Disediakan oleh : Morni binti Ibrahim- JBSN Sarawak
SIBU, 25 OKTOBER 2023 - Kelab Sukan dan Sosial Majlis Perbandaran Sibu telah menganjurkan Program Kempen Derma bertempat di Wisma Sanyan, Sibu bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari
Aktiviti ini adalah bertujuan memberi peluang kepada mereka yang terlibat untuk berbakti kepada masyarakat melalui derma darah kepada tabung darah Hospital Sibu. Program tersebut telah mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai. Kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu yang turut serta mengambil bahagian secara konsisten dalam menderma darah adalah Puan Morni Binti Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu. Program tersebut berjalan dengan lancar dan baik.
KAPIT, 25 Oktober 2023 - Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Piala GBSG telah dianjurkan oleh Kelab Belia Gagasan Pekan Song pada 21 hingga 22 Oktober yang lalu bertempat di Stadium Mini Song. Karnival ini telah disertai sebanyak 15 pasukan yang datang dari pelbagai daerah. Majis Perasmian karnival bola sepak ini telah disempurnakan oleh INSP Mohd Faizul Bin Ab Rahim, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah bagi mewakili Ketua Polis Daerah Song iaitu pada 21 Oktober 2023. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Kapit turut hadir untuk melaksanakan pemantauan terhadap perlaksanaan program yang diluluskan di bawah Dana Sukan Komuniti (DSK) KBS. Kelab ini merupakan salah satu badan di bahagian Kapit yang menerima peruntukkan ini untuk menganjurkan program.
Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Puan Olivia Kaminis, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kapit. Pasukan Takah Sepintu, iaitu pasukan dari daerah Kanowit telah berjaya menundukkan 14 lagi pasukan yang bertanding dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 beserta sebuah piala dan medal. Manakala, Naib Johan disandang oleh pasukan Sky FC iaitu pasukan dari daerah Kapit yang memenangi hadiah wang tunai RM700 dan medal. Tempat Ketiga Bersama pula dimenangi oleh pasukan Mujong Bridge FC dan Mythos FC yang menerima hadiah RM300 dan medal.
Encik Herbert Sumok, Pengerusi Kelab Belia Gagasan Pekan Song mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan di atas peruntukkan yang diberi untuk penganjuran program seperti ini. Beliau juga berharap agar inisiatif seperti ini diteruskan lagi pada masa hadapan untuk merancakkan aktiviti sukan dan kecergasan di daerah ini.
SIBU, 24 OKTOBER 2023- Mesyuarat Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak bil. 3/2023 telah diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Residen Sibu. Mesyuarat yang dihadiri lebih 30 agensi Kerajaan telah dipengerusikan oleh Pemangku Residen Bahagian Sibu, Ybhg Tuan Christopher Ranggau Unting. Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan pada 27-29 Oktober 2023 bertempat di Dataran Tuan Tuanku Bujang Fasa 1 & Fasa 2. Penyelarasan program telah disampaikan oleh Cik Nur Fatheen Khairuzan bt Seleman, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu.
Objektif sambutan Hari Sukan Negara adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk terus mengamalkan aktiviti sukan dan kecergasan ke arah menjadikan sukan sebagai gaya hidup aktif serta meningkatkan penyertaan dan penglibatan rakyat dalam menjadikan Malaysia kearah negara berbudaya sukan. pelbagai acara menarik telah disusun bagi memeriahkan lagi acara Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak tersebut.
BUKIT JALIL, 22 OKTOBER 2023 – Zon Borneo telah dinobatkan sebagai Kontinjen Terbaik pada Karnival Sukan KBS peringkat kebangsaan tahun 2023. Menurut penganjur, anugerah ini diserahkan kepada zon yang telah mempamerkan semangat kerjasama berpasukan yang tinggi serta berdisiplin disepanjang karnival sukan yang berlangsung selama 3 hari itu.
Pada Karnival kali ini, Zon Borneo yang dianggotai oleh warga KBS dari negeri Sarawak, Sabah dan Labuan telah berjaya membawa pulang 1 Perak daripada sukan Golf, 1 Gangsa daripada sukan Sepak Takraw dan 3 tempat keempat iaitu daripada sukan Bowling, sukan Badminton dan Sukan Rakyat.
Encik Lamat Anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak selaku Ketua kontinjen Zon Borneo berharap agar pencapaian ini mampu menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga kerja zon borneo untuk bekerja dengan lebih bersemangat serta menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang cemerlang pada masa akan datang.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga kbs atas penganjuran karnival sukan kali ini. Semoga aktiviti yang mampu menyatupadukan seluruh warga kerja dibawah naungan KBS akan diteruskan pada masa akan datang.
MIRI, 23 OKTOBER 2023 – Program Rakan Ekspresi : Rakan Muda@Uji Minda Bahagian Miri yang melibatkan seramai 50 orang golongan belia berusia 15 sehingga 30 tahun telah diadakan sepanjang bulan Oktober 2023 di sekitar Bandaraya Miri dan berakhir pada 21 Oktober 2023 di IKBN Miri.
Program ini bertujuan membina keyakinan diri golongan belia untuk mencuba perkara luar daripada kebiasaan mereka, menguji minda dan tahap pengetahuan anak – anak muda masa kini dan menggalakkan penyediaan konten yang membina untuk siaran media sosial.
Belia-belia yang ditemubual oleh sukarelawan program telah menjawab soalan berkaitan sejarah Rasulullah SAW, para sahabat baginda, asas ilmu tauhid, asas fardu ain dan asas fardu kifayah. Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri mengucapkan syabas dan tahniah kepada sukarelawan yang terlibat dan semua peserta yang telah berjaya mengikuti program tersebut.
MIRI, 23 OKTOBER 2023 – Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak dan Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Miri turut serta dalam aktiviti pameran Rakan Muda bersempena dengan Majlis Konvokesyen IKBN Miri pada 21 Oktober 2023 di IKBN Miri.
Pelbagai aktiviti telah diadakan di ‘booth’ Rakan Muda iaitu pendaftaran sukarelawan Rakan Muda (Satria) dan sukarelawan SUKMA 2024, sepakan penalti, mari mencuba permainan stacking, congkak dan catur. Ahli Parlimen Belia Malaysia, Cik Rapunzel Anthony juga turut hadir untuk membantu mempromosi aktiviti Rakan Muda.
Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, Menteri Belia Dan Sukan Malaysia bersama Yang Berhormat Encik Chiew Choon Man, ahli Parlimen P.219 Miri dan Yang Berbahagia Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS telah berkesempatan beramah mesra dengan para pengunjung di ‘booth’ Rakan Muda. ‘Booth’ Rakan Muda telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung yang hadir ke tapak pameran.
MIRI, 23 OKTOBER 2023 – Pada 21 Oktober 2023, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri telah mengadakan sesi taklimat dan cabutan undi bersama pengurus pasukan bagi dua jenis acara yang akan dipertandingkan sempena Malaysia Aktif @ Komuniti di PPR Sungai Rait. Antara acara yang akan dipertandingkan ialah bola jaring dan futsal. Sesi bermula dengan taklimat peraturan permainan dan cabutan undi bagi menentukan kumpulan yang disampaikan oleh Encik Roger Danny, Pegawai Unit Pembangunan Sukan. Malaysia Aktif @ Komuniti 2023 akan dilaksanakan pada 29 Oktober 2023 bersempena dengan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Miri 2023 di Dewan Serbaguna PPR Sungai Rait Lambir.
Program ini merupakan inisiatif baharu #TeamKBS dengan sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi merealisasikan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat khususnya di komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA). Selain acara bola jaring dan futsal, komunti PPR Sungai Rait juga akan mejalankan aktiviti senamrobik pada hari tersebut dan beberapa sesi yang telah ditatapkan bersama jurutunjuk senamrobik.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 23 OKTOBER 2023 – Kejohanan Taekwondo Program 1000 Liga Bahagian Mukah 2023 telah diadakan di Dewan Serbaguna, Politeknik Mukah pada 14 Oktober 2023. Penampilan beberapa peserta dari pelbagai sekolah di sekitar bahagian Mukah dengan pelbagai peringkat umur telah memeriahkan kejohanan tersebut. Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah dengan kerjasama Kelab Taekwon-Do Tunas Mukah dan Politeknik Mukah membuahkan hasil penyertaan yang sangat memuaskan terutama di daerah Mukah.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Hisamudin Bin Mohd Tamim, Pengarah Politeknik Mukah. Turut hadir ke majlis perasmian program tersebut Encik Mohammad Arbi Bin Rosli, Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Encik Mohd Shafeeq Abdullah, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah dan Encik Rosidi Bin Muhamad Nor, Pengarah Program Kejohanan Taekwondo 1000 Liga Mukah. Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam menjayakan program tersebut.
Disediakan oleh: Mohammad Arbi Bin Rosli, JBSN Sarawak
MUKAH, 23 OKTOBER 2023 – Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah 2023 telah diadakan pada 18 Oktober 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Daro. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Encik Bujang Bin Rahman, Pegawai Daerah Daro dan turut dihadiri Encik Bonnie Manau Anak Michael Amerikan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Mukah. Ketua jabatan dan wakil ketua jabatan di daerah Daro serta ketua masyarakat telah hadir semasa mesyuarat tersebut.
Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah persediaan setiap aktiviti yang akan dijalankan pada 28 Oktober 2023. Selain itu juga turut dibincangkan penglibatan semua peringkat komuniti di daerah Daro dalam sukan bagi menyokong agenda negara dalam menjadikan Malaysia Negara Sukan pada tahun 2030. Pembahagian organisasi yang akan bekerjasama dengan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah bagi setiap aktiviti sukan yang akan dilaksanakan turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.