TAMPIN, 20 Januari 2023 – Kejohanan XCO Tertutup Tampin 2023 dan Kejohanan Kriterium Tertutup Tampin 2023 bakal diadakan bulan Februari ini. Program ini merupakan anjuran bersama Persatuan Berbasikal Daerah Tampin dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tampin dengan kerjasama Majlis Daerah Tampin.
Sebagai persiapan awal, Mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi kedua-dua kejohanan telah diadakan serentak di Bilik Mesyuarat PBSD Tampin bermula jam 8.30 pagi yang mana telah dipengerusikan oleh En. Kajurin @ Kaddly bin Ujin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Tampin. Selain daripada taklimat pengenalan kejohanan, mesyuarat ini juga telah membincangkan tugas dan fungsi jawatankuasa, penetapan tarikh sebenar dan pemilihan laluan serta beberapa perkara berkaitan kejohanan.
Objektif utama kejohanan ini adalah untuk mencungkil bakat atlit baharu untuk diketengahkan ke pertandingan yang lebih tinggi. Selain itu, pencarian atlit muda seterusnya pendedahan kepada teknik dan latihan kayuhan terkini bagi mewakili daerah ini di kejohanan luar. Di samping itu, dengan penganjuran secara tertutup ini mampu menarik minat lebih ramai pengemar sukan berbasikal untuk memasuki mana-mana kejohanan domestik.
Turut hadir En. Saiful Adly bin Hj. Abd Wahab, Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Tampin, wakil dan ketua jabatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tampin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Tampin, Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Tampin, Jabatan Kerja Raya Daerah Tampin, Pejabat Penerangan Daerah Tampin, Majlis Daerah Tampin dan Sekretariat Kejohanan.
Semoga kejohanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan khususnya pengiat sukan berbasikal di daerah Tampin dan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Disediakan oleh : Team Media TAMPIN
Disunting oleh : Team Media JBSNS
- JBS Negeri Sembilan
- Hits: 136

