SEMPORNA, 3 Mac 2021 - Alhadulillah sebahagiaan atap zink, lantai dan dinding telah berjaya disiapkan hari ini. Kerja-kerja pertukangan dilakukan secara bergotong royong antara Abang Juniy dan sukarelawan PERKALAS.
PERKALAS berkata, InshaAllah jika ada rezeki untuk membeli bahan asas yang lain, kerja- kerja pembinaan akan disambung semula.
Setakat ini setengah keluasan sebenar pondok syurga ini telah dibina. Doakan kemurahan rezeki Abang Juniy agar dalam masa terdekat dia dan keluarga kecilnya dapat pindah ke pondok ini.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau mengajak masyarakat prihatin dan penyayang diluar sana agar dapat kita bersama membantu serta mendokan semoga kerja-kerja pembinaan ini semuanya dipermudahkan berjalan dengan baik dan sempurna.
TAWAU, 2 Mac 2021 - Satu mesyuarat telah berlangsung di Dewan Gaharu Pejabat Perhutanan Daerah Tawau yang dipengerusikan oleh En. Mohd. Arapa Lamuda selaku Pegawai Perhutanan Daerah (DFO) Tawau.
Turut hadir penolong beliau Puan Norhaida Sinar dan Encik Mohd. Freezailah Tarmiji selaku Pegawai Pengurusan Hutan Lestari (SFM) berserta Team ibu pejabat Jabatan Perhutanan Sabah di Sandakan.
Pejabat DUN Tanjung Batu, Encik Saharuddin Salleh (PPM) dan Tuan Hj. Muhamad Akui (JPKK) hadir mewakili YB Andi Muhammad Suryady Hj. Bandy bagi membincangkan gerak kerja yang akan dilaksanakan untuk memenuhi objektif kajian tersebut.
Hutan Simpan Kukusan (Kelas II) berkeluasan 66 hektar adalah terletak dalam DUN Tanjung Batu dan terdapat sebuah kuari batu di sempadan atasnya, manakala penempatan penduduk di sebelah bawahnya. Oleh yang demikian, kajian ini amat penting untuk dijalankan bagi mengetahui keadaan sosio-ekonomi penduduk yang tinggal di persekitaran dan di dalam kawasan Hutan Simpan Kukusan. Data yang akan diperolehi hasil kajian ini nanti akan membantu pihak kerajaan Negeri Sabah untuk merangka plan pengurusan hutan bagi Hutan Simpan ini.
Kajian yang sama sudahpun dilaksanakan pada penghujung Ogos 2020 yang lalu untuk kawasan penempatan Bukit Kukusan yang berpusat di Masjid Jabal Nur. Gerak kerja tersebut yang seharusnya diteruskan ke penempatan Vietnam terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19 dengan penguatkuasaan PKP pada waktu itu.
En. Arapa selaku DFO, amat mengharapkan kajian ini dapat diselesaikan mengikut jadual yang dirancangkan dan mencapai objektifnya. Beliau menzahirkan penghargaan terima kasih di atas kesudian pihak YB Tuan Andi yang membantu dari segi logistik seperti kerusi, meja dan khemah untuk memudahkan sesi temuramah kajian tersebut dijalankan. Sementara itu, seorang penduduk En. Amidi secara sukarela telah menawarkan perkarangannya digunakan sebagai pusat gerak kerja yang akan berlangsung selama empat (4) hari, bermula 3 - 6 Mac 2021.
YB Tuan Andi melalui maklumbalas dalam talian ketika dihubungi menyeru kepada masyarakat yang tinggal di penempatan Vietnam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat yang diperlukan kepada Team SFM agar pihak kerajaan dapat merangka plan bagi membantu masyarakat setempat pada masa hadapan. Komitmen ini adalah selari dengan plan yang sedang diusahakan kerajaan hari ini iaitu Plan Sabah Maju Jaya.
