BETONG, 4 SEPTEMBER 2023 – Pertemuan dan perpisahan itu sudah lumrah. Begitulah juga dengan hakikatnya kita sebagai penjawat awam yang sudah tentunya akan berpindah ke satu tempat yang baru sesuai amanah yang diberikan. Awal bulan September ini, Puan Noorlina binti Mirais, Pembantu Belia dan Sukan S26 di PBSB Bahagian Betong berpindah ke Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah untuk melapor diri pada 4 September 2023. Pada tarikh 29 Ogos 2023, merupakan ketikan kad perakam waktu terakhir beliau di PBSB Betong sebelum bercuti untuk menguruskan urusan perpindahan. Puan Noorlina binti Mirais mula bertugas di PBSB Betong pada 3 September 2019. Di kesempatan ini, pejabat mengucapkan jutaan terima kasih di atas jasa dan sumbangan sepanjang beliau berkhidmat di PBSB Betong dan diucapkan selamat maju jaya di tempat baharu.
BINTULU, 30 OGOS 2023 – Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Bintulu telah menerima kunjungan hormat daripada Encik Michael Hii yang berhasrat untuk mengetahui langkah dan cara untuk menubuhkan badab bukan kerajaan (NGO).
Tujuan perjumpaan tersebut adalah kerana beliau ingin menggerakkan komuniti dan juga kumpulan beliau secara lebih teratur. Dalam sesi tersebut, Encik Kigen Anak Satong, Pegawai Belia dan Sukan Bintulu telah memberikan penerangan yang terperinci tentang tatacara penubuhan dan juga pendaftaraan kelab atau persatuan.
Pihak pejabat sentiasa menyokong serta mengalu-alukan mana-mana individu atau kumpulan yang berminat untuk mendaftarkan kelab di Bahagian Bintulu.
Sarikei, 30 OGOS 2023 - Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei telah mengadakan mesyuarat pengurusan bulanan bertempat di Pusat Aktiviti Warga Tua, Taman Tasik, Sarikei. Mesyuarat ini diadakan bagi menyelaras dan memantau semua aktiviti Belia, Sukan dan Rakan Muda termasuk aktiviti kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri dan NGO's. Mesyuarat turut membincangkan berkenaan tadbir urus kewangan, aset dan pentadbiran pejabat. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Y.Brs Encik Mohd Johari Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sarikei dan dihadiri oleh semua staff.
Dalam mesyuarat ini juga diadakan Majlis serah dan terima tugas Encik Terence Tan, Pembantu Belia dan Sukan TBBK yang akan berpindah tempat bertugas ke Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu berkuatkuasa pada 4 September 2023. Kekosongan jawatan tersebut akan ditanggung oleh Encik Abdul Rani bin Jemi, Pembantu Belia dan Sukan Kanan. Pejabat ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang selama beliau bertugas di PBSB Sarikei.
Dalam majlis ini turut diadakan penyerahan bendera Malaysia kepada semua staff sebagai simbolik sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat PBSB Sarikei. Seluruh Team PBS6D mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga Malaysia.
SARIKEI, 27 OGOS 2023 – Program Mobilisasi Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Siri 2 peringkat Bahagian Sarikei telah diadakan bertempat di Dewan Kompleks Sukan MYSED, Sarikei.
Program ini adalah bertujuan untuk menyediakan platform kepada belia melaksanakan aktiviti/ program kesukarelawanan/ kemanusiaan secara sistematik dan teratur tanpa mengira bangsa dan agama dalam melaksanakan tugas-tugas kesukarelaan.
Pada kali ini, seramai 40 orang belia setempat pelbagai latar belakang telah terlibat membantu dalam gotong royong persediaan venue, pembersihan kawasan bersempena Program Kejohanan Futsal Liga Sukan Komuniti 2023 Peringkat Bahagian Sarikei.
