TAWAU, 7 Mac 2021 - Program sanitasi Awam MRA Sabah terus digerakkan oleh Sahabat Sukarelawan MRA Sabah (Tawau) bertempat di Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh Tawau, Sabah hari ini.
Saudara Alex Dennis,Setiausaha Kerja MRA Sabah (Tawau) berkata, program sanitasi awam ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan untuk membantu rumah anak yatim dalam proses pembersihan nyah kuman dan virus didalam kawasan bangunan tersebut. Selain melakukan proses sanitasi tersebut turut disampaikan sumbangan berbentuk pelitup muka dan cecair sanitizer.
MRA Sabah (Tawau) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang dan semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau menyanjung tinggi usaha murni yang telah dilakukan, semoga Team Sukarelawan beroleh rahmat kebaikan.
TUARAN, 7 Mac 2021 - BSMM daerah Tuaran dengan kerjasama KBSS Bahagian Pantai Barat Selatan, Majlis Belia Sabah, Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah, Unit Tabung Darah Hospital Tuaran, Yu Huang Temple Tuaran dan Ling San Temple Tuaran telah menganjurkan kempen menderma darah hari ini di Bangunan BSMM Daerah Tuaran.
Program derma darah tersebut telah disempurnakan oleh YABhg. Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag isteri kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Turut hadir mengiringi YABhg. DSP Hajah Julia, YBhg Datin Malianah Ugau, Isteri Menteri Pembangunan Luar Bandar dan YBhg. Datin Lucy Irene Yong, Isteri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Selain itu, YB Datuk Jahid Jahim selaku Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Malaysia daerah Tuaran dan Dr. G Mohan A/ L Gopal Naidoo, Pengarah Hospital Tuaran turut hadir bagi menjayakan program kempen derma darah tersebut.
Selain meninjau program tersebut, YABhg. Datin Seri Panglima Hajah Julia turut bersama-sama menderma darah untuk memberi sokongan sepanjang program tersebut.
Setiausaha Kehormat BSMM daerah Tuaran merangkap Naib Presiden Majlis Belia Sabah, Kevin Lo berkata, seramai 28 orang telah mendaftar sebagai penderma tetapi hanya 11 orang sahaja yang layak dengan jumlah 11 pints darah terkumpul meliputi darah jenis O, A, B dab AB.
TAWAU, 7 Mac 2021 - Youth Care Sabah bersama Kelab Belia GREAT Tawau akan menganjurkan program Earth Hour Virtual Spotlight 2021, menyeru semua pihak agar dapat bersama membantu bagi membeli anak pokok untuk ditanam di sekolah terpilih sekitar Tawau.
Saudara Mohd Syahnidzam Ahmad, Pengerusi Kelab Belia GREAT Tawau mewakili penganjur bersama berkata, pihaknya sangat berbesar hati serta mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak agensi, orang persendirian khususnya masyarakat penyayang diluar sana, bersama membantu menjayakan misi Earth Hour Virtual Spotlight kali ini, sumbangan boleh disalurkan ke akaun: 564221647817(MAYBANK) (Pertubuhan Pendidikan Kesedaran Dan Minda Prihatin Malaysia) ? Recipient Reference: Anak Pokok
TAWAU, 7 Mac 2021 - Malam ini genap 13 tahun ayah salah seorang sukarelawan kami meninggal dunia. Bagi memperingati tarikh tersebut mereka sekeluarga telah mengadakan kenduri bacaan doa selamat dan menyediakan makan malam kepada golongan yang susah dan terpinggir. Bersamalah kita doakan pada arwah dan keluarganya agar terus dirahmati ilahi
Alhamdulillah para penerima begitu gembira dengan rezeki yang mereka dapatkan pada malam ini. Dapatlah mereka berjimat untuk kos makan malam. Di perkampungan ini kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai buruh kasar. Ada yang menjadikan tong-tong sampah di sekitar bandar Tawau sebagai punca rezeki mereka dengan mengumpul botol mineral dan kotak terbuang untuk dijual kepada peraih kitar semula.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau mendoakan semoga penyumbang dan penerima rezeki makan malam diberkati dan dirahmati ilahi.
TAWAU, 7 Mac 2021 - Alhamdulillah hari ini masih diberi ruang dan peluang untuk menyalurkan rezeki kepada golongan asnaf di bawah seliaan PERKALAS. Salah seorang daripada asnaf ini datang sendiri ke HQ kami untuk mengambil keperluan barangan dapur yang diperlukannya. Beliau seorang warga emas yang lebih selesa datang setiap bulan kepada kami memandangkan rumahnya sangat dekat dengan HQ PERKALAS.
PERKALAS berkata, selebihnya agihan dibuat oleh Ustaz Faizal bersama isterinya ke rumah masing-masing lokasi asnaf. Rasa syukur masih Allah pilih kami berkongsi rezeki dan mengatur amanah daripada para sahabat sekalian. In sya Allah ada waktu terluang akan menyambung agihan bantuan untuk bulan Mac. Doakan agar Allah permudahkan urusan agihan ini.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau menyanjung tinggi usaha murni yang dilakukan, semoga kita semua beroleh rahmat dan kebaikan.
SEMPORNA, 7 Mac 2021 - Alhamdulillah hari ini keluarga kecil abang Juniy telah berpindah ke "pondok syurga" yang kita sama-sama bina sejak beberapa hari yang lalu. Mungkin tidak seindah yang kita impikan namun cukup bermakna untuk keluarga abang Juniy. Ditempat sekecil ini mereka dapat berlindung dari hujan, panas dan membina kehidupan privacynya.
Team PERKALAS akan mengusahakan secepat mungkin membeli peralatan memasak dan membekalkan barang makanan asas sebagai bantuan khas untuk keluarga kecil abang Juniy memulakan hidup baru di tempat yang baru. Mohon doa semua keluarga besar PERKALAS untuk kesejahteraan hidup Abang Juniy sekeluarga. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat sehingga "pondok syurga" ini berjaya disiapkan.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau merakamkan penghargaan syabas dan tahniah serta menghargai jasa bakti yang dihulurkan hingga terbina dengan jayanya. Semoga semua yang terlibat akan diberikan ganjaran pahala kebaikan olehNya.
KOTA KINABALU, 6 Mac 2021 - Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu (PBIK), MyCorps Alumni dan Sukarelawan Kota Kinabalu telah melaksanakan program ' Peranan Belia Mendepani Masyarakat Yang Memerlukan' di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya hari ini.
Program tersebut dihadiri oleh 12 orang sukarelawan dan 2 orang Team Media daripada RTM Sabah.
Menurut kenyataan Timbalan Pengerusi Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu (PBIK), Nur Fadilah Mohamad, program tersebut merupakan satu inisiatif untuk membantu komuniti di Pulau Gaya disamping mengkomersialkan aktiviti kemasyarakatan kepada para belia agar para belia terus cakna mendepani masyarakat yang memerlukan bantuan disaat kesusahan.
"Kita juga menyerahkan 10 buah Alquran sumbangan daripada NGO Amanah Hawi AlKhairat- HAK Sabah yang telah disampaikan kepada Ketua Kampung Lok Urai bagi kegunaan pihak Surau. Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu juga telah menyumbangkan peralatan pembersihan untuk kegunaan Surau. Semoga program ini terus mendapat sokongan yang kuat daripada pihak Jabatan". Jelas Fadilah.
Sementara itu, Exco CSR MyCorps Alumni, Ety Hayati Rahman berkata program tersebut adalah yang kedua dianjurkan atas kapasiti Team MyCorps Alumni Sabahan yang mana program yang sama buat julung kali menampilkan penglibatan Team MyCorps di Sabah adalah melalui Program Pasca Banjir di Kota Belud pada Februari lalu.
"Program ini adalah sebagai satu inisiatif Sukarelawan MyCorps untuk menggerakkan program ini bagi membantu golongan yang terjejas dengan Bencana Banjir. Kita juga mahu mengkomersialkan program MyCorps di Negeri Sabah melalui pelaksanaan program di bawah MyCorps Alumni". Ujar Ety.
Bagi Sukarelawan MyCorps Alumni, Fazlan Thomas pula berkata, usaha mereka itu tidaklah besar namun dengan inisiatif tersebut mereka dapat dapat membantu dan meringankan beban mereka. "Sebagai tambahan aktiviti sukarelawan seperti ini adalah baik untuk diteruskan terutama kepada golongan belia agar semangat kesukarelawanan dapat terus dipupuk dan diterapkan dalam sanubari belia". Kata Fazlan.
TUARAN, 6 Mac 2021 - Program "Sulaman Peduli, Dekat Di Hati", Penyerahan Sumbangan Telefon Pintar Untuk Murid- Murid Terpilih Sekolah-Sekolah Sekitar DUN Sulaman Tuaran telah berlangsung di Dewan Datuk Patrick Jilan, Selupoh hari ini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah dengan kehadiran guru-guru besar mewakili sekolah masing-masing menerima sumbangan telefon pintar tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut, YB. Jasnih Daya, Pembantu Menteri Kepada Menteri Kewangan merangkap ADUN Dalit, Dr. Rafiq Idris, Presiden Alumni International Islamic Universiti Malaysia, En. Sadan Hj Hussain, Pegawai Daerah Tuaran, Puan Hajjah Wanihim Othman, ASP Micheal Gabriel, wakil Ketua Polis Tuaran, En. Johari Saiman Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Ketua Menteri Sabah dan Ketua-Ketua Jabatan daerah Tuaran. Encik Hamzah Md. Tahir hadir mewakili Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat.
TAWAU, 6 Mac 2021 - Team Sukarelawan PERKALAS telah berkesempatan menyantuni dan menziarahi anak-anak makcik Mona 24 orang serta gelandangan sekitar Tawau hari ini.
PERKALAS berkata, budaya kita dalam berkongsi rezeki itu suda sangat baik. Namun akan lebih indah jika disulam dengan adab dalam melaksanakannya mengikut posisi masing-masing. Kami sangat menghargai usaha Cikgu Sabrin dalam berkongsi rezeki. Serahan daging kambing yang telah dipisahkan dari tulang dan daging serta telah dibersihkan. Sangat memudahkan pengurusan ditambahkan lagi dengan memberikan kos segala bahan-bahan masakan. Satu tauladan indah yang perlu dicontohi.
Ujarnya lagi, bagi kami pula amanah sebegini perlu diurus secepatnya, masak dengan mengambil kira golongan sasar dan terpenting menjaga harga diri penerima. Dalam kita membantu, harga diri penerima itu adalah yang teratas. Mungkin ramai yang tidak menyedari hal ini. Tutuplah wajah-wajah mereka dengan "mengaburi". Cuba bayangkan jika kita ditempat mereka. Sekali lagi "adab" itu dikedepankan.
Postur badan dalam berkongsi rezeki juga merupakan adab yang terkadang kita terlepas pandang. Jika golongan sasar itu baring atau duduk, sebaiknya kita duduk bersama mereka dalam menyampaikan amanah dan berikanlah menggunakan tangan kanan. Semua ini nampak biasa tapi sebenarnya kita mendidik hati untuk sentiasa menghormati sesama manusia tanpa mengira statusnya. Katanya.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau menyanjung tinggi usaha murni yang dilakukan ini, Semoga dengan menyantuni ziarah bakti masyarakat ini, menjadikan kita untuk memberikan yang terbaik, begitulah juga Allah melihatnya. ADAB jauh lebih hebat berbanding segalanya. Penghargaan jutaan terima kasih Cikgu Sabrin sekeluarga serta semua pihak yang terlibat menjayakan program ini.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262