Gemas, 18 Mac 2023 - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersama Majlis Daerah Tampin telah menganjurkan program Kayuhan Santai Ekspres Koc Basikal (XKB) Edisi Ke-3 bertempat di Muzium Keretapi Gemas. Penganjuran ini juga mendapat kerjasama rapat dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tampin, Persatuan Berbasikal Daerah Tampin dan Gemas Extreme Adventerous Riders (GEAR) dalam aspek penyelarasan teknikal, persiapan tempat dan laluan kayuhan.
Seawal jam 4.30 pagi, seramai 60 peserta mula bergerak dari KL Sentral menaiki koc basikal ke Stesen Keretapi Gemas dan ketibaan disambut oleh 80 peserta tempatan di perkarangan muzium. Seusai taklimat ringkas oleh Kelab GEAR dan PDRM, simbolik pelepasan kayuhan disempurnakan oleh Encik Kajurin @ Kaddly bin Ujin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tampin bersama Encik Khairul Izwan bin Adni, Pengurus KTMB Wilayah Selatan pada jam 8.45 pagi.
Kayuhan sejauh 51.4 kilometer ini melalui Tugu Peringatan Perang Dunia Ke-2 (Sg. Kelamah), Felda Jelai, Jambatan Gantung Kg. Kurnia Diraja, D'Sawah Cafe dan Bukit 2 Juta sebelum kembali semula ke tempat pelepasan. Kumpulan pertama yang tiba di garisan penamat pada jam 12.45 petang dan diikuti keseluruhannya setengah jam kemudian dengan sambutan kalungan medal dan diiringi persembahan dari Kumpulan Cak Lempong SMK Jelai Felda.
" Bagi pihak KTMB, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan penganjur atas kerjasama yang sangat baik sepanjang pelaksanaan program ini. Tidak lupa juga kepada pihak keselamatan dan agensi di daerah ini seperti PDRM, BOMBA, APM, JKR, Pejabat Penerangan, Pejabat Kesihatan, SWCorp dan semua yang terlibat", ujar Ybhg Datuk Mohd Rani Hisham bin Samsudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB dalam ucapan penghargaan yang juga merupakan peserta kayuhan.
Turut hadir Encik Zulhilmi bin Marzuki, Setiausaha Majlis Daerah Tampin, Encik Basri bin Abu Bakar, Eksekutif Kanan Operasi Wilayah Selatan KTMB dan Mejar Ahmad Noraida bin Daud, Naib Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Tampin.
Semoga dengan penganjuran program seumpama ini dapat meningkatkan mutu kesihatan dan pembangunan sukan berbasikal negara.
Disediakan oleh : Team Media TAMPIN
Disunting oleh : Team Media JBSNS
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 129