Encik Abang Zaini Abang Ismail, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei turut turun padang untuk sama-sama bergotong-royong dengan para belia Sarikei. Beliau merakamkan setinggi penghargaan dan juga syabas atas kerjasama dan juga semangat yang telah ditonjolkan oleh para sukarelawan.
Turut bersama Encik Abdul Rani bin Jemi, Pegawai Pembangunan Unit Sukan dan Encik Nyawin Sirai, Pembantu Tadbir Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
SARIKEI, 27 OGOS 2023 - Pasukan Futsal Matrix United telah menewaskan pasukan Kerugak FT dalam perlawanan akhir pertandingan Futsal Liga Sukan Komuniti peringkat bahagian Sarikei sekaligus menjadi johan pertandingan tersebut. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan Dayang Collection.
Sebanyak 19 pasukan telah berentap dalam pertandingan ini yang telah diadakan pada 26 hingga 27 Ogos 2023 di Dewan Kompleks Sukan MYSED, Sarikei. Majlis penyampaian hadiah kemenangan telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rani bin Jemi, Pegawai Unit Pembangunan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
Pejabat ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pasukan yang telah menyertai pertandingan ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei, Persatuan Pengadil Bahagian Sarikei dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini. Pejabat ini berharap agar lebih ramai bakat muda dapat dicungkil melalui pertandingan seperti ini untuk kemajuan sukan Futsal di Bahagian Sarikei, khususnya.
PAKAN, SARIKEI, 26 OGOS 2023 – Program Mobilisasi Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (SATRIA) Siri 1 peringkat Bahagian Sarikei telah diadakan bertempat di Dewan Masyarakat Pakan pada 26 Ogos 2023.
Program ini adalah bertujuan untuk menyediakan platform kepada belia melaksanakan aktiviti/ program kesukarelawanan/ kemanusiaan secara sistematik dan teratur tanpa mengira bangsa dan agama dalam melaksanakan tugas-tugas kesukarelaan.
Pada kali ini, seramai 43 orang belia setempat pelbagai latar belakang telah terlibat membantu dalam gotong royong persediaan venue, pembersihan kawasan, serta menjadi sukarelawan sepanjang Program Skills Up Now (S.U.N) Peringkat Negeri Sarawak Siri 1&2 berlangsung.
Saudara Kevin Jampang Ranggak, Pengerusi Kelab Belia Pekan Pakan turut turun padang untuk sama-sama bergotong-royong dengan para belia Pakan. Beliau merakamkan setinggi penghargaan dan juga syabas atas kerjasama dan juga semangat yang telah ditonjolkan oleh para sukarelawan.
Beliau turut menyeru para sukarelawan yang hadir untuk terus konsisten dalam melakukan kerja-kerja kesukarelawanan dan juga supaya menyebarluaskan lagi semangat sukarelawan ini di samping membawa rakan-rakan yang lain untuk turut serta dalam program seumpama ini.
Turut bersama Encik Terence Tan, Pembantu Pegawai Pembangunan Rakan Muda Sarikei.
PAKAN, SARIKEI, 26 OGOS 2023 - Program Skills Up Now (SUN) Peringkat Negeri Sarawak untuk Siri 1 & Siri 2 telah dilaksanakan di Dewan Masyarakat Pakan. Program ini diadakan dengan kerjasama Kelab Belia Pekan Pakan dan Kolej Komuniti Sarikei.
Seramai 43 orang peserta belia dari Daerah Pakan dan Julau ini telah berjaya mengikuti sesi pagi iaitu Siri 1 : Kursus Pengenalan Usahawan Digital dan sesi petang pula adalah Siri 2 : Kursus Medium Usahawan Digital.
Dalam sesi tersebut, peserta telah dibekalkan ilmu seperti pengetahuan asas keusahawanan digital, suntingan video menggunakan telefon pintar dan pemasaran perniagaan dengan menggunakan platform media sosial.
