SAMARAHAN, 07 JULAI 2023 - Mesyuarat pengurusan pejabat yang dipengerusikan oleh Encik Abu Zaid Bin Abu Bakar, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan telah diadakan pada 7 Julai 2023 bertempat di Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan. Mesyuarat diadakan bertujuan untuk membincangkan perkara yang berkaitan dengan pengurusan pejabat dalam aspek pentadbiran, kewangan dan pelaksanaan program pejabat yang akan datang dengan melibatkan bersama rakan strategik di bahagian Samarahan.
KUCHING, 27 JULAI 2023 – Rakan Prihatin : Program Mobilisasi Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Pasca Bencana Tahun 2023 Peringkat Bahagian Kuching telah dilaksanakan dengan jayanya pada 16 Julai 2023 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Sarawak, Bau dengan penyertaan seramai 40 org peserta belia.
Program SATRIA ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawan di kalangan belia dan komuniti setempat. Selain itu, dapat menjalinkan hubungan luar terutamanya agensi Kerajaan.
Semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia perlu dipupuk sejak awal lagi dan ia adalah batu asas kepada belia yang prihatin, bertanggungjawab, saling bantu-membantu, tidak mengira agama, kaum dan warna kulit. Semangat ini juga perlu diterapkan melalui pelbagai pihak sama ada individu, badan Kerajaan dan pertubuhan bukan Kerajaan.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kuching telah mendapat Kerjasama yang sangat baik daripada Kelab Belia Permata Halaman Kurung Sian (BERLIAN) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak. Mohamad Arif Zulhimi Alet, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching selaku Pegawai Unit Rakan Muda Bahagian Kuching telah membawa para belia (Rakan Muda) melakukan gotong-royong di sekitar Akademi Bomba dalam pada itu juga, mereka turut didedahkan dengan beberapa info dan maklumat perkhidmatan kebombaan yang profesional bagi menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar dengan menggunakan sumber secara berkesan dan teknologi terkini.
Disediakan oleh : Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 26 JULAI 2023 – Encik Zume Bin Kaiman mewakili Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah bersama Encik Mazeri Bin Rosdi, Presiden Kelab Sukan Boule Mukah, telah berkunjung ke pejabat Yang Berhormat Tuan Royston Bin Valentine ADUN N.57 Tellian pada 25 Julai 2023. Kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Yang Berhormat Tuan Rosyton Bin Valentine mengenai pendaftaran Kelab Sukan Boule Mukah serta perancangan program yang akan dilaksanakan di Mukah.
Selain itu, turut dibincangkan dalam pertemuan ringkas tersebut ialah cadangan untuk pembangunan sukan petanque di Mukah selain untuk menggalakkan lebih banyak pendaftaran kelab sukan petanque di Mukah. Kelab Sukan Boule Mukah merupakan satu-satunya kelab sukan petanque di Mukah yang telah berdaftar di Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Encik Razir, Timbalan Presiden, Encik Adeni dan Encik Mohd Nur Aiman Bin Razir AJK kelab.
Disediakan oleh: Martin Sherman Minggu, JBSN Sarawak
KAPIT, 26 JULAI 2023 - Puan Olivia Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit telah menerima kunjungan daripada Puan Emelia Jonathan Kaya, iaitu salah seorang peminjam Tabung Ekonomi Belia (TKWAPEB) yang bertujuan untuk menyelesaikan baki pinjaman beliau. Puan Olivia turut mengesyorkan bayaran berkenaan dibuat dengan betul agar kesilapan tidak akan berlaku. En. Lanting Mala, Pegawai Unit Pembangunan Belia mencadangkan agar tatacara bayaran dapat diselesaikan dengan lancar serta tidak membebankan peminjam. Pihak pejabat berterima kasih kerana kunjungan Puan Emelia ke pejabat dapat memberikan manfaat kepada kedua dua pihak.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 26 JULAI 2023 – Satu Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Mukah Bil.1 Tahun 2023 telah diadakan pada 25 Julai 2023 bertempat di Tingkat 3, Bangunan Pentadbiran Baru Mukah. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Tuan Kueh Lei Poh, Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bahagian Mukah. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah turut dijemput hadir dalam mesyuarat tersebut dan telah diwakili oleh Encik Mohammad Arbi Bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah.
Antara agenda mesyuarat ialah Perutusan Pengerusi, Pembentangan Projek di Bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ( KKDW) di Bahagian Mukah, oleh Kementerian Kemajuan Desa, dan Wilayah Negeri Sarawak, Taklimat Pembangunan di Tanjung Manis oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Laporan Pelaksanaan Projek yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah di seluruh Bahagian Mukah dan Laporan Prestasi Pelaksanaan Projek Pembangunan di Bahagian Mukah oleh Pejabat Residen Bahagian Mukah. Mesyuarat telah dihadiri ketua dan wakil agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam jawatankuasa tersebut secara fizikal dan maya.
MIRI, 25 JULAI 2023 – Program Mobalisasi Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Peringkat Bahagian Miri 2023 (Siri 1) telah dilaksanakan pada 23 Julai 2023 di sekitar daerah Miri. Untuk siri 1 ini, Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri telah membawa skuad sukarelawan dari Kolej Komuniti Miri untuk membuat agihan Box Of Hope kepada 20 buah keluarga yang memerlukan.
