KUCHING, 14 APRIL 2022 - Satu tinjauan dan perbincangan telah diadakan oleh Pegawai Unit Pembangunan Sosial, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak bersama pihak pengurusan Sumiran Eco Camp bagi melihat kesesuaian lokasi bagi pelaksanaan program Kem Anak Muda (KAMU) yang dijadualkan dalam bulan Ogos 2022. Program ini akan diadakan selama 3 hari 2 malam dimana melibatkan golongan belia yang berumur 15 ke 20 tahun.
Program ini berkonsepkan Summer Camp dengan merangkumi pengisian aktiviti kerohanian, LDK, lawatan, forum, aktiviti kemasyarakatan, riadah dan kecergasan. Rakan strategik pelaksanaan adalah bersama SABERKAS Negeri Sarawak.
Mukah, 14 April 2022 – Majlis Pelancaran Program Jerayawara Bubur Lambuk Peringkat Saberkas Negeri Sarawak 2022 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Presiden Saberkas Sarawak pada 13 April 2022 bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Ragey, Mukah.
Selain itu, majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Safiee Haji Ahmad ADUN N.43 Daro merangkap Setiausaha Agung Saberkas Sarawak, Yang Berhormat Tuan Royston Bin Valentine, ADUN N.57 Tellian, Tuan Safri Bin Saili, Pemangku Residen Mukah dan jemputan yang lain. Dalam ucapan perasmian tersebut beliau kagum melihat kerjasama dan semangat gotong royong yang ditunjukkan anak muda dalam menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada agensi kerajaan seterusnya kepada penduduk setempat.
Beliau turut memaklumkan program jerayawara bubur lambuk akan dilaksanakan di semua cawangan Saberkas di seluruh Sarawak yang menelan belanja hampir RM 80,000.00. Program seperti ini sedikit sebanyak memupuk semangat sukarela di kalangan belia dan seterusnya sebagai landasan untuk mengeratkan perpaduan masyarakat di negeri Sarawak. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah dijemput hadir bersama semasa majlis pelancaran tersebut yang telah dihadiri Encik Awang Mohamad Pakar Bin Awang Abdul Wahab mewakili Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
KAPIT, 14 APRIL 2022 - Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit, Puan Olivia Kaminis telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama Encik Azaman Hailee, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kapit No.2 pada pagi tadi bagi mebincang serta merancang program-program yang berkaitan termasuk program pembangunan Rakan Muda yang secara langsung akan melibatkan kebanyakkan para pelajar sekolah menengah. Sehubungan dengan itu, dalam menyambut Bulan Ramadan pada bulan ini, pihak pejabat juga telah mendapat persetujuan daripada pihak sekolah untuk mengadakan Program Rakan Muda Ramadan dan Rakan Muda Day Out di sekolah tersebut.
Selain itu, program sukan di bawah Unit Pembangunan Sukan juga dicadangkan akan diadakan di SMK Kapit No.2 iaitu Senamrobik Perdana bersempena Program Fiesta Feminin Aktif KBS yang dijangka akan diadakan pada bulan Ogos kelak. Semoga dengan sesi perjumpaan ini dapat mengeratkan lagi hubungan pejabat dengan pihak sekolah seterusnya dapat melahirkan belia-belia yang berkualiti serta sihat dari segi rohani, mental dan fizikal menerusi program-program yang dilaksanakan. Pejabat akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam penganjuran program-program belia, sukan dan rakan muda bagi memastikan belia-belia dapat memenuhi masa senggang mereka dan secara tidak langsung mampu membina modal insan yang berilmu, memiliki kemahiran yang bersesuaian dan berfikiran strategik supaya sentiasa relevan dengan peredaran masa.
KUCHING, 13 APRIL 2022 – Cawangan Pembangunan Belia telah mengadakan satu sesi perjumpaan bersama Ketua Pentadbiran SABERKAS Negeri Sarawak, Puan Louisa Suly Nanta di Wisma Saberkas. Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak atau lebih dikenali sebagai SABERKAS ini merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbesar mewakili golongan belia di Sarawak.
Dalam sesi tersebut antara perkara yang telah dibincangkan ialah berkaitan dengan Program Belia yang akan dilaksanakan pada tahun ini. Banyak program dan aktiviti yang telah dirancang dan akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik SABERKAS Negeri Sarawak bagi memastikan belia kita tidak ketinggalan sekaligus memartabatkan Belia ke satu tahap yang lebih dinamik dan unggul.