Kedua-dua sesi ini dikendalikan oleh Kolej Komuniti Sarikei, diketuai oleh Yang Berbahagia Puan Norasmah binti Jaafar, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei bersama Cik Dylinda anak Andrew selaku penyelaras Kolej serta Encik Abdul Rahmat bin Morni selaku pensyarah utama sepanjang program S.U.N ini berlangsung dan dibantu oleh 4 orang pelajar SSK.
Impak daripada program Skills Up Now Peringkat Negeri Sarawak di Pakan ini, Yang Berbahagia Puan Norasmah binti Jaafar, Pengarah Kolej Komuniti Sarikei akan terus bekerjasama dengan Kelab Belia Pekan Pakan kesinambungan kepada perasmian Makmal Digital Keusahawanan antara Kolej Komuniti Sarikei dan Rakan Digital Belia Pakan, dimana akan diadakan kursus-kursus susulan di masa hadapan yang akan dijalankan secara digital atau maya dari masa ke semasa.
Diharap dengan perkongsian ilmu ini ia dapat memberi manfaat dan ilmu digital yang berguna kepada semua peserta yang menyertai.
Hadir bersama Saudara Kevin Jampang Ranggak, Pengerusi Kelab Belia Pekan Pakan dan Encik Terence Tan, Pembantu Pegawai Pembangunan Rakan Muda Bahagian Sarikei.
SARIKEI, 20 OGOS 2023 - Pasukan Sepak Takraw SSC SG Nyelong telah menewaskan pasukan Government C dalam perlawanan akhir pertandingan Sepak Takraw Liga Sukan Komuniti peringkat bahagian Sarikei sekaligus menjadi johan pertandingan tersebut. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh BSTC.
Sebanyak 20 pasukan telah berentap dalam pertandingan ini yang telah diadakan pada 19 hingga 20 Ogos 2023 di Dewan SK Abang Amin, Bintangor. Majlis penyampaian hadiah kemenangan telah disempurnakan oleh Encik Abdul Rani bin Jemi, Pegawai Unit Pembangunan Sukan, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei.
Pejabat ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pasukan yang telah menyertai pertandingan ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada Kelab Sepak Takraw Bintangor, SK Abang Amin dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan ini. Pejabat ini berharap agar lebih ramai bakat muda dapat dicungkil melalui pertandingan seperti ini untuk kemajuan sukan Sepak Takraw di Bahagian Sarikei, khususnya.
KOTA SAMARAHAN, 19 OGOS 2023 - Saudara Wong Soon Ping, Pengerusi Kelab Belia Bandar Sarikei telah menerima hadiah tempat ketiga untuk Anugerah Perdana Belia Peringkat Negeri Sarawak 2023 untuk kategori Individu Lelaki di The Summer Shopping Mall, Kuching, Sarawak.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan diiringi oleh YBrs. Dr. Zainah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Encik Lamat anak Nyalau, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato' Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, belia amat penting dan perlu dijaga serta diasah sebagai pemimpin yang akan menjaga negeri ini satu hari kelak, katanya ketika berucap semasa Karnival Sambutan Hari Belia Negara 2023 Peringkat Negeri Sarawak.
Tujuan penganugerahan ini adalah untuk memberi semangat dan meningkat lagi kesedaran serta menanamkan semangat patriotik kepada negara sendiri khususnya kepada para belia kita.
Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei mengucapkan tahniah dan syabas kepada Saudara Wong Soon Ping atas kejayaan tersebut dan semoga beliau dapat bersama-sama untuk membimbing belia-belia yang lain dalam pelbagai program dan aktiviti pada masa akan datang khususnya di Bahagian Sarikei.
Hadir bersama YB Encik Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I, YB Encik Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Batang Lupar, YB Puan Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Batang Sadong, YB Encik Awla bin Dris, ADUN Simunjan, YB Encik Royston Valentine, ADUN Tellian, Encik Mohamad Irwan Bahari Bujang, Residen Bahagian Samarahan , ketua-ketua jabatan, serta ketua-ketua kaum dan masyarakat.