Aktiviti dimulakan seawal jam 8.00 pagi di Pusat Kegiatan Belia (CIDC), Wireless Walk Miri dengan ucapan aluan oleh Puan Stephanie Wendy Stamford mewakili Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Miri dan seterusnya penyerahan sumbangan oleh Encik Ariffin bin Mohamad, Timbalan Datuk Bandar Miri kepada Puan Faridah binti Musit mewakili skuad sukarelawan Kolej Komuniti Miri. Sumbangan berbentuk bakul makanan, tuala wanita dan bantal merupakan sumbangan yang dikumpul oleh Persatuan Belia Miri.
Aktiviti diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Encik Muhammad Aiman bin Muhammad Imran Collin dari Persatuan Belia Miri dan sesi taklimat aktiviti oleh Cik Amy Noryanti binti Eni, Pegawai Unit Pembangunan Rakan Muda PBSB Miri. Para sukarelawan bergerak mengikut kumpulan ke kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti di daerah Miri. PBSB Miri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Encik Ariffin bin Mohamad (Timbalan Datuk Bandar Miri), Persatuan Belia Miri dan Kolej Komuniti Miri di atas sokongan, bantuan, khidmat nasihat dan kerjasama dalam merealisasikan aktiviti kemasyarakatan ini.
Disediakan oleh: Martin Sherman Minggu, JBSN Sarawak.
KAPIT, 26 JULAI 2023 - Satu sesi perbincangan telah diadakan secara dalam talian oleh Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit bersama dengan rakan pelaksana bagi Program Liga Sukan Komuniti (LSK) 2023 Peringkat Bahagian Kapit. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring Bahagian Kapit, Kelab Sepak Takraw Sri Balleh dan Kelab Sukan Rekreasi Gagasan Pekan Song. Acara pertama yang akan bermula iaitu Pertandingan Bola Jaring yang akan berlangsung pada 5 hingga 6 Ogos ini bertempat di Dewan Kejora, SMK Kapit No.2. Sehubungan dengan itu, perbincangan ini meliputi pelantikan jawatankuasa iaitu pengadil yang bertauliah dan pegawai-pegawai teknikal daripada persatuan untuk melancarkan perjalanan program kelak.
Di samping itu, acara seterusnya iaitu pertandingan sepak takraw dan futsal lelaki masing-masing akan dilaksanakan pada 19 hingga 20 Ogos dan 26 hingga 27 Ogos ini. Bagi acara sepak takraw, pertandingan ini akan diadakan di Dewan Serbaguna Tun Jugah, SMK Selirik. Manakala untuk futsal pula akan diadakan di Gelanggang Sukan Pelbagai Guna SMK Song No.2. Semua acara ini dijangka akan mempertandingkan sebanyak 16 pasukan yang menyertai bagi merebut gelaran johan dan naib johan sekaligus melayakkan diri ke peringkat negeri yang dijangka akan diadakan pada bulan September kelak.
RIVERIA SPORTS CENTRE, DEBAK VENUE PERTANDINGAN FUTSAL LSK 2023 BAHAGIAN BETONG
Disediakan oleh: JT, JBSN Sarawak
BETONG, 25 JULAI 2023 - Pertandingan Futsal Liga Sukan Komuniti (LSK) 2023 Peringkat Bahagian Betong akan berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos nanti bertempat di Riveria Sports Centre, Debak. Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Bahagian Betong (2015) sebagai rakan pelaksana. Sebanyak 16 pasukan akan berentap bagi mendapat Johan dan Naib Johan, iaitu slot untuk melayakkan pasukan ke peringkat negeri kelak yang dijadualkan bermula pada bulan September. Oleh itu, pihak pejabat telah membuat lawatan tapak ke venue berkenaan untuk meninjau, memeriksa dan meneliti tempat penganjuran.
KUCHING, 25 Julai 2023 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kuching telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Liga Sukan Komuniti (LSK) Tahun 2023 Peringkat Bahagian Kuching pada 20 Julai 2023 bertempat di bilik mesyuarat, Pejabat Daerah Bau. Penganjuran Liga Sukan Komuniti (LSK) turut mendapat kerjasama daripada Kelab Rekreasi Krian.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Cik Margaret Sawing, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching dan dihadiri seramai 13 orang yang terdiri daripada wakil Majlis Daerah Lundu, Pejabat Rela Daerah Lundu, Ketua Kampung Melayu Bau serta Kelab Futsal Petra Jaya, Kelab Sepak Takraw Satok (ATAS) dan Persatuan Bola Jaring Kuching.
Tarikh pelaksanaan bagi setiap acara; pertandingan bola jaring pada 5 – 6 Ogos 2023 di Gelanggang Bola Jaring, Yayasan Sarawak International School Petra Jaya, pertandingan sepak takraw pada 19 – 20 Ogos 2023 di Gelanggang Sepak Takraw, Kampung Melayu Bau dan pertandingan futsal pada 26 – 27 Ogos 2023 bertempat di Gelanggang Futsal Stadium Mini Lundu.
Setiap acara dijangka akan disertai oleh 16 pasukan masing-masingnya.