KOTA SAMARAHAN, 18 MAC 2022 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw Bahagian Samarahan telah melakukan persiapan tempat bagi Kejohanan Sepak Takraw MSL 2022 Bahagian Samarahan di Kompleks Sukan Komuniti Asajaya. Persiapan tempat ini telah diketuai oleh Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Pemasangan karpet gelanggang sepak takraw dilakukan dengan telilti bagi memastikan keselesaan kepada para peserta untuk bertanding. Selain itu, pemasangan jaring sepak takraw juga diambil perhatian supaya tiada isu yang berbangkit semasa perlawanan. Semua kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan dan ahli persatuan memberikan komitmen yang padu demi menjayakan program itu nanti.
Pejabat Residen Bahagian Kuching selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Bahagian Kuching yang terdiri dari semua agensi Kerajaan di Bahagian Kuching telah memaparkan banyak isu- isu penting untuk memberi peringatan dan kesedaran Keselamatan Siber kepada masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat dan info yang belum sahih dan benar.
Masyarakat perlu bijak dalam menilai kandungan maklumat yang diterima dan menentusahkan sumbernya daripada pihak yang dipercayai termasuk laman web, portal, dan Media sosial rasmi Kerajaan sebelum berkongsi dan menyebarkan berita tersebut.
Selaku Ahli dalam Jawatankuasa tersebut, Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Kuching turut memaklumkan kepada golongan belia yang banyak terdedah kepada media- media sosial supaya sentiasa peka dalam situasi persekitaran dan perlu mengawal diri dengan setiap pergerakan dalam tindakan bagi mengelakkan diri dari terjebak dengan perkara- perkara yang tidak diingini berlaku.
PERBINCANGAN PERLAKSANAAN PROGRAM- PROGRAM SUKAN BAHAGIAN KUCHING
KUCHING 14 MAC 2022
Pengerusi dan beberapa ahli jawatankuasa Kelab Sukan Rekreasi Kampung Tringgus, Bau meluangkan masa bersama berkunjung ke Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Kuching bagi membincangkan beberapa perkara mengenai cadangan pelaksanaan program- program sukan dan rekreasi di Daerah Bau.
Perbincangan adalah menjurus kepada sokongan dan kerjasama penuh dari Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Kuching mengenai perlaksanaan beberapa program- program belia dan sukan untuk Daerah Bau. Persetujuan dan kata sepakat telah diperolehi secara bersama untuk melaksanakan program rekreasi luar di Daerah Bau dalam masa terdekat bagi memenuhi inspirasi kehendak golongan belia setempat.
Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Kuching juga mengadakan perbincangan bersama Encik Mohd Sarbini Golong Pegawai Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pendaftaran Persatuan dan Kelab yang berdaftar secara sah dan aktif di Bahagian Kuching. Usaha ini merupakan langkah pendekatan awal untuk membantu memperkasakan Pertubuhan, Persatuan, Kelab dan Ngo di bahagian Kuching.
MIRI, 29 MAC 2022 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri yang diwakili oleh Encik Roley anak Lagir dan Encik Roger Danny telah menghadiri Program Sembang Santai Dasar Keselamatan Negara Bersama Penjawat Awam Bahagian Miri 2022 yang diadakan di Dewan Jabatan Tanah dan Survey Miri, pagi tadi.
Program tersebut dimulakan dengan pembentangan Dasar Keselamatan Negara oleh pihak Majlis Keselamatan Negara dan disusuli dengan taklimat pengurusan bencana oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam. Majlis penutupan program dirasmikan oleh Residen Bahagian Miri, Encik Abdul Aziz bin Mohd Yusuf.
MIRI, 29 MAC 2022 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri dengan kerjasama Persatuan Bola Keranjang Bahagian Miri telah mengadakan Mesyuarat Kejohanan Bola Keranjang 3x3 MSL Bahagian Miri 2022 bersama pengurus bola keranjang di Piasau Boat Club Miri, malam tadi.
Sesi bermula dengan penyampaian ucapan dan amanat oleh Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri. Program seterusnya diteruskan dengan taklimat peraturan permainan dan cabutan undi yang disampaikan oleh Encik Idham Khalid, setiausaha Persatuan Bola Keranjang Bahagian Miri. Seramai 35 orang pengurus bola keranjang lelaki dan wanita serta pasukan teknikal telah hadir untuk mendengar taklimat dan sesi cabut undi bagi menentukan kumpulan semasa kejohanan bola keranjang 3x3 MSL yang akan diadakan pada 1 hingga 2 April 2022 di Piasau Boat Club Miri.
MIRI, 29 MAC 2022 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri telah mengadakan lawatan ke tapak Kejohanan Bola Keranjang 3x3 MSL Peringkat Bahagian Miri 2022 di gelanggang bola keranjang Piasau Boat Club Miri, semalam.
Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk memeriksa kemudahan sukan bola keranjang yang terdapat di Piasau Boat Club. Pemeriksaan tersebut mendapati semua kemudahan sukan tersebut adalah dalam keadaan baik dan selamat digunakan serta ukuran gelanggang adalah mengikut piawaian. Turut hadir ialah Encik Idham Khalid, ketua teknikal Kejohanan Bola Keranjang MSL Peringkat Bahagian Miri merangkap Setiausaha Persatuan Bola Keranjang Bahagian Miri.
KAPIT, 29 MAC 2022 - Seramai 3 orang sukarelawan Rakan Muda Sport Bubble Volunteers (RM-SBV) telah melaksanakan pemantauan ke Pertandingan Bola Jaring sempena Malaysia Sports League 2022 Peringkat Bahagian Kapit di Gelanggang Sukan SK Methodist Kapit yang telah berlangsung selama dua hari bermula 26 hingga 27 Mac yang lalu. Sukarelawan juga telah melaksanakan pemantauan ke Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Kelab Futsal Black Jugam yang diadakan di Stadium Terbuka Kapit pada tarikh yang sama. Pemantauan ini dilaksanakan adalah untuk membantu kementerian bagi memastikan semua penganjuran program-program sukan sentiasa mematuhi SOP Am Sukan dan Rekreasi yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Terima kasih kepada sukarelawan kita iaitu adik Jeremy Jelani, Calodia Rawa dan Mellyiana Myla yang telah bertugas sepanjang pertandingan berlangsung.
KAPIT, 29 MAC 2022 - Pertandingan Bola Jaring sempena Malaysia Sports League (MSL) 2022 Peringkat Bahagian Kapit telah berakhir pada hari Ahad, 27 Mac yang lalu. Pertandingan yang bermula semenjak hari Sabtu lalu berjalan dengan lancar dengan keadaan cuaca yang amat baik di sepanjang kejohanan berlangsung selama dua hari itu. Pasukan ExNetK2 telah menewaskan PBJ TEAM di perlawanan akhir sekaligus menjadi Johan pertandingan pada kali ini. Ini telah menamatkan penguasaan PBJ TEAM di Bahagian Kapit yang dianggap pasukan yang dapat mengekalkan kejuaraan dalam setiap kejohanan bola jaring. Manakala, tempat Ketiga Bersama telah dimenangi oleh pasukan Education dan Kapit Eagle Jumpers. Dengan itu, pasukan ExNetK2 dan PBJ TEAM secara rasminya akan layak mewakili Bahagian Kapit ke Kejohanan Bola Jaring MSL 2022 Peringkat Negeri Sarawak yang dijangka akan diadakan pada bulan Julai ini di Kuching. Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Lamat Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Puan Moonly Tiang, Timbalan Presiden Persatuan Bola Jaring Negeri Sarawak, Cikgu Ahmad Ashmirul bin Sebi, wakil SK Methodist Kapit dan Puan Marinna Martin, Presiden Persatuan Bola Jaring Bahagian Kapit.
Pihak pejabat mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kepada Persatuan Bola Jaring Bahagian Kapit, SK Methodist Kapit serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan Pertandingan Bola Jaring pada kali ini. Ucapan terima kasih juga kepada penaja Puan Cecelia Lagak, CC Beauty Enterprise yang telah menaja hadiah hamper kepada pasukan yang telah menyertai pertandingan pada kali ini. Pertandingan ini merupakan pertandingan yang kedua di antara 5 jenis sukan yang dipertandingkan di dalam siri MSL 2022 pada kali ini iaitu bermula dengan Pertandingan Sepak Takraw yang telah selesai pada 19 hingga 20 Mac yang lalu dan akan diteruskan dengan Pertandingan Bola Keranjang 3x3 Kategori Lelaki dan Wanita pada minggu hadapan, 2 hingga 3 April bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Bleteh, Kapit.
MIRI, 28 MAC 2022 – Perlawanan akhir bagi acara bola jaring bersempena Malaysia Sports League di Stadium Bandaraya Miri pada 26 Mac 2022 menyaksikan perlawanan sengit di antara pasukan Joegers dan Panther di mana pasukan Joegers merangkul johan dan membawa pulang RM1000.00 beserta medal.
Pasukan Panther mendapat tempat kedua dan membawa pulang RM700.00 manakala pasukan KRP dan Pink Porenjez mendapat tempat ketiga bersama masing-masing membawa pulang RM300.00. Pasukan Joegers dan Panther akan mewakili Bahagian Miri ke Kejohanan Bola Jaring Malaysia Sports League Peringkat Negeri Sarawak 2022.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Miri dan diiringi oleh Puan Lily Teo (Pengerusi Kelab Bola Jaring Subis) dan Encik Harrison Anyi Laeng (Timbalan Pengerusi Kelab Sukan Rekreasi Energetic Miri).