lebih 50 orang sukarelawan belia turun padang dalam memenuhi tuntutan tanggungjawab sosial. Pelbagai agensi dan Badan Bukan Kerajaan turut bersama warga Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa dalam melengkapi misi diantaranya Bomba, Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Pelatih Giatmara dan AMAL.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada Encik Sabri bin Yusof selaku Guru Besar sekolah kerana menyantuni kami sepanjang operasi pembersihan dijalankan. Turut sama menyokong gerak kerja, Encik Mohd Izwandy bin Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan Encik Awi bin Saleh, Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu. Pejabat Belia dan Sukan Kuala Terengganu/Kuala Nerus mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi kali ini.
Kerja susah jadi mudah bila bersatu. Benarlah kata pepatah, "Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing".
DUNGUN, 14 Mac 2022 - Sekolah yang indah dan bersih kini menjadi berlumpur dan kotor selepas banjir berlaku. Dewan Perhimpunan, Bilik Makmal, Bilik Sukan, Dewan Makan, Tandas, Bilik Ultiliti dan Bilik kelas antara tempat yang terkesan.
Namun, adik-adik pelajar dan warga Sekolah Kebangsaan Minda Talong boleh menarik nafas lega setelah berlangsungnya Program Skuad Sukarelawan Rakan Muda Pasca Banjir Daerah Dungun anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun yang diketuai oleh Puan Wan Norhayati binti Wan Ibrahim selaku Pegawai Belia dan Sukan Daerah Dungun pada 5 Mac 2022.
Sukarelawan yang terdiri daripada Majlis Belia Daerah Dungun, Kelab GT 4x4, Kelab Rakan Muda Dungun, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Balai Bomba Al-Muktafi Bilal Shah saling berganding bahu membersihkan kawasan yang terjejas.
YB Roslee Daud, ADUN Bukit Besi turut bersama dalam misi pasca banjir kali ini.Cikgu Mohd Riduan Husin, Guru Besar SK Minda Talong berkata "Bantuan dan pertolongan yang diberikan oleh semua pihak dalam membersihkan kawasan sekolah ini amatlah dihargai dan hanya Tuhan dapat membalas segala jasa kalian".
Beliau turut berharap kerjasama seperti ini akan kekal berpanjangan selamanya.
Disediakan Oleh : Pejabat Belia dan Sukan Daerah Dungun, Terengganu.