- JBS Sarawak
- Hits: 164
BENGKEL ASAS PENGACARAAN MAJLIS DAN PENGURUSAN ACARA BERI PELUANG KEPADA PARA BELIA LIMBANG UNTUK MENGEKSPRESIKAN PENYERLAHAN BAKAT, MINAT DAN IDEA
Disediakan oleh: Aimy Alisha Charlie, JBSN Sarawak
LIMBANG, 15 JANUARI 2024 - Terdapat ramai belia yang berpotensi dalam bidang pengacaraan majlis namun tercicir dari mendapatkan bimbingan dan maklumat yang sepatutnya. Menyedari akan hakikat itu, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Limbang (PBSB Limbang) telah berkolaborasi bersama Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM Limbang) bagi menganjurkan Bengkel Asas Pengacaraan Majlis dan Pengurusan Acara pada 13 Januari 2024 bertempat di Auditorium RTM Limbang.
Projek ini merupakan satu inisiatif yang diambil oleh PBSB Limbang dalam usaha untuk menyampaikan perkongsian ilmu kepada golongan belia khususnya golongan Rakan Muda yang berusia dalam lingkungan 15-25 tahun. Secara dasarnya bengkel ini adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan, bimbingan dan kemahiran asas yang secukupnya dalam bidang pengacaraan mengikut amalan protokol semasa. Bengkel ini juga turut membantu para peserta untuk menanam serta membina keyakinan diri dalam melaksanakan tugas sebagai Pengacara Majlis.
Acara penyampaian sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Encik Rynnille Elsther Peter, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang dan Encik Mohd Dalinee bin Jupar@Ali selaku Fasilitator Bengkel dari RTM Limbang. Secara keseluruhannya bengkel ini telah memberikan impak yang positif dalam meningkatkan imej dan potensi diri para belia di samping mencungkil bakat-bakat pengacara yang boleh diketengahkan.
- JBS Sarawak
- Hits: 164
