SIBU, 7 MEI 2021 - PPV Indoor Stadium Sibu, Daerah Sibu
Hari pertama pemberian vaksin fasa 2 kepada warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) telah berlangsung di Indoor Stadium, Sibu
Seramai 18 orang sukarelawan MyVac telah bertugas membantu tugas dan kelancaran pemberian vaksin di PPV Daerah Sibu. Puan Morni binti Ibrahim dan Encik Terence Tan merupakan Pegawai Penyelaras Sukarelawan MyVac di PPV Indoor Stadium Sibu pada hari ini.
SIBU, 6 MEI 2021 - PPV Pejabat Daerah Kanowit, Bahagian Sibu Sarawak.
Seramai 7 orang Sukarelawan MyVac di PPV Daerah Kanowit, Sibu, Sarawak pada hari ini menghadiri sesi Taklimat dari Dr Michelle Lim, KKM Kanowit dan sesi Simulasi seterusnya.
KUCHING, 05 MEI 2021 – Satu sesi temubual santai bersama Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Sarawak iaitu En. Lamat Anak Nyalau bersama Editor dan kru dari Rakan Media Sarawak telah diadakan di Ibu Pejabat, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak. Temubual tersebut banyak membincangkan berkenaan program yang telah dan akan dilaksanakan. Segala kupasan isu dan wadah informasi yang di kongsi bersama adalah secara holistik dan kebersamaan di mana peranan Jabatan ini sendiri menjadi keutamaan dalam penyampaikan maklumat dan khidmat kepada masyarakat sekeliling khusus kepada anak-anak generasi muda dan belia. Diharap dengan adanya rakan strategik ini akan dapat mempromosikan lagi nama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak sekaligus mengharmonikan peranan di antara Badan Bukan Kerajaan dan Kerajaan itu sendiri ke satu tahap yang lebih baik dan efisyen.
Sarikei, 06 Mei 2021 – Perbincangan bersama antara Encik Mohammad Arbi Bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei dan Pengarah Kolej Komuniti Sarikei, Encik Zakir Hussain Bin Ibrahim telah diadakan di Kolej Komuniti Sarikei bagi membincangkan Program Latihan Kemahiran Tidak Formal (LKTF) di bahagian Sarikei. Antara perkara yang dibincangkan ialah bidang latihan, tarikh dan masa yang sesuai untuk dilaksanakan. Program dijangka akan dilaksanakan pada 4-8 Ogos 2021 bertempat di Kolej Komuniti Sarikei. Bidang Pastri serta kaedah pemasaran telah dipilih bagi mengisi slot program selama 5 hari tersebut. Sebanyak 10 orang peserta akan terlibat dalam program ini. Hadir sama semasa perbincangan ialah Cik Nurina Pilin Anak Sibat, Pegawai Pembangunan Pelajar Kolej Komuniti Sarikei,Puan Norliza Binti Borhan, Pegawai Penyelaras Kursus Pendek dan Encik Syed Mohd Hafizal Bin Syed Ali, Ketua Program Sijil Kulinari.
KUCHING, 04 MEI 2021 – Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (KEBS) akan mengambil alih inventori Asrama Kompleks Belia dan Sukan Sarawak merupakan agenda utama Mesyuarat AJK KEBS Bil 4/2021 yang telah dipengerusikan oleh Pengerusi KEBS, En. Abu Zaid bin Abu Bakar di Bilik Mesyuarat Sejinjang, JBS Negeri Sarawak.
Ketua Biro Sosial, Kebajikan dan Ekonomi, En. Eshady Ahmad telah memaklumkan bahawa antara inventori yang akan dibeli oleh KEBS daripada Syarikat Achibin Sdn Bhd adalah seperti sarung bantal, cadar tilam dan lain-lain lagi.
Selain itu, mesyuarat juga telah membincangkan beberapa perkara termasuk melaksanakan Program Ramah Tamah Hari Raya dan Gawai untuk ahli-ahli KEBS, pelaksanaan aktiviti atau program untuk ahli-ahli KEBS yang berada di pejabat-pejabat bahagian disamping perbincangan untuk menambah dana kelab.
Turut hadir dalam tazkirah tersebut adalah En. Rahmat bin Elli, Timbalan Pengerusi, En. Abdul Zamrie bin Randim, Setiausaha Kelab, Puan Dayang Faudzuri binti Abd Adeni, Bendahari, Cik Eva Safika Shahira binti Sahar, Biro Sukan dan Rekreasi serta ahli jawatankuasa kelab yang lain.
