KOTA KINABALU, 2 Oktober 2019 - I Systems Colleges Kota Kinabalu menyambut baik program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) apabila 15 orang pelajar mereka bersama 5 orang pensyarah mengikuti taklimat program ARPRM di kolej mereka hari ini.
Taklimat ARPRM yang telah disampaikan oleh Pegawai Unit Pembangunan Rakan Muda Bahagian Pantai Barat, Encik Andy Suhardy Sharbini bertujuan untuk mewujudkan peserta ARPRM baharu di kolej tersebut.
Turut hadir dan berkongsi pengalaman mengenai program tersebut, Mentor ARPRM Bahagian Pantai Barat dari Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu, Cik Nur Fadillah Mohamad.
KOTA KINABALU, 2 Oktober 2019 - Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan Sabah telah mengadakan ceramah kecergasan dan senamrobik sempena Bulan Sukan Negara 2019 bertempat di Perkarangan Wisma Pertanian Sabah hari ini.
Program kecergasan anjuran kementerian tersebut merupakan program yang digerakkan bersama Jabatan Belia dan Sukan (P) Sabah dan Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat selaras dengan saranan Menteri Belia dan Sukan Malaysia dalam membudayakan dan memupuk semangat kesukanan di kalangan pegawai dan kakitangan Kementerian Pertanian Sabah merealisasikan negara bersukan.
Terdahulu, Encik P. Poniah dari Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah menyampaikan ceramah kecergasan kepada 200 orang pegawai dan kakitangan kementerian tersebut.
Turut bersama dalam majlis tersebut, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, YB. Dr. Daud Yusof dan Encik Jius Gokin mewakili Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat.
TAWAU, 1 Oktober 2019 – Seluruh warga Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau mengalu-alukan kehadiran Encik Mohd Ali Bin Sari, Penolong Pegawai Belia dan Sukan yang baharu berkuatkuasa 1 Oktober 2019.
Kehadiran beliau disambut secara sederhana dalam majlis suai kenal pada pagi ini bersama seluruh kakitangan dan disusuli dengan jamuan ringkas sarapan pagi. Beliau seterusnya mengambil peluang meninjau dan melawat ke setiap Unit di Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau.
Encik Mohd Ali Bin Sari sebelum ini bertugas di Pejabat Pesuruhjaya Sukan Negeri Sabah dan telah berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia selama 17 tahun. Beliau merupakan seorang pegawai yang berpengalaman dalam pengurusan belia dan sukan.
Semoga Encik Mohd Ali dapat memberi memberi tunjuk ajar dan sumbangan yang berterusan dalam meneruskan kejayaan dan kecemerlangan PBSP Tawau khususnya dalam pelaksanaan program-program belia dan sukan. Tahniah dan syabas diucapkan.
SANDAKAN, 26 September 2019 - Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Sandakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Bulan Sukan Negara 2019 Peringkat Bahagian Sandakan pada pukul 9.00 pagi bertempat di Dewan Persidangan Libaran, Majlis Perbandaran Sandakan.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Majlis Perbandaran Sandakan Encik Johny Ronggitom. Taklimat Bulan Sukan Negara disampaikan oleh Puan Munirawaty Binti Undang, Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Sandakan.
Dalam mesyuarat ini, mesyuarat telah bersetuju dalam melantik Jawatankuasa Kecil yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan sekaligus mendapatkan maklumbalas daripada jawatankuasa tersebut.
Aturcara Majlis Perasmian Sambutan juga dibincangkan dalam mesyuarat tersebut yang melibatkan banyak aktiviti sukan yang akan berlangsung pada 27 Oktober 2019. Fun Run 5km merupakan acara utama sempena dengan Sambutan Bulan Sukan Negara 2019 Bahagian Sandakan. Mesyuarat berakhir pada pukul 11.00 pagi dan ditangguhkan pada tarikh yang akan datang.
TAWAU, 26 September 2019 – Satu taklimat dan perbincangan pengisian aktiviti sukan dan rekreasi sepanjang bulan oktober telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Tawau semalam. Perbincangan telah diketuai oleh Encik Syivero Patrick, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Tawau dan dihadiri oleh pengerusi-pengerusi persatuan dan kelab yang terlibat.
Bulan Oktober telah diisytiharkan oleh Menteri Belia dan Sukan sebagai Bulan Sukan Negara, oleh itu pelbagai acara dan aktiviti akan dijalankan sepanjang program berkenaan. Antara aktiviti yang dicadangkan dilaksanakan di bahagian Tawau ialah Pertandingan Bola Sepak 9 Sebelah, Pertandingan Tarik Tali, E-Sport, Pertandingan Beyblade, Pertandingan Tamiya dan sebagainya.
