KUANTAN, 26 OGOS 2020 – Bahagian Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang telah menjalankan kerja-kerja Pemantauan Pematuhan Sektor Sukan dan Rekreasi ke beberapa premis yang telah mendaftar dengan MITI. Antara premis yang telah diperiksa adalah NTYY Café, Thor Athletics, Power City Yoga & Dance, Yes Net Café dan Persatuan Taekwondo Daerah Kuantan (GTF). Terdapat premis yang menjalankan operasi dan terdapat juga premis yang masih belum beroperasi. Premis-premis yang telah memulakan operasi didapati telah mematuhi SOP sebagaimana yang telah ditetapkan. Pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan pematuhan yang diarahkan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan bagi mengekang wabak Covid-19. Kita jaga kita!!!
Disediakan oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
ROMPIN (KRMSA), 26 OGOS 2020 – Seramai 26 orang lelaki dan dua orang wanita terdiri daripada anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah melaporkan ke Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) bagi Latihan Amali Taktikal Kursus ‘Flight Operation Management (FOM) Serial 16/20’ bermula pada 24 hingga 27 Ogos 2020. Latihan amali akan menggunakan seluruh kawasan KRMSAR bagi menjalankan pengurusan operasi penerbangan selama empat hari tiga malam. Latihan amali ini dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA) TUDM Kuantan merupakan siri yang ke 16 untuk tahun 2020. Penyelia Latihan, Flight Sarjan Mohammad Shafarizal Shahabudin telah hadir ke pejabat dan memaklumkan serba sedikit berkaitan perjalanan program kepada pihak pengurusan KRMSAR. Puan Siti Alifah Hamzah, wakil Pengurus KRMSAR berbesar hati di atas kesudian pihak TUDM Kuantan memilih KRMSAR sebagai lokasi untuk menjalankan program ini. Beliau mengingatkan agar pihak penganjur program untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan menjaga keselamatan diri masing-masing dari terkena jangkitan kerana negara kita masih lagi dalam usaha memerangi wabak pandemik Covid19.
Disediakan oleh: Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
ROMPIN (KRMSA), 26 OGOS 2020 – Kursus Urutan Terapi Sukan anjuran Muadzam Shah Badminton Club (MSBC) dengan kerjasama MHO Sports System telah diadakan pada 22 Ogos 2020 yang lalu di Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR). Kursus ini telah disertai oleh lapan (8) orang peserta lelaki dan dua (2) orang peserta wanita dari seluruh negeri Pahang. Kebanyakkan peserta merupakan individu aktif sukan dan bertugas dalam bidang sukan seperti jurulatih, pegawai sukan dan guru sukan. Penceramah yang telah dijemput adalah Encik Abdul Muaiz Haji Othman yang berkelulusan Sarjana Sains Sukan (Kepujian), Universiti Malaya. Beliau telah memulakan kursus dengan penerangan teori berkaitan anatomi manusia, jenis-jenis kecederaan, etika dan pengenalan peralatan urutan. Semasa sesi amali, semua peserta dikehendaki melakukan praktikal dikalangan peserta bagi merasai dan mempraktikkan urutan dengan betul melalui teknik-teknik yang telah diajar. Penyelaras kursus, Encik Mohasafra Mohd Sharif yang merupakan Setiausaha MSBC memaklumkan bahawa kursus seperti ini amat penting sebagai pengetahuan tambahan kepada individu aktif sukan, jurulatih, pegawai sukan dan guru sukan yang sentiasa berhadapan dengan risiko kecederaan sendiri, pelatih, pelajar ataupun orang sekeliling. Beliau juga berharap untuk menganjurkan lebih banyak sesi kursus ini di masa akan datang memandangkan ianya mendapat sambutan yang menggalakkan pada kali pertama penganjuran. Namun begitu, untuk kali ini beliau perlu menghadkan penyertaan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid19.
