Disediakan oleh: Martin Sherman Minggu, JBSN Sarawak.
KAPIT, 22 MEI 2023 - Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak telah menganjurkan Program Klik MYKB Peringkat Bahagian Kapit 2023 pada 20 Mei yang lalu bertempat di Hotel Meligai Kapit. Program tersebut dihadiri sebanyak lebih dari 20 persatuan dan kelab sukan di seluruh Bahagian Kapit yang telah berdaftar. Objektif program tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pengenalan kepada persatuan dan kelab yang telah berdaftar berkenaan Akta Pembangunan Sukan 1997. Program ini juga diadakan untuk memberi maklumat penting dalam melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan penghantaran Maklumat Yang Kena Beri (MYKB). MYKB merupakan dokumen laporan oleh badan sukan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPS) dalam tempoh 30 hari selepas mengadakan AGM. Program ini juga memberi latihan secara hands-on kepada persatuan dan kelab untuk menggunakan Sistem Pengurusan Badan Sukan (eROSA) bagi proses penghantaran laporan MYKB secara dalam talian kepada PPS. Lebih dari 800 badan sukan telah dibatalkan pendaftarannya sejak dari tahun 2022 kerana tidak menghantar laporan MYKB. Justeru, pejabat PPS Rantau Sarawak menyeru agar setiap persatuan dan kelab sentiasa peka dengan peraturan ini.
Majlis Penutupan Program tersebut telah disempurnakan oleh Encik Ibrahim Mohd Yusof, Pesuruhjaya Sukan Malaysia sejurus selepas dialog bersama beliau diadakan. Turut hadir mengiringi beliau ialah Encik Azizi Johari, Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak dan Encik Mohammad Sharbini Bin Haji Golong, Penolong Pegawai Pesuruhjaya Sukan Kanan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan Rantau Sarawak. Puan Olivia Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPS Rantau Sarawak kerana sudi bertandang jauh dari Kuching ke Kapit untuk menyampaikan maklumat yang amat penting kepada persatuan dan kelab yang terlibat. Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa yang akan datang. Diharap setiap persatuan dan kelab yang lain tidak melepaskan peluang seperti ini jika diadakan lagi kerana kursus seperti ini adalah percuma.
- JBS Sarawak
- Hits: 144
