KOTA KINABALU, 5 April 2019 - Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat mengambil inisiatif apabila melaksanakan Bengkel Pegawai Pelaksana 'TOT' Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Tahap 1 bertempat di bilik mesyuarat pejabat hari ini.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat, Encik Stephen Andreas berkata, objektif bengkel tersebut dilaksanakan bagi memantapkan kaedah penyampaian berkesan pegawai-pegawai pejabat ini untuk melaksana kursus berkenaan kepada 40 pemimpin belia di Bahagian Pantai Barat pada 12 -14 April 2019 ini bertempat di Kem Latihan Belia Kundasang, Ranau.
Sebanyak 7 modul telah dibentang didalam bengkel berkenaan dibawah seliaan Ketua Fasilitator bengkel, Encik Ibi Mongai.
KOTA KINABALU, 4 April 2019 - Semua warga Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat diseru untuk meningkatkan lagi prestasi dalam kerja yang telah diamanahkan selain bekerja dengan ikhlas, mempunyai sifat integriti yang tinggi, berdisiplin, amanah dan bertanggungjawab menjaga reputasi Jabatan ke arah lebih cemerlang.
Demikian amanat Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, Encik Mohamad Mazlan bin Anis ketika membuat lawatan kerja singkat ke Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat hari ini.
Beliau juga berkata integriti berkait rapat dengan kekuatan prinsip beretika dalam menjalankan sesuatu kerja yang menjadi ukuran daripada masyarakat terhadap perkhidmatan yang diberikan.
KENINGAU, 3 April 2019 - Pengerusi Kelab Belia Bersatu Kampung Ria, Keningau dalam kunjungan ke Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Keningau bagi membincangkan cara dan langkah yang perlu bagi penghantaran MYKD kelab belia.
Antara nasihat dan bimbingan yang diberikan adalah lebih kepada kebaikan kelab belia dikawasan setempat setelah maklumat adalah lengkap dan seterusnya langkah-langkah permohonan bantuan kepada pelbagai agensi atau pihak tertentu dalam permohonan menjalankan program pembangunan belia.
Dalam perbincangan tersebut oleh Encik Ryandie Angsukup, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Keningau dan Encik Charles Bin Jupili, Pengerusi Kelab Belia Bersatu Kampung Ria, Keningau akan bersama-sama memastikan kelab tersebut akan berjaya meghantar semua maklumat yang diperlukan dan seterusnya antara kelab yang akan menjadi penggerak bagi pembangunan belia di Daerah Keningau.
KENINGAU, 2 April 2019 - Persatuan Belia Kampung Biah Skim, Keningau bertemu Kelab Bola Sepak CCC Keningau dalam Persahabatan Bola Sepak di Padang SMK Keningau II, Keningau.
Perlawanan bertujuan mengeratkan lagi hubungan bersama Persatuan Belia Kampung Biah Skim dan Kelab Bola Sepak CCC Keningau dalam bersama mengamalkan gaya hidup sihat. Selain itu juga ianya dapat mengisi masa lapang belia kepada program-program sukan yang lebih berfaedah dalam membendung gejala lepak.
Turut hadir Encik Ryandie Angsukup, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Keningau.
KEPAYAN, 2 April 2019 - Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah diketuai oleh Timbalan Pengarah yang baharu, Encik Mohamad Mazlan Hj.Anis telah membuat kunjungan hormat kepada Majlis Belia Sabah hari ini.
Rombongan tersebut telah di sambut oleh Saudara Abqaree Fawwaz Abekan, Timbalan Presiden Majlis Belia Sabah bersama Naib Presiden dan Bendahari Agung, Saudara Hilmie Bin Milus, Sdra Kevin Lo dan Sdra Vitalis Ronald.
Antara tujuan utama kunjungan tersebut adalah untuk sesi percambahan dan pertukaran idea serta kerjasama dalam menganjurkan program demi pembangunan belia di Negeri sabah.
PAPAR, 1 April 19. - Program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) yang menjadi pengganti kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang telah dimansuhkan baru-baru ini.
Program ini akan berlangsung selama dua hingga tiga minggu dan akan terbahagi kepada dua peringkat umur peserta iaitu 15 tahun dan 17 tahun bermatlamat program ini lebih terarah kepada pembangunan jati diri dan belia berwawasan menerusi pelaksanaan modul.
“Peserta lepasan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini dipilih dari setiap sekolah, bukan hanya sekolah elit, serta mereka perlu melalui tiga proses saringan.
TUARAN, 1 April 2019 - Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2019 akan berlangsung pada 5 Mei 2019 bertempat di Dewan Masyarakat, Tun Hamdan Tamparuli jelas Pegawai Daerah Tuaran merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Daerah Tuaran, Encik Mohd. Sofian Alfian Nair ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran Bil. 2/2019 bertempat di Pejabat Daerah Tuaran hari ini.
Sebanyak 23 Jawatankuasa kerja dibentuk bagi mempastikan perayaan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pejabat Belia dan Sukan (P) Daerah Tuaran mengetuai Jawatankuasa Kerja Pengurus Pentas.
Turut terlibat didalam mesyuarat tersebut, ketua-ketua Jabatan negeri dan persekutuan daerah Tuaran.
LIKAS, 31 Mac 2019 – Pertandingan X Games Peringkat Zon (Sabah, W.P Labuan dan Sarawak) 2019 telah diadakan pada 30 dan 31 Mac 2019 yang lalu.
Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Sabah Extreme Sport Association (SESSION) diadakan bertempat di Taman Cabaran Belia, Kompleks Sukan Likas. Pertandingan ini disertai oleh peserta dari Negeri Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sabah.
Pertandingan ini diadakan bermatlamat untuk memberi peluang kepada semua masyarakat negara ini menonjolkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Ketiadaan penganjur pertandingan seperti ini akan membantutkan perkembangan sukan ini. Tambahan pula ia juga mampu menjadi pendorong kepada belia untuk berlatih dengan lebih gigih dan tekun.
Pertandingan terbuka kepada 3 kategori iaitu Skateboard, BMX dan Inline Skate. Pengarah dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya ibu bapa yang memberi sokongan kepada anak-anak mereka pada pertandingan kali ini.
Melalui program ini masyarakat akan berusaha untuk menanam sikap cintakan aktiviti sukan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Ini kerana sukan ekstrim juga salah satu jenis sukan yang meningkatkan tahap kecergasan. Dari sini budaya Malaysia Cergas dan Tiada Alasan dapat diterapkan ke jiwa masyarakat Malaysia dan juga kearah Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu.
Pertandingan telah dirasmikan oleh Encik R.Effendi Bin Razali, Pengarah, Jabatan Belia Dan Sukan (P) Negeri Sabah dan turut hadir Encik Noorman Bin Ramlan, Penolong Pengarah, Bahagian Pembanguan Sukan, JBSN Sabah.
LIKAS, 31 Mac 2019 – Kejohanan Mendaki Peringkat Negeri Sabah 2019 telah diadakan pada 30 dan 31 APRIL 2019 bertempat di Sabah Indoor Climbing Centre, Kompleks Sukan Likas.
Kejohanan terbagi kepada dua acara iaitu Speed Climbing dan Boulder Climbing untuk lelaki dan wanita. Kejohanan ini diadakan dengan kerjasama Persatuan Mendaki Negeri Sabah dan Kelab Mendaki Kampung Muhibbah. Pemenang bagi setiap kategori akan mewakili Negeri Sabah ke Kejohanan Mendaki Kebangsaan dijangka diadakan pada bulan Oktober 2019 akan datang.
Sukan mendaki merupakan salah satu aktiviti sukan rekreasi yang masih mempunyai peminatnya tersendiri dan digemari oleh semua lapisan masyarakat peringkat akar umbi. Ianya bukan sahaja untuk tujuan riadah dan santai malahan penggemar sukan ini menjadikan aktiviti mendaki sebagai satu kerjaya melalui penyertaan dalam pelbagai pertandingan sama ada di dalam dan luar negara.
Majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut telah disampaikan oleh Encik R.Effendi Bin Razali, Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (P)Negeri Sabah.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262