Disediakan oleh: Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
KUANTAN, 26 OGOS 2020 – Hari Belia Negara 2020 Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PERSADA) Johor Bahru pada 15 Ogos 2020 yang lalu. Sambutan ini maklumnya telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin. Pada majlis tersebut, turut berlangsung penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara kepada pemenang mengikut kategori yang telah dipertandingkan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada wakil daripada negeri Pahang Saudara Izzat Afifi Dato’ Abd Hamid dan Saudari Nurliana Muhamad kerana telah menyandang gelaran Johan bagi Kategori Individu Lelaki dan Kategori Individu Wanita. Pemenang berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM20,000.00 setiap seorang berserta trofi dan sijil penghargaan. Ucapan tahniah juga dirakamkan kepada Persatuan MBFM Felda Jengka 19 kerana telah meraih Naib Johan bagi Kategori Pertubuhan Belia dan telah membawa pulang wang sebanyak RM20,000.00 berserta trofi dan sijil penghargaan. Semoga dengan kejayaan ini dapat menyuntik semangat belia-belia di negeri Pahang untuk lebih berjaya dalam pelbagai bidang dan tidak mustahil untuk dinobatkan sebagai Johan Kategori Pertubuhan Belia pada masa akan datang. Tahnian, belia Pahang hebat!!!
Disediakan oleh: Nurul Farida Zu, Bahagian Pembangunan Belia
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
ROMPIN (KRMSA), 25 OGOS 2020 – Ogos adalah bulan yang sinonim dengan bulan kemerdekaan kerana negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun. Sejajar dengan perutusan khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin sempena Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 yang menyeru agar semua kementerian, agensi kerajaan, agensi swasta, premis-premis perniagaan termasuk rumah persendirian bagi menyemarakkan lagi semangat patriotisme di kalangan masyarakat dari peringkat akar umbi. Sehubungan dengan itu, warga Kompleks Rakan Muda Sukan Air Rompin (KRMSAR) juga tidak terkecuali dengan seruan YAB Perdana Menteri dengan memeriksa serta menggantikan Jalur Gemilang yang telah rosak serta memastikan ianya berkibar megah di seluruh kawasan KRMSAR. Puan Rozita Barudin, Pengurus KRMSAR memaklumkan warga KRMSAR sangat teruja setiap kali menjelang bulan kemerdekaan untuk menghiasi kawasan kompleks dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang sebagai tanda rasa cinta kepada negara dan menjiwai erti kemerdekaan yang diraikan saban tahun. Semoga usaha kecil ini dapat memberi kesedaran yang tinggi dan impak positif terhadap masyarakat setempat.
Disediakan oleh: Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
ROMPIN (KRMSA), 25 OGOS 2020 – Program ‘Teambuilding’ Tahun 2020 anjuran Bahagian Kejururawatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor dengan kerjasama Kelab Jururawat Negeri Johor (KJNJ) telah berlangsung bermula 17 hingga 19 Ogos yang lalu di Kompleks Rakan Muda Sukan Air (KRMSA) Rompin. Program yang padat dengan aktiviti luar kelas telah menceriakan 36 orang jururawat baru yang berumur kurang dari 30 tahun. Empat orang jururawat lelaki antara peserta yang turut serta dalam program ini. Objektif utama program ini adalah untuk membina jatidiri dan memupuk semangat kerjasama berpasukan. Semua peserta adalah jururawat lantikan baru dan berkhidmat kurang dari enam bulan. Program ini adalah inisiatif Presiden KJNJ, Matron Sarinah Sukor untuk memberikan pendedahan serta menyerlahkan potensi jururawat. Beliau yang juga merupakan Pengarah Bahagian Kejururawatan HSA Johor memberitahu, program ini sememangnya dianjurkan setiap kali ada kemasukan jururawat sebagai salah satu medium pemecah tembok diri dan meningkatkan keyakinan demi kepentingan perkhidmatan. Walaupun program ini hanya dijalankan selama tiga hari dua malam sahaja, namun ianya memberi impak positif kepada para peserta. Menurut beliau lagi, KRMSA Rompin sememangnya menjadi lokasi pilihan program anjuran HSA Johor dan KJNJ semenjak tahun 2016 kerana kemudahan yang lengkap dan bersesuaian dengan kehendak penganjur. Pihak penganjur dan peserta tetap mengamalkan langkah-langkah pencegahan pandemik Covid19 sepanjang program berlangsung.
Disediakan oleh: Siti Alifah Hamzah, KRMSA Rompin
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
TEMERLOH, 25 OGOS2020 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Temerloh telah dikunjungi oleh Encik Yeow Chee Chern, Pengerusi Persatuan Taekwondo Daerah Temerloh. Kunjungan dari beliau bertujuan mendapatkan maklumat dan mengetahui kaedah membuat permohanan dalam sistem e-Bantuan secara lebih terperinci. Encik Azmey Azaini telah memberikan sedikit panduan mengenai kaedah untuk mendaftar dan memohon e-Bantuan secara atas talian kepada beliau. PBSD Temerloh berharap dengan panduan yang telah diberikan dapat memudahkan persatuan memohon bantuan tersebut. Kunjungan persatuan dan kelab sangat dialukan oleh PBSD Temerloh bagi membantu khususnya dari segi pengurusan bagi memastikan persatuan dapat beroperasi sebaiknya. Tuntasnya, dengan adanya perhubungan yang sentiasa aktif dari semasa ke semasa antara PBSD Temerloh dan Persatuan dapat memberi impak positif kepada kedua-dua belah pihak.
Disediakan oleh: Siti Sabariah Che Ariffin, PBSD Temerloh
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
TEMERLOH, 25 OGOS2020 – Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Temerloh tidak ketinggalan dalam membuat persiapan untuk menyambut bulan merdeka dengan memasang bendera dalam ruangan pejabat. Walaupun rakyat Malaysia sedang berperang dengan virus ‘Covid-19’ namun ianya bukanlah halangan untuk kita sama-sama meraikan bulan kemerdekaan negara dengan penuh semangat patriotisme dan nasionalisme. Jalur Gemilang telah dipasang di beberapa sudut bagi memeriahkan dan menyemarakkan lagi suasana sambutan kemerdekaan. Selain dari itu, kawasan sekitar daerah Temerloh juga telah mula dibanjiri dengan pemasangan bendera-bendera di kawasan Pejabat Kerajaan, agensi swasta, kedai-kedai serta sekolah-sekolah dan sambutan kemerdekaan telah mula terasa. Jalur Gemilang di PBSD Temerloh telah dibekalkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang. Terima kasih!
Disediakan oleh: Siti Sabariah Che Ariffin, PBSD Temerloh
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang
MARAN, 25 OGOS 2020 – Mesyuarat Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2020 Peringkat Daerah Maran telah diadakan pada 14 Ogos yang lalu. Mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Maran telah menjemput semua Jabatan dan Agensi Kerajaan. Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Maran telah diwakili oleh Cik Nor Aya Sofia Abu Bakar, Pembantu Belia dan Sukan. Antara pengisian program yang dirancangkan adalah Majlis Tahlil dan Doa Selamat, Pertandingan Hiasan Patriotik yang meliputi Taman, Kampung, Agensi,Felda dan Kenderaan. Pihak PBSD Maran akan turut serta mengambil bahagian dalam program ini dan telah pun mula menghias Kompleks Rakan Muda Maran dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang bagi menaikkan lagi keceriaan kompleks. Sama-sama kita semarakkan semangat cintakan negara di bulan kemerdekaan ini melalui sambutan dan kibaran Jalur Gemilang. Merdeka, Merdeka, Merdeka!!!
Disediakan oleh: Saniah Zainal, PBSD Maran
Disunting oleh: Nor Dalilah Mohamad Tajuddin, Portal JBS Pahang
Disemak oleh: Nik Nor Syahirah Nik Harun, Portal JBS Pahang