- JBS Sarawak
- Hits: 223
BERKONGSI ILMU PERKASA BAHASA
BINTULU, 31 Ogos 2022 - Semalam telah berlangsung Pertandingan Forum Kreatif Belia Sempena Program Rakan Muda Day Out Siri 2/2022 bagi Bahagian Bintulu. Pelaksanaan program ini telah melibatkan pelbagai pihak bukan sahaja dari segi pengelolaan program malah dari segi kerjasama antara jabatan, guru-guru serta para pelajar sekolah menengah. Melalui program ini pihak penganjur dapat melihat betapa bersemangat dan komited para guru serta peserta-peserta yang terlibat dalam pertandingan ini dan bersaing bukan sahaja untuk mendapat tempat dalam pertandingan tetapi dalam mencapai potensi diri secara individu.
Antara topik-topik forum yang menjadi pilihan peserta dalam pertandingan ini adalah Belia Menjalankan Perniagaan Secara Atas Talian, Freelancer Mengurangkan Pengangguran Belia serta Kepentingan Kemahiran Berkomunikasi. Secara ringkasnya, topik-topik yang dipilih bukan sahaja melibatkan isu-isu belia pada masa kini tetapi juga topik yang boleh mempengaruhi pembangunan belia massa. Forum ini secara tidak langsung telah menyebarkan ilmu bahkan ideologi belia dalam menempuh fasa pembelajaran semasa serta membuka minda para pelajar tentang corak bidang kerjaya pada masa hadapan.
Selain daripada itu, barisan juri yang telah dilantik bagi menilai persembahan forum ini juga merupakan kalangan guru-guru yang berpengalaman dalam bidang penulisan serta penilaian bahasa. Melalui komen dan nasihat daripada barisan juri pihak penganjur percaya bahawa banyak ilmu yang boleh 'dikutip' oleh para peserta untuk dijadikan panduan pada masa akan datang. Semoga program seperti ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
- JBS Sarawak
- Hits: 223