Diharapkan perjumpaan ini akan dapat mengeratkan lagi kerjasama di antara Jabatan dan SABERKAS seterusnya dapat menghasilkan belia yang berkualiti melalui program-program yang akan dilaksanakan.
Mukah, 13 April 2022 – Bubur lambuk merupakan juadah yang sinonim disedekahkan oleh masyarakat ketika menjelang bulan Ramadhan. Program Jerayawara Bubur Lambuk anjuran Saberkas Negeri Sarawak 2022 akan dilancarkan di Mukah pada 13 April 2022. Majlis Pelancarannya akan dirasmikan oleh Yang Berhormat, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Presiden Saberkas Sarawak
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah telah terlibat sama dalam jawatankuasa program tersebut dan turut membantu dalam menyediakan bubur lambuk bersama dengan pihak Saberkas dan penduduk kampung.
KAPIT, 12 APRIL 2022 - Gelanggang Sukan Pelbagaiguna Masjid Jabal An-Nur, Kapit merupakan salah satu gelanggang sukan yang terdapat di Bahagian Kapit yang telah dibina pada tahun 2012 yang lalu. Gelanggang ini adalah dibawah seliaan JKKK Masjid Jabal An-Nur sehingga sekarang di mana ianya terletak di dalam kawasan masjid. Namun, gelanggang ini telah jarang digunakan oleh pengguna terutamanya belia-belia kerana keadaan gelanggang yang kelihatan usang dan tidak selamat untuk digunakan. Oleh itu, satu lawatan telah diadakan oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit, Puan Olivia ke gelanggang tersebut bagi melihat tahap kerosakan dan menyediakan anggaran perbelanjaan untuk dihantar ke Ibu Pejabat untuk kelulusan. Pihak pejabat berharap agar gelanggang ini dapat dibaikpulih agar dapat memberikan manfaat kepada para pengguna khususnya para belia dan JKKK Masjid untuk mengadakan aktiviti sukan dan riadah pada masa akan datang.
KAPIT, 12 APRIL 2022 - Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit, Puan Olivia Kaminis telah mengadakan perbincangan bersama dengan Ustaz Kassim Mohidin, Pegawai Agama Islam Bahagian Kapit petang tadi bagi merancang pelaksanaan program Rakan Muda Ramadan dan Rakan Muda Day's Out yang akan dilaksanakan bermula pada bulan ini. Program Rakan Muda Ramadan ini adalah satu platform yang dapat menarik minat belia untuk menghidupkan bulan Ramadan al-Mubarak dengan pengisian aktiviti dan program kerohanian. Di samping itu, program ini dilaksanakan untuk melatih belia untuk membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian.
Selain itu, program Rakan Muda Day's Out juga akan diadakan pada bulan April ini iaitu pada 25 April bertempat di Masjid Jabal An-Nur, Kapit yang turut akan melibatkan para peserta tadarus dan khatam al-Quran bersama JKKK Masjid. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah gotong-royong memasak bubur lambuk dan mengedarkannya kepada golongan asnaf serta masyarakat setempat.
KUCHING, 12 APRIL 2022 - Cawangan Pembangunan Belia Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak hari ini telah melakukan tinjauan tapak bagi 2 program yang bakal dilaksanakan pada bulan Jun dan bulan Julai ini iaitu Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Negeri Sarawak dan Majlis Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Sarawak Bagi Tahun 2022.
Tinjaun tapak yang diketuai oleh Encik Abdul Zamri Randim ini telah memfokuskan pada dua lokasi iaitu di Kuching dan Serian. Namun yang demikian ketetapan tempat ini akan dimuktamadkan pada mesyuarat penyelarasan yang akan datang.
KUCHING, 12 APRIL 2022 – Pegawai dan kakitangan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak memanfaatkan waktu rehat dengan beriadah seperti bermain Pool.
Terdapat dua buah meja Pool diletakkan bagi memberi ruang kepada pegawai dan kakitangan bermain secara santai ketika waktu rehat selepas penat melaksanakan tugas masing-masing.
Ianya juga salah satu cara bagi menghilangkan rasa stress dikalangan kakitangan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.