SEMPORNA, 2 Mac 2021 - Alhamdulillah petang ini sukarelawan PERKALAS telah berkesempatan membeli beberapa bahan asas untuk pembinaan Pondok Syurga abang Juniy hari ini.
PERKALAS berkata, selain itu sempat juga berbagi rezeki dengan menggunakan perkhidmatan para buruh kereta sorong untuk mengangkut bahan binaan.
Ujarnya lagi, Sukarelawan juga sempat membawa anak Abang Juniy yang bongsu untuk menerima rawatan mata anaknya yang membengkak setelah seminggu. Abang Juniy mengaku tidak mampu untuk menanggung kos rawatan anaknya kerana ketiadaan wang. InshaAllah jika tiada aral melintang minggu ini akan memulakan proses kerja-kerja pertukangan pembinaan pondok syurga untuk abang Juniy.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau mendoakan semoga gerak kerja dan usaha ini dipermudahkan dan diberkati olehNya.
TAWAU, 2 Mac 2021 - Team Sahabat PERKALAS telah berkesempatan, menyantuni serta mengagihkan bantuan kepada beberapa keluarga sekitar Tawau hari ini.
PERKALAS berkata, Alhamdulillah rasa lega apabila amanah sebegini dapat dilaksanakan daripada sahabat-sahabat PERKALAS dan penyumbang.Semoga asbab kepedulian kebaikan kita semua rahmat Allah sentiasa bersama di setiap sisa langkah kita di dunia ini.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau menyanjung tinggi dan menghargai serta mengucapkan syabas tahniah buat PERKALAS atas keprihatinan dan ambil peduli sesama insan yang sangat memerlukan.
KOTA KINABALU, 2 Mac 2021 - Satu sesi Taklimat Khusus Untuk Sukarelawan Gelembung Sukan RM-SBV Sesi 1 telah diadakan hari ini.
Sesi taklimat yang dikendalikan secara atas talian menggunakan aplikasi Zoom Meeting tersebut disampaikan oleh Encik Mohamad Shukeri Drahman, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bertujuan memberi penerangan terperinci peranan dan tugas Sukarelawan Rakan Muda - Sports Bubble Volunteer Sesi 1 seluruh negara dalam melaksanakan tugasan pemantauan premis sukan, penganjuran acara sukan dan pematuhan SOP sektor Sukan dan Rekreasi.
Tiga orang sukarelawan RM-SBV sesi 1 Bahagian Pantai Barat yang terpilih, Encik Kevin Lo, Encik Roger Romeo dan Cik Nur Fadilah Mohamad hadir dalam taklimat tersebut sebagai persediaan untuk melaksanakan tugasan pemantauan di Bahagian Pantai Barat.
Hadir sama dalam taklimat tersebut, Cik Metchella Ferynna Metcha, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan (P) Negeri Sabah, Encik Hamzah Md. Tahir dan Encik Andy Suhardy Sarbini, Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Pantai Barat.
TAWAU, 2 Mac 2021 - Sesi Latihan khusus Rakan Muda Sports Bubble Volunteer melalui aplikasi GOOGLE MEET telah diadakan hari ini.
Taklimat di sampaikan oleh Encik Mohammad Shukeri Bin Drahman, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Rakan Muda KBS, bertujuan untuk menerangkan secara lebih terperinci peranan dan tugas Sukarelawan Rakan Muda - Sports Bubble Volunteer dalam melaksanakan tugasan pemantauan penganjuran acara sukan serta pematuhan SOP sektor Sukan dan Rekreasi mengikut lokaliti yang telah dikenalpasti diperingkat Daerah atau Bahagian masing-masing , seramai 230 orang Peserta dari kalangan Sukarelawan termasuk Pegawai telah hadir sepanjang sesi berlangsung petang tadi.
