SEMBULAN, 10 Ogos 2018 - Mesyuarat Induk Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Bil 4/2018 telah dipengerusikan oleh YB Datuk Peter Anthony Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah.
Dalam keputusan mesyuarat pelaksanaan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 akan diadakan pada 31 Ogos 2018 bertempat di Jalan Tun Fuad Stephens. Sepanjang hari sambutan berkenaan terdapat persembahan kebudayaan, acara perbarisan dan persembahan kenderaan Angkatan Tentera Malaysia dan kereta berhias.
Encik Yum Maren Bin Basri mewakili Jabatan hadir ke mesyuarat tersebut. Semua rakyat di Negeri Sabah dipelawa untuk sama-sama memeriahkan sambutan berkenaan disamping menyemarakkan lagi semangat patriotik.
PUTATAN, 10 Ogos 2018 – Penguasaan ilmu dan maklumat adalah merupakan perkara yang sangat penting dan menjadi agenda utama kerajaan seterusnya mampu menjadi penentu kelangsungan sesuatu bangsa.
Perkara tersebut telah diucapkan oleh YB Puan Norazlinah Arif Pembantu Menteri, yang mewakili Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat semasa merasmikan Persidangan Wanita Berwibawa 2018 yang telah diadakan bertempat di Hotel Le’Meridien, Kota Kinabalu pada 9 Ogos 2018.
Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah telah di wakili oleh Puan Hasmah Ajem sebagai peserta dalam persidangan tersebut. Antara objektif utama persidangan tersebut adalah untuk berkongsi pendapat dan pandangan mengenai ciri-ciri Women of Substance (WOS), memotivasikan wanita dalam bidang pengurusan dan kepimpinan ke arah pencapaian status WOS, sekaligus untuk berkongsi pengalaman kejayaan (sharing of success stories).
Beberapa tajuk penting yang telah dikongsikan oleh penceramah-penceramah yang dijemput khas adalah ‘Wanita dan Pendidikan’, ‘Wanita dan Kesihatan’, ‘Wanita dan Keamanan’ dan ‘Wanita dan Budaya’. Seramai 350 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam, NGO, dan usahawan wanita telah menyertai persidangan tersebut.
LIKAS, 10 Ogos 2018 – Encik R. Effendi Bin Razali, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah telah mengadakan Lawatan Pemantauan Ke Tapak Projek Pembinaan Stadium Ragbi Negeri Sabah bertempat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
Lawatan ini adalah merupakan inisiatif Jabatan untuk melihat sejauh mana kemajuan fizikal di tapak projek yang dilaksanakan oleh pihak pemaju dilantik. Adalah diharapkan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan memberi manfaat kepada para peminat sukan ragbi.
KAMPAR, 9 Ogos 2018 - 'Tingkatkan mutu kejurulatihan sukan di Malaysia' demikian amanat YBhg Datuk Hatipah Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) semasa merasmikan Kursus Sains Sukan Tahap 1 di Kompleks Rakan Muda Kampar, Perak.
Kursus yang dihadiri seramai 40 peserta daripada seluruh negara terdiri daripada Pegawai Belia dan Sukan KBS dan juga instruktor senamrobik. Wakil peserta daripada JBSN Sabah iaitu Encik Erzan bin Abdullah turut terpilih untuk mengikuti kursus yang pertama kali dianjurkan bersama oleh JBSN dan ISN.
Kursus yang menekankan tentang aspek kejurulatihan ini meliputi pembelajaran mengenai psikologi sukan, anatomi tubuh, pemakanan sukan, suaian fizikal, biomekanikal dan tingkahlaku motor dan memberi input yang berguna kepada semua bakal jurulatih apabila melatih atlet-atlet mereka bagi memaksimakan kemahiran sukan atlet.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sukan JBSN, Pengarah JBS WP KL, Pengarah JBS Perak dan Wakil dari Institut Sukan Negara (ISN).
SANDAKAN, 9 Ogos 2018 – Pihak Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan telah mengambil inisiatif dalam mengibarkan jalur gemilang di Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan hari ini bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos 2018.
Kerja-kerja pemasangan jalur gemilang ini telah dilakukan dengan kerjasama semua pegawai dan kakitangan dengan harapan melalui pengibaran jalur gemilang ini akan dapat menanam semangat Sayangi Malaysiaku dan menghargai negara Malaysia pada setiap masa.
PUTATAN, 9 Ogos 2018 - Satu taklimat telah diadakan oleh Pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada semua pegawai dan kakitangan sempena mesyuarat Pengurusan, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah hari ini.
YaPEIM mempunyai tiga perkhidmatan iaitu arrahnu, kedai mini market dan sumbangan untuk program amal jariah.
Semua yang berminat untuk mengikuti atau menyertai program yang dianjurkan YaPEIM boleh merujuk terus ke cawangan yang terdekat.
SANDAKAN, 9 Ogos 2018 – Satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Sandakan 2018 telah diadakan pada 7 Ogos 2018 bersamaan hari Selasa bertempat di Dewan Persidangan, Tingkat 1, Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan (M.P.S). Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Peter Stephen Ampadu, Pengarah Kewangan & Pembangunan.
Antara pengisian mesyuarat tersebut adalah untuk membincangkan tarikh Kempen Mengibarkan Jalur Gemilang, dan cadangan aktiviti-aktiviti sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Sandakan 2018. Dalam mesyuarat tersebut pengerusi telah memohon setiap agensi yang terlibat berkongsi cadangan bagi memantapkan lagi pelaksanaan Sambutan Hari Kebangsaan. Sambutan Hari Kebangsaan ini akan dilaksanakan pada 31 Ogos 2018 bertempat di Dataran M.P.S.
Pengerusi telah memohon penglibatan pihak Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan yang diwakili oleh Encik Muhamad Khaled Januil, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan dalam menganjurkan acara Fun Ride Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Sandakan 2018 pada 31 Ogos 2018. Pihak pejabat menyambut baik cadangan tersebut dan akan menghantar kertas kerja cadangan program Fun Ride secepat yang mungkin untuk tujuan pertimbangan kelulusan.
TUARAN, 9 Ogos 2018 - 11 Orang Mahasiswa UiTM Sabah yang merupakan atlit Taekwondo institusi berkenaan menjalani latihan itensif di Astaka Tuaran bersama bekas jaguh atlit taekwondo kebangsaan, Joseph Kung.
Ketika pertemuan dengan Pegawai Belia dan Sukan (P) Daerah Tuaran, Encik Hamzah Md. Tahir dan Pegawai KBSS Daerah Tuaran, Encik Baxter Jilan, Joseph berkata, 11 orang atlit UiTM tersebut sudah berkampung di Tuaran sejak 2 minggu lepas bagi menjalani latihan taktikal dan fizkikal dibawah bantuan penolong jurulatih, Josephine Kung.
Kontijen ini akan berangkat ke Perak hari ini bagi menghadapi Kejohanan KARISMA UiTM yang bermula 10 hingga 14 Ogos 2018.
KIULU, 9 Ogos 2018 - Lebih kurang 1000 orang masyarakat termasuk golongan belia hadir dan memeriahkan Hari Orang Asal Sedunia Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Pekan Kiulu pada 8 hingga 9 Ogos 2018 yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie bin Haji Afdal.
Berucap dimajlis perasmian, YAB Ketua Menteri berkata, sambutan berkenaan adalah untuk memperlihatkan keunikan budaya, kehidupan dan pengetahuan tradisi. Selain itu, program itu juga bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang hak asasi Orang Asal sesuai dengan deklarasi United Nation Declaration Rights of Indigenous People (UNDRIP).
Mengulas mengenai Sambutan itu, YAB Ketua Menteri berkata kerajaan negeri akan mengadakan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri setiap tahun bagi memartabatkan lagi orang asal di negeri ini.
“Saya yakin sambutan seumpama ini merupakan satu langkah untuk mempromosikan budaya, makanan, tarian, pakaian dan pelbagai lagi produk orang asal yang ada di negeri ini.. oleh itu kita harus adakan sambutan ini setiap tahun." Jelas beliau.
Program anjuran Pertubuhan Pasok Momogun KadazanDusun Murut Bersatu (UPKO) dengan kerjasama Kerajaan Negeri itu juga melibatkan Jabatan Muzium Sabah, Jabatan Arkib Negeri Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS, Pejabat Daerah Tuaran, Semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan di daerah Tuaran serta Majlis Gabungan Persatuan Etnik Bumiputera Sabah (MAGEBS).
Antara acara yang telah diadakan selama dua hari tersebut adalah ceramah mengenai Harta Intelek Orang Asal, ceramah hak-hak orang Asal, Pertandingan Bosou dan cabutan tiket bertuah. Pejabat Belia dan Sukan (P) Daerah Tuaran dan KBSS Daerah Tuaran sebagai urus setia kehadiran belia-belia setempat. Turut hadir dimajlis perasmian tersebut, Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB. Datuk Seri Panglima Madius Tangau, Pengerusi Induk sambutan, Tan Sri Wences Angang, Pembantu-Pembantu Menteri, Pegawai Daerah Tuaran, Encik Mohd. Sofian Alfian Nair serta Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan Daerah Tuaran.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262