KOTA KINABALU, 9 Mac 2021 - Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat telah melaksanakan jejak usahawan belia sekitar Kota Kinabalu hari ini.
Jejak usahawan tersebut diketuai oleh Encik Hamzah Md. Tahir, Unit Pembangunan Belia, Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat tertumpu di Austral Park, Kota Kinabalu dan Beauty Garden, Jalan Tuaran bertujuan untuk mengemaskinikan data usahawan belia yang pernah mendapatkan kemudahan pinjaman di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
KOTA KINABALU, 9 Mac 2021 - Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat menerima kunjungan santai oleh AJK Kelab Belia Penampang Proper hari ini.
Kelab Belia Penampang Proper yang diwakili oleh Saudara Jack antara lain mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai program-program yang boleh dilaksanakan di daerah Penampang khususnya melalui unit pembangunan belia, sukan dan rakan muda.
Perbincangan santai tersebut turut melibatkan Pegawai Unit Sukan Bahagian Pantai Barat, Puan Norhayati Tasif, Pegawai Unit Rakan Muda Bahagian Pantai Barat, Encik Andy Suhardy Sarbini dan Pegawai Unit Belia Bahagian Pantai Barat, Encik Hamzah Md. Tahir.
TAWAU, 9 Mac 2021 - MRA Sabah (Tawau) telah berkesempatan menyantuni serta menyampaikan sumbangan berbentuk kelengkapan pelindung diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Tawau hari ini.
Saudara Alex Dennis, Setiausaha Kerja MRA Sabah (Tawau) berkata, diharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu pihak klinik dalam memastikan kesihatan dan keselamatan diri para petugas kesihatan, Klinik Kesihatan Tawau diutamakan serta bersama mengekang berlakunya penularan wabak Covid-19.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau menyanjung tinggi usaha murni MRA Sabah (Tawau) lakukan dan semoga beroleh rahmat kebaikan.
TAWAU, 9 Mac 2021 - MRA Sabah (Tawau) telah berkesempatan menyantuni serta menyampaikan sumbangan berbentuk alat perlindungan muka untuk kegunaan pelajar di Kolej Komuniti Tawau hari ini.
Saudara Alex Dennis, Setiausaha Kerja MRA Sabah (Tawau) berkata, diharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu pihak kolej khususnya pelajar dalam memastikan kesihatan dan keselamatan diri diutamakan serta bersama membendung berlakunya penularan wabak Covid-19.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau merakamkan syabas dan tahniah serta menyambut baik usaha murni yang dilakukan ini.
RANAU, 8 Mac 2021 - Pengerusi Kelab Belia Kg. Meridi, Ranau, Mohd Fadzwan Bin Ali telah membuat kunjungan hormat kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat N.36 Kundasang, Encik Dounis di Pejabat Parti Bersatu Sabah, Ranau hari ini.
Menurut Fadzwan, Kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk menerangkan dan menjelaskan hala tuju Kelab Belia Kampung Meridi, Ranau dan berkongsi program/aktiviti yang telah dilaksanakan oleh kelab sepanjang tahun 2019 dan 2020.
"Terima kasih kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat atas sokongan, dorongan dan nasihat yang diberikan. Banyak perkara yang telah dikongsikan untuk pembangunan belia. Terima kasih juga kepada staff UPPM N.36 Kundasang atas layanan yang diberikan sepanjang kunjungan hormat ini diadakan". Ujar Fadzwan.
"Semoga kunjungan hormat ini mampu mengeratkan lagi hubungan diantara UPPM N.36 Kundasang dengan Kelab Belia Kampung Meridi seterusnya dapat merancang dan melaksanakan program yang bermanfaat untuk belia di daerah Ranau". Kata Fadzwan.
Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat mengucapkan syabas dan tahniah atas inisiatif ini. Semoga perancangan dua hala pihak dapat direalisasikan demi pembangunan belia-belia akar umbi di Ranau.
TAWAU, 8 Mac 2021 - Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau merakamkan sekalung penghargaan dan syabas tahniah diucapkan kepada Saudara Mohammad Fauzi Bin Acho, Exco Hubungan Luar Kelab Belia GREAT Tawau atas kejayaan beliau terpilih sebagai Felo Parlimen Malaysia (Cohort 2021).
Saudara Mohd Syahnidzam Ahmad, Pengerusi Kelab Belia GREAT Tawau serta Jawatanuasa Pimpinan Kelab berasa berbangga mempunyai satu figura terbaik untuk membantu pembangunan modal insan negara dan menjadi salah seorang aktivis aktif dalam kebajikan khususnya kawasan Tawau dengan sumbangan beliau kepada GREAT.
Ujarnya lagi, adalah menjadi harapan semoga kejayaan ini menjadi titik tolak dan suntikan semangat kepada belia akar umbi di Negeri Sabah khususnya di Bahagian Tawau untuk terus gigih berbakti kepada masyarakat dan legasi Kepimpinan Negara akan datang. InshaAllah
TAWAU, 8 Mac 2021 - Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah melalui Pejabat Belia dan Persekutuan Bahagian Tawau, mempelawa sahabat-sahabat Belia Anak Muda seluruh Bahagian Tawau bagi menyahut cabaran menyertai Pencalonan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021, 3 Kategori dipertandingkan iaitu Kategori Perdana PERTUBUHAN BELIA, Kategori Individu / PEMIMPIN LELAKI dan Kategori Individu/ PEMIMPIN WANITA.
Encik Mohd Ali Abdul Sari, Pegawai Unit Belia, PBSB Tawau berkata, untuk kategori Pertubuhan Belia, Persatuan atau Kelab mestilah berdaftar di Pejabat Pedaftar Pertubuhan Belia (ROY) perlu menyediakan laporan tahunan tiga (3) tahun terakhir termasuk tahun yang dinilai iaitu 2018,2019 & 2020.
Manakala bagi kategori Individu Lelaki dan Wanita, terbuka kepada semua belia (keutamaan individu menganggotai persatuan belia), berumur 15 hingga 40 tahun pada tahun 2021, resume calon dan video dengan durasi 5 minit mengenai caloñ perlu disediakan.
Ujarnya lagi, Borang Penyertaan boleh dimuat turun daripada laman web www.kbs.gov.my, dokumen pencalonan yang telah lengkap hendaklah dihantar Ke Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Tawau sebelum atau pada 15 Mac 2021, maklumat lanjut boleh hubungi Unit Belia, PBSB Tawau ditalian 089-776680 pada waktu pejabat.
TAWAU, 8 Mac 2021 - Alhamdulillah GREAT telah berjaya mencapai sasaran Misi Babybox 3.0 dengan kutipan RM5,010.00 serta merakamkan sekalung penghargaan jutaan terima kasih para penyumbang dermawan.
Saudara Mohd Syahnidzam Ahmad, Pengerusi Kelab Belia GREAT Tawau berkata,misi babybox 3.0 diagihkan kepada 2 fasa penyerahan. Semasa Agihan Fasa 1 pada 27 dan 28 Februari, seramai 36 bayi daripada 27 keluarga menerima manfaat.
Manakala, semasa Agihan Fasa 2 pada 5 dan 6 Mac, seramai 20 bayi daripada 15 keluarga mendapat manfaat sebaiknya.
Ujarnya lagi, Pihak GREAT Tawau amat berbesar hati dengan sumbangan dan penyertaan anda masyarakat prihatin diluar sana dalam Misi Babybox 3.0 ini dan kami terus komited untuk melaksanakan kepercayaan anda semua terhadap kami.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau mengucapkan syabas dan tahniah serta menyanjung tinggi usaha murni dengan gerak kerja yang sangat membanggakan, semoga Team GREAT beroleh rahmat dan kebaikan olehNya.
TAWAU, 8 Mac 2021 - PBSB Tawau dan Kelab Rakan Muda Tawau akan melaksanakan Pengenalan Asas Tanaman Hidroponik melalui Program Wira Mahir Rakan Muda Peringkat Bahagian Tawau yang akan berlangsung pada 20 & 21 Mac 2021 bertempat di Rumah Anak Yatim Ar-Raudhoh Tawau, Sabah.
Program dianjurkan bersama oleh Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau serta Kelab Rakan Muda Tawau bersama rakan program MRA Sabah (Tawau).
Encik Khazaruddin Kahar, Pegawai Unit Rakan Muda, PBSB Tawau berkata, tujuan program ini diadakan adalah bagi memberikan ilmu pengetahuan kepada ahli kelab Rakan Muda bagaimana menjana pendapatan sendiri seterusnya membantu kewangan Kelab agar tidak bergantung sepenuhnya kepada pihak Kerajaan terutamanya dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. Penyertaan terhad 25 orang peserta sahaja dan tiada sebarang yuran dikenakan serta makan minum disediakan oleh pihak Penganjur.
Justeru itu Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau mengajak Ahli-ahli Rakan Muda Tawau agar dapat mengambil peluang kemahiran sebegini dan ianya perlu dipelajari dan difahami dengan sebaiknya. Maklumat lanjut dan pengesahan penyertaan sila hubungi Unit Rakan Muda: 089-776680 (O) Encik Alex Dennis: 016-8610195
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262