Turut hadir bersama 3 orang wakil Sukarelawan Gelembung Sukan Rakan Muda iaitu Saudara Khairul Anwar Junus ( Daerah Tawau ) , Saudara Muhammad Ridhwan Abdul Razak ( Daerah Lahad Datu ) dan Saudari Nazwatul Nazlaa Binti Hassan Basri ( Daerah Semporna ) serta Encik Zayanidi Bin Abbas, Pegawai Pemantau dan juga Pegawai Unit Sukan, Pejabat Belia dan Sukan (P) Bahagian Tawau.
KENINGAU, 2 Mac 2021 – Tiga wakil sukarelawan Rakan Muda-Sports Bubble Volunteer (RM-SBV) Bahagian Keningau hari ini berjaya mengikuti taklimat khusus atas talian mengenai RM-SBV yang telah disampaikan oleh Encik Mohammad Shukery Drahman, Bahagian Pembangunan Rakan Muda , Jabatan Belia dan Sukan Negara melalui aplikasi Zoom dengan kehadiran 200 peserta yang terdiri dari pegawai belia dan sukan serta sukarelawan RM-SBV seluruh Malaysia.
Cik Connie Mozos, Encik Mohammad Dhihya Sahlan dan Encik Suhaili Laiman merupakan wakil sukarelawan RM-SBV Bahagian Keningau dan antara perintis bagi program sukarelawan dalam pemantauan program penganjuran dan fasiliti sukan. Turut hadir Puan Jovana Juanis, Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Keningau berterima kasih atas komitmen semua sukarelawan dalam mendokong usaha kerajaan mencegah penularan Wabak Covid-19 di kalangan penggiat sukan.
TAWAU, 1 Mac 2021 - Team MRA Sabah (Tawau) telah berkesempatan menyantuni serta menyampaikan sumbangan berbentuk Pelitup Muka Fabrik kepada Pusat Bimbingan Gagasan Harapan Tawau sempena pembukaan sesi persekolahan hari ini.
Saudara Alex Dennis, Setiausaha Kerja MRA Sabah (Tawau) berkata, diharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu pihak sekolah dan ibubapa pelajar dalam memastikan kesihatan dan keselamatan diri diutamakan serta bersama membendung berlakunya penularan wabak Covid-19.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau merakamkan syabas dan tahniah serta menyambut baik usaha murni yang dilakukan ini.
TAWAU, 1 Mac 2021 - MRA Sabah (Tawau) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berkesempatan menyantuni dan menyerahkan bantuan bekalan makanan kepada segelintir masyarakat yang telah dikenalpasti , bertempat di Gereja St Augustine Merotai, Tawau hari ini.
Menurut Saudara Alex Dennis, Setiausaha Kerja MRA Sabah (Tawau), Sumbangan ini diagihkan dalam bentuk makanan kering kepada 30 penduduk Kg Iban yang terpilih serta bertujuan untuk membantu memenuhi keperluan masyarakat yang terjejas ekoran daripada pandemik COVID19.
Ujarnya lagi, program ini diketuai oleh Encik Oliver Lim selaku Pengarah Projek IKSAS: SOLIDARITY FOR CHARITY - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim Perak.
Justeru itu, pihak MRA Sabah menyeru dan mengalu-alukan penglibatan, bantuan dan kerjasama dari pelbagai pihak agensi serta masyarakat prihatin penyayang diluar sana untuk bersama-sama membantu MRA Sabah (Tawau) dalam usaha meluaskan lagi rangkaian bantuan misi kemasyarakatan dan kemanusiaan kepada masyarakat yang sangat terkesan lagi amat memerlukan.
Pejabat Belia dan Sukan Persekutuan Bahagian Tawau sangat-sangat menghargai jasa bakti dan sumbangan yang telah dihulurkan dalam menjayakan misi kemasyarakatan ini.
Kompleks Belia Dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah
Jalan Taman Pasir Putih, Putatan
Mel Beg 81, 88998 Kota Kinabalu Sabah
Tel : 088-765777 / 088-761777 | Fax : 088-765262