Pihak penganjur program juga telah mengenal pasti beberapa tempat pelaksanaan yang sesuai dengan kumpulan sasar yang telah ditetapkan oleh Kementerian. Antara tempat tersebut ialah Kompleks Sukan Tawau, SMK Balung Tawau, Padang Bola Sepak Kampung Kuala Apas dan Eastern Plaza. Enam buah NGO’S iaitu Persatuan Peduli dan Prihatin Rakyat Sabah (PERASA), Persatuan Tarik Tali Daerah Tawau, Persatuan Sukan Kecergasan Tawau, Balung Cycling Team (B2C), Kelab Belia Kampung Kuala Apas dan Tawau Gamers Community (TGC) akan memberikan kerjasama dalam pelaksanaan BSN di tempat-tempat yang ditetapkan.
TAWAU, 25 September 2019 – Bulan Sukan Negara (BSN) bahagian Tawau dijangka akan menghangatkan kalendar sukan di bahagian Tawau pada Oktober ini.
Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau akan melaksanakan Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Bahagian Tawau 2019 di SMK Balung dengan sasaran penyertaan seramai 5000 orang. Terdapat 4 aktiviti utama dalam pelancaran BSN iaitu Fun Run 5KM, Fun Walk 2KM, XOC Ride 16KM dan senam robik disamping pelbagai acara sampingan untuk orang ramai.
Bulan Sukan Negara yang dahulunya dikenali sebagai Hari Sukan Negara telah ditambah baik dengan pelaksanaan secara berterusan sepanjang bulan oktober menggunakan konsep yang lebih mudah dan menarik orang ramai. Ianya adalah satu agenda Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dengan mendorong mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan, kecergasan dan rekreasi.
Bagi menjamin kelancaran perlaksanaan BSN bahagian Tawau ini, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Teratai, SMK Balung. Beberapa agensi kerajaan yang terbabit telah dilantik sebagai penganjur bersama dalam perlaksanaan Pelancaran Bulan Sukan Negara ini. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Encik Madnoor, Pengetua SMK Balung.
TAMBUNAN, 25 September 2019 - Satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Program Bulan Sukan Negara Peringkat Pedalaman Atas Tambunan 2019 telah diadakan hari ini bertempat di Bilik Mesyuarat Trusmadi, Pejabat Daerah Tambunan.
Daerah Tambunan telah dipilih sebagai “Tuan Rumah” dalam pelaksanaan Program Bulan Sukan Negara Peringkat Pedalaman Atas 2019. Program ini akan dilaksanakan pada 26 Oktober 2019 dengan pelbagai jenis aktiviti sukan yang akan dijalankan di Pisompuruan Square Tambunan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Encik Jumain Abdul Ghani, Pegawai Daerah Tambunan. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Encik Ryandie Angsukup, Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Keningau, Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri & Persekutuan Daerah keningau serta Persatuan Sukan dan Kelab Belia Daerah Tambunan.
KENINGAU, 25 September 2019 - Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Keningau, Encik Ryandie Angsukup dalam kunjungan menziarahi Puan Norhuzaineh Ramli yang merupakan pembantu tadbir di Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Keningau.
Baru-baru ini awal September 2019 Puan Norhuzaineh, telah selamat melahirkan cahaya mata perempuan iaitu anak ketiga beliau. Dalam ziarah tesebut memberikan khabar baik kepada kunjungan bahawa melihat beliau semakin sihat dan bersama dengan keluarganya.
Turut hadir Encik Sofian Samad, Pembantu Belia dan Sukan (P) Bahagian Keningau dan Puan Betterya Binti Ahubol, Pengerusi Persatuan Belia Kg. Biah Skim, Keningau.
TAWAU, 25 SEPT 2019 - Program Inspirasi Anak Muda atau I Am sedang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara Tawau bermula September hingga Oktober 2019.
Bermula pada 24 september 2019 yang lalu satu sesi ujian psikometrik Gaya Hidup Sihat melibatkan seramai 15 orang peserta telah dijalankan yang juga merupakan pelajar di sekolah berkenaan.
Sebelum Ujian, para peserta telah mempelajari aktiviti Gaya Hidup Sihat yang merupakan Sesi Pertama dalam modul Program I Am. Dalam sesi tersebut Puan Mazlina Maming, Fasilitator Program I Am Tawau telah membimbing para peserta untuk membincangkan tentang aktiviti yang merupakan sebahagian dari kehidupan harian termasuklah aktiviti sihat dan pemakanan sihat.
Program anjuran Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Tawau secara keseluruhannya bertujuan untuk mengasah bakat dan membangunkan potensi positif anak muda dan menyediakan peluang kepada anak muda untuk mengembangkan bakat dan kerjaya mereka. Selain itu, dapat membimbing anak muda agar tidak terjebak dalam gejala sosial dan jenayah.
Turut membantu dalam sesi berkenaan ialah Cikgu Asmah, guru kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara Tawau.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262