
TAWAU, 23 Mac 2021 - Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GPBBT) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) kali ke-3 dan pemilihan barisan kepimpinan yang baharu bagi sesi 2021-2023 bertempat di Dewan Sthamin Cafe Tawau pada 14 Mac 2021 yang lalu.
Saudara Khairul Anwar Bin Junus, Setiausaha Agung GPPB Tawau ketika dihubungi unit Media Sosial Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Tawau berkata, Pengerusinya yang baharu, Encik Saharudin Japarudin dalam ucapannya nekad akan membawa suara belia akar umbi terutamanya suara belia di Bahagian Tawau ke peringkat lebih tinggi.
Ujarnya lagi, Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (MPAT GPBBT) Kali ke-3 telah sebulat suara bersetuju menerima semua tuntutan yang diusul oleh belia akar umbi yang diyakini selari dengan dasar kerajaan negeri Sabah. Belia akar umbi menggesa agar YAB Ketua Menteri Sabah dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keperluan-keperluan yang mendesak yang melibatkan belia di bahagian Tawau agar dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini. Usul yang dikenali dengan ' Resolusi Belia Maju Jaya ' telah menyentuh tentang kepentingan hal ehwal NGO belia Sabah, pertumbuhan ekonomi belia , pemerkasaan modal insan melalui pendidikan sains matematik dan teknologi, penglibatan sosialisasi politik, pembangunan sosial dan hubungan antarabangsa. Katanya.
Selain itu, pembahas daripada Semporna, Mohd Shaman Bin Palah telah membangkitkan usul berkaitan penglibatan anak muda dalam menentukan dasar pihak berkuasa tempatan.Dalam usulnya beliau menggesa agar kerajaan negeri dapat memberikan ' kouta kekal ' sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah Ahli Majlis PBT kepada pemimpin NGO Belia agar Pelan Pembangunan Belia Sabah dapat dilaksanakan di setiap daerah.
Usul ini disambut baik dan turut diulas oleh perwakilan yang lain. Tambahan lagi, gabungan berharap jumlah keanggotaan Ahli Majlis PBT perlu ditambah saiz keahliannya sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah sedia ada bagi memastikan permintaan belia akar umbi ini mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.
Usul daripada Persatuan Usahawan Belia Tawau (PUBT) yang dibaca oleh Saudara Saharudin Japarudin juga turut mendapat perhatian perwakilan pada hari ini. Dalam usulnya, usahawan PUBT mendesak pihak berkuasa tempatan Tawau untuk mewujudkan satu bentuk persefahaman baharu antara Bahagian Tawau dan Kalimantan. Sejarah hubungan yang baik dan kerumpunan persaudaraan yang masih kekal antara kedua-dua pihak ini perlu dideklarasikan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Deklarasi Tawau-Kalimantan (Deklarasi TAWAKAL) adalah satu inisiatif belia yang mana sebelum ini pernah wujud antara Persatuan Usahawan Belia Tawau dan Himpunan Pengusaha Muda Indonesia – Kalimantan (HIPMI Kalimantan). Hubungan antarabangsa yang melibatkan ekonomi, sosial dan kepentingan anak muda seperti ini perlu diteruskan. Kerajaan Tempatan perlu menggubal dasar baharu yang lebih mesra kepada kesejahteraan dan ekonomi rakyat dua negara ini. Kita yakin dasar baharu ini mampu merancakkan ekonomi semua ahli BIMPEAGA terutamanya Negeri Sabah dan Provinsi Kalimantan.
Tambahnya lagi, Timbalan Pengerusi GPBB Tawau, Aby Zeehad Abdullah Sani yang merupakan belia daripada Semporna turut berpuas hati dengan komitmen perwakilan dan usul-usul belia akar umbi daripada 5 daerah di bahagian Tawau ini. Beliau yakin kepimpinan dan kebolehan pengerusi baharu saudara Saharudin dapat meneruskan perjuangan belia akar umbi Bahagian Tawau yang mana sebelum ini dipengerusikan oleh YB Andi Muhammad Suryady Bin Bandy yang mana sekarang telah memegang portfolio sebagai pembantu menteri belia dan sukan Sabah.
Kali ini, GPBB Tawau akan bersama Majlis Belia Sabah untuk menghantar sendiri Resolusi Belia Maju Jaya kepada YAB Ketua Menteri untuk menjadi antara input Hala tuju Sabah Maju Jaya (pelan pembangunan 2021-2025).
Oleh:
Zayanidi Bin Abbas
PBSB Tawau
- JBS Sabah
- Hits: 512






