Disediakan oleh: Martin Sherman, JBSN Sarawak.
KAPIT, 30 Oktober 2023 - Hari Sukan Negara adalah perayaan sukan yang dinanti-nantikan setiap tahun oleh masyarakat di seluruh negara. Pada 28 Oktober yang lalu, SMK Song menjadi tuan rumah untuk sambutan gilang-gemilang Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Kapit 2023 yang diadakan dengan penuh semangat dan keghairahan. Program ini telah dianjurkan dengan kerjasama SMK Song dan Kelab Sukan Rekreasi Gagasan Pekan Song.
Acara pada pagi tersebut telah dimulakan seawal jam 7.00 pagi dengan acara larian santai sejauh 3 kilometer yang disertai lebih daripada 300 orang peserta. Perasmian program acara tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, merangkap Ahli Parlimen P.215 Kapit yang menyampaikan ucapan inspiratif mengenai pentingnya kecergasan fizikal dan semangat kesukanan dalam masyarakat. Beliau menekankan nilai penting kerjasama, semangat juang yang tinggi, dan sikap positif dalam mencapai kejayaan bukan sahaja dalam sukan, tetapi juga dalam kehidupan seharian.
Pelbagai acara telah diadakan iaitu senamrobik perdana, demonstrasi silat dan kuntau serta pertandingan acara sukan seperti petanque, olahraga, futsal, catur dan dart. Selain itu, program ini juga disertai oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang lain termasuklah Pusat Giatmara Kapit, Pejabat PERKESO Kapit, Jabatan Akauntan Negara Malaysia Cawangan Kapit, TM Kapit dan Kapit Digital Innovation Hub. Gerai jualan juga turut diadakan yang diselaras oleh pihak Pusat Ekonomi Digital Daerah Song.
- JBS Sarawak
- Hits: 175