Sarikei, 04 Mei 2021 – Satu lawatan tapak dan perbincangan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin telah diadakan pada 30 April 2021 bertempat di Dewan Masyarakat Meradong. Tujuan lawatan dan perbincangan tersebut diadakan adalah untuk memastikan kesesuaian dan keperluan Pusat Pemberian Vaksin yang akan dibuka seterusnya dapat menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi daerah Meradong. Hadir sama semasa lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Meradong, Tuan Badjuri Bin Haji Bidin dan Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, Encik Mohd Johari Abdullah.
SAMARAHAN, 30 APRIL 2021 – Hari ini hari terakhir 7 orang sukarelawan bukan kesihatan MyVac bertugas selepas 4 hari bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bahagian Samarahan, di Dewan Suarah Kota Samarahan sebelum bersambung pada 08 Mei bulan hadapan.
Mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka. Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Pegawai Penyelaras PPV Dewan Suarah, Dr. Susan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan.
Dr. Susan dan staff KKM yang bertugas di PPV yang sama telah berpuas hati dengan sukarelwan-sukarelwan bukan kesihatan MyVac yang berdedikasi dengan tugas masing-masing dan tidak pernah sekali pun ponteng tugas. Mereka juga sangat peramah dan sangat membantu dalam kelancaran PPV bagi Fasa 2 ini terutama sekali di stesen pendaftaran masuk penerima vaksin & saringan suhu, tempat ruang menungu dan imbasan kod vaksin sebelum masuk ke dalam Sistem Myvas.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan sangat berbangga dengan pencapaian sukarelawan bukan kesihatan MyVac Bahagian Samarahan.
KUCHING, 30 APRIL 2021 – Sepanjang bulan Ramadan ini Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak (KEBS) dan JBS Negeri Sarawak tidak ketinggalan menganjurkan Tazkirah Ramadan kepada ahlinya yang juga warga JBS Negeri Sarawak yang beragama islam. Program tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat JBS Negeri Sarawak dan juga secara maya melalui aplikasi Google Meet pagi ini.
Tazkirah telah disampaikan oleh Pendakwah Bebas, Y.Bhg Ustaz Hj. Husaini bin Hamdan itu telah memberi sedikit sebanyak kesedaran dan kefahaman berkaitan 10 malam terakhir bulan Ramadan yang perlu dikejar untuk mendapat pahala yang banyak dari Allah SWT. Dalam pada itu juga Ustaz Hj. Husaini menyeru kepada semua warga muslimin dan muslimat agar sentiasa berzikir dan memuji kebesaran Allah yang Maha Esa dan berselawat ke atas Rasulullah sepanjang bulan Ramadan ini kerana berselawat dan berzikir sangat besar manfaatnya kepada umat Islam bagi mendapat ganjaran pahala dan rahmat disisi Allah SWT.
Terdahulu, Pengerusi KEBS, En. Abu Zaid bin Abu Bakar telah menyampaikan cenderakenangan kepada Ustaz Hj. Husaini bin Hamdan pada majlis tersebut.
Turut hadir dalam tazkirah tersebut adalah En. Azizi Johari, Persuruhjaya Sukan Sarawak, pegawai dan kakitangan dari PBSB Samarahan, Sarikei dan Sibu.
MIRI, 29 APRIL 2021 - Kelab Sukan Rekreasi Baram telah menyantuni Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri untuk menerima sijil perakuan pendaftaran, sebentar tadi. Siijil perakuan pendaftaran tersebut telah disampaikan oleh Encik Roley anak Lagir, Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri kepada Encik Nicholas anak Ijau, Presiden Kelab Sukan Rekreasi Baram bersama ahli kelab beliau.
Kelab tersebut sah berdaftar pada 8 Februari 2021 di bawah Pesuruhjaya Sukan (PJS). Semasa perjumpaan tersebut, Encik Roley telah memberi nasihat serta panduan agar kelab tersebut menggerakkan program mereka mengikut SOP yang terkini pada musim pandemik melanda negara kita.
PBSB Miri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas penubuhan Kelab Sukan Rekreasi Baram dan semoga kelab tersebut dapat menggerakkan belia Baram dengan lebih aktif lagi.