
SEMPORNA, 27 Februari 2021 - YB Tuan Andi Muhammad Suryady Hj Bandy, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah telah melakukan lawatan kerja ke Kompleks Sukan Semporna dan Pejabat KBSS Daerah Semporna hari ini.
Kompleks Sukan Semporna yang telah disiapkan pada penghujung 2018 dan terletak 1.5 kilometer dari pusat bandar, belum dapat digunakan dan dibuka kepada awam disebabkan beberapa isu yang belum diselesaikan seperti bekalan air dan kemudahan internet. Pegawainya Encik Hassan Tarasan menjelaskan, kompleks tersebut masih di bawah tanggungjawab pihak kontraktor sehingga syarat-syarat penyerahan aset dipenuhi.
Ujarnya lagi, Kompleks Sukan Semporna memiliki trek larian kelas tiga (3) di samping kemudahan sukan lain seperti lontar cakera, lontar peluru, lari berhalangan dan lompat jauh. Sebuah bangunan yang menempatkan pejabat am, pejabat pegawai, stor, surau dan tandas dibina berdekatan pintu masuk utama. Beberapa cadangan semasa pertemuan ini telah diutarakan kepada YB Pembantu Menteri, khasnya berkenaan keperluan mini astaka dan lampu limpah sebagai pelengkap infrastruktur kompleks tersebut.
Turut hadir Encik Marasun Hassim, Pegawai KBSS Daerah Semporna serta pegawai-pegawai agensi jabatan berkaitan Daerah Semporna.
Oleh:
Zayanidi Bin Abbas
PBSB Tawau
- JBS Sabah
- Hits